ULASAN : XIAOMI 14 – Kombinasi terbaik HyperOS dan Snapdragon 8 Gen 3
Pengenalan
Xiaomi 14 Series telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global pada 25 Februari yang lalu dimana dua model flagship akan mengibarkan bendera Xiaomi dipasaran antarabangsa.
Agak mengejutkan Xiaomi telah memutuskan untuk mengekalkan Xiaomi 14 Pro dipasaran China sahaja dan ini bermaksud Xiaomi 14 adalah model yang akan memikul tugas mengisi ruang kosong yang tinggalkan Xiaomi 14 Pro.
Di atas kertas, Xiaomi 14 mempunyai kebolehan ini kerana ianya tidak hanya tampil sebagai upgrade kepada Xiaomi 13 malah memiliki spesifikasi yang lebih baik seperti skrin LTPO, cipset flagship, storan lebih besar dan sistem kamera Leica yang lebih berkuasa.
Walaupun tampil dengan rekaan yang kompak, Xiaomi 14 tidak mengorbankan kualiti kamera dan sistem kamera yang terdiri dari sensor utama 50MP, sensor telefoto 3.2x 50MP dan sensor ultra-wide 50MP dijangka akan menawarkan pengguna sebuah pakej kamera yang cukup untuk memuaskan keperluan fotografi pengguna.
Berikut adalah ulasan Xiaomi 14 yang akan ditawarkan di Malaysia mulai 7 Mac ini.
Reka Bentuk
Xiaomi 14 mempunyai rekaan yang hampir sama seperti Xiaomi 13 dengan perbezaam yang paling ketara adalah ketebalan kamera yang lebih tinggi kerana penggunaan sistem kamera yang lebih power.
Panel belakang Xiaomi 14 ini adalah melengkung dan ianya digabungkan dengan rangka yang rata dan kombinasi ini membolehkan Xiaomi 14 lebih selesa ketika dipegang.
Selain itu, Xiaomi juga telah mengalihkan semua komponen daripada bingkai atas peranti dimana pembesar suara dialihkan ke skrin manakala IR Blaster ke bahagian belakang modul kamera.
Dalam pada itu, Xiaomi 14 akan ditawarkan didalam tiga warna iaitu Black seperti unit ulasan kami yang mana ianya adalah satu-satunya warna yang tampil dengan kemasan matte menggunakkan bahan AG Glass dan ini memastikan kesan capjari adalah minima. Dua warna lain yang ditawarkan adalah White dan Jade Green.
Bercakap mengenai bahagian hadapan, Xiaomi 14 tampil didalam rekaan yang flat dengan bezel yang sangat nipis iaitu 1.71mm dengan lapisan gelas keselamatan Gorilla Victus.
Selain itu, sensor capjari pada Xiaomi 14 boleh dikatakan sedikit ‘tersasar’ daripada posisi ergonomik dan ianya sedikit sukar untuk dicapai oleh ibu jari anda.
Menutup bahagian reka bentuk ini dengan ukuran dimensi telefon pintar ini iaitu 152.8mm x 71.5mm x 8.2mm dengan berat 193 gram. Tidak lupa juga, Xiaomi 14 mempunyai penarafan kalis air dan habuk IP68.
Skrin Paparan
Xiaomi 14 mengekalkan ukuran skrin yang sama seperti pada Xiaomi 13 namun panel yang digunakan adalah berbeza iaitu panel LTPO dengan resolusi 1.5K (2670 x 1200 piksel) dengan kadar segar semula dinamik 1-120Hz.
Panel 12-bit ini menawarkan sokongan warna yang lebih menyeluruh dan ianya memiliki ciri premium seperti Dolby Vision, HDR10, HDR10+ dan Hybrid log-gamma serta kecerahan maksima sehingga 3,000nits.
Dalam pada itu, ciri Pro HDR Display yang boleh diaktifkan pada aplikasi Xiaomi Gallery membolehkan,
lampu latar paparan dinyalakan lapan kali lebih terang, memberikan pengguna pengalaman menonton kandungan HDR yang yang tiada tandingannya walaupun di bawah cahaya matahari yang terang.
Seterusnya, panel skrin Xiaomi 14 juga telah menerima penarafan TÜV Rheinland EyeCare , menggabungkan pemalapan DC merentasi semua julat kecerahan, dan menampilkan reka bentuk cahaya biru rendah yang 56% lebih rendah berbanding generasi sebelum ini.
Dalam pada itu, Xiaomi menawarkan tiga tahap kadar segar semula bagi skrin LTPO ini iaitu Default yang menawarkan kadar segar semula yang sesuai mengikut kandungan yang dipaparkan, 60Hz dan 120Hz yang mempunyai mekanisma operasi sama seperti tetapan Default.
Pemproses
Xiaomi 14 adalah satu lagi telefon pintar flagship 2024 untuk dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Ia adalah 30% lebih pantas dan 20% lebih cekap tenaga berbanding dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ia dibina pada proses 4nm dan mempunyai fokus yang jelas pada AI, permainan, audio dan penambahbaikan kamera.
Selain itu, Snapdragon 8 Gen 3 ini juga memiliki GPU Adreno 750 yang mana ianya adalah 25% lebih pantas dan 25% lebih cekap tenaga manakala ciri Ray Tracing adalah 40% lebih baik berbanding Adreno 740 yang digunakan pada Snapdragon 8 Gen 2.
Satu lagi pendatang baru pada Xiaomi 14 adalah sistem operasi HyperOS yang merupakan sistem operasi baharu menggantikan MIUI namun tidak banyak perbezaan boleh dilihat melainkan rekaan yang lebih ‘flat’. Operasi HyperOS boleh dikatakan sangat lancar dan stabil.
Dalam pada itu, Xiaomi dijangka akan menawarkan sehingga 4 kemaskini Android dan 5 tahun kemaskini keselamatan seperti yang diumumkan ketika pelancaran Xiaomi 13T Series.
Secara keseluruhan, kombinasi cip Snapdragon 8 Gen 3 yang berteraskan AI dan sistem operasi HyperOS menjanjikan penggunaan Xiaomi 14 yang sangat berkemampuan tinggi dan ianya dilihat boleh menjalankan apa sahaja tugasan yang diberi.
Kamera
Xiaomi 14 adalah salah satu flagship kompak yang dilengkapi sistem kamera terbaik . Ia menawarkan peningkatan yang ketara berbanding generasi sebelum ini dengan menaiktaraf ketiga-tiga kamera yang lebih baik. Kerjasama dengan Leica bagi generasi baharu ini adalah lebih kukuh dan buktinya boleh dilihat sendiri pada gambar.
Xiaomi 14 tampil dengan sensor utama 50MP OVX900 yang digunakan pertama kali dan Xiaomi menggelar sensor ini sebagai Light Fusion 900.
Xiaomi menjanjikan bahawa teknologi Xiaomi Imaging Engine memastikan tona yang konsisten di seluruh kamera kerana tetapan imbangan putih dan pendedahan diperoleh daripada kamera utama yang sentiasa aktif.
Selain itu, sensor utama juga memberikan kualiti imej gred flagship pada waktu siang dan terdapat dua mod zoom yang ditawarkan iaitu 2x zoom yang diambil dari gambar yang dizoom pada sensor utama manakala sensor telefoto pula menawarkan zoom 3.2x yang sangat sempurna dan kekal konsisten walaupun pada persekitaran yang berbeza.
Selain itu, proses selepas imej yang diambil juga boleh diberikan pujian kerana Xiaomi berjaya memastikan imej yang diambil dari sensor utama dan sensor telefoto mempunyai kualiti yang hampir sama.
Dalam pada itu, mod makro juga ditawarkan melalui sensor telefoto Xiaomi 14 dan ianya membolehkan gambar makro diambil pada jarak sedekat 10cm.
Jom tengok hasil gambar dari Xiaomi 14 :
Bateri
Xiaomi 14 disertakan dengan bateri yang lebih besar iaitu berkapasiti 4,610mAh namun ianya dilihat tidak membawa kepada peningkatan jangka hayat bateri yang ketara.
Walaubagaimanapun,penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 3, panel LTPO OLED yang lebih cekap tenaga memberikan impak yang positif kepada jangka hayat bateri telefon pintar ini.
Seterusnya, Xiaomi 14 juga disertakan dengan pengecasan 90W HyperCharge yang didakwa mampu memenuhi bateri telefon pintar ini didalam masa 31 minit sahaja namun kami mengambil masa 35 minit untuk mencapai tahap 100%. Ianya juga menawarkan sokongan pengecasan tanpa wayar 50W wireless HyperCharge yang memberikan 100% pengecasan didalam masa 46 minit dan 10W pengecasan berbalik.
Penutup
Xiaomi 14 mungkin sebuah telefon pintar flagship yang kompak namun kemampuan telefon pintar ini adalah setaraf flagship terbaik dipasaran dan ini dibuktikan dengan keputusan Xiaomi untuk tidak menawarkan Xiaomi 14 Pro untuk pasaran antarabangsa.
Selain itu, kemampuan kamera Leica yang lebih berkuasa berbanding pada generasi sebelum juga meletakkan Xiaomi 14 sebagai model yang pasti popular dikalangan peminat Xiaomi yang tidak mempunyai bajet tinggi untuk membeli Xiaomi 14 Ultra.
Xiaomi 14 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 7 Mac ini.