Anker Satukan Lima Jenama Di Bawah Satu Nama, Perkenal Barisan Produk Baharu

Hampir 15 tahun selepas memperkenalkan produk bateri pertamanya, Anker Innovations mengumumkan penyatuan lima jenamanya di bawah satu nama, iaitu Anker.
Penyatuan ini merangkumi Anker untuk pengecasan, eufy untuk rumah pintar, soundcore untuk audio, SOLIX untuk tenaga dan eufyMake untuk peralatan kreatif. Kesemua produk tersebut kini akan bergerak di bawah identiti Anker secara berperingkat.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Anker Innovations, Steven Yang, penyatuan ini dibuat kerana sempadan antara kategori teknologi semakin kabur, terutama dengan perkembangan AI, robotik dan teknologi berhubung.
“One brand, one promise: Ultimate Innovation,” katanya.
Selepas ini, produk Anker akan dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu Anker For You untuk teknologi kegunaan harian seperti pengecasan, audio, kesihatan dan produk kreatif, manakala Anker For Home memfokuskan kepada rumah pintar, keselamatan dan robotik.
Antara produk baharu yang diperkenalkan termasuk soundcore AeroClip 2, fon telinga jenis klip yang dilengkapi cip AI THUS untuk pemprosesan AI pada peranti, serta Space 2 Pro dan Liberty Buds 2.
Anker turut memperkenalkan MagGo Power Bank 2 Pro, power bank magnetik 25W Qi2.2 dengan kipas penyejuk terbina dalam, serta Nano Charger 45W yang mempunyai paparan pintar dan mod Care Mode untuk membantu mengurangkan penuaan bateri.
Dalam kategori rumah pintar pula, Anker memperkenalkan MindBase, hab AI tempatan yang menghubungkan peranti rumah, menjalankan pemprosesan AI secara tempatan dan menyimpan data di dalam rumah. Produk berkaitan termasuk MindBase Security Kit, TrackLight Cam S1 dan Video Doorbell S4.
Barisan baharu turut merangkumi eufy Robot Vacuum Omni E35 dengan kuasa sedutan 35,000Pa, serta produk penjagaan bayi seperti Wearable Breast Pump S2 Pro dan Bottle Washer S1 Pro.
Anker juga mengumumkan kemasukannya ke dalam bidang kesihatan pendengaran menerusi pembangunan alat bantu pendengaran yang menggunakan cip AI THUS.
Di Malaysia, produk baharu yang diperkenalkan di IFA akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang tahun ini. Anker Malaysia turut akan mengadakan pelancaran rasmi jenama di Sunway Pyramid pada pertengahan Oktober, selain memperkenalkan butik-butik baharu di beberapa pusat beli-belah utama.







