Oura Ring 5 Rasmi Tiba di Malaysia, Harga Bermula RM1,999

Oura Ring 5 Rasmi Tiba di Malaysia, Harga Bermula RM1,999
Jenama teknologi kesihatan dari Finland, Oura, secara rasmi memperkenalkan generasi terbaharunya, Oura Ring 5, di Malaysia dengan harga runcit disyorkan bermula RM1,999.
Sebagai generasi kelima smart ring daripada Oura, model baharu ini tampil dengan reka bentuk yang lebih kompak dan selesa dipakai, di samping mempertingkatkan pengalaman pemantauan kesihatan. Dengan menggabungkan data peribadi yang dikumpulkan dari semasa ke semasa, Oura Ring 5 mampu menterjemahkan pelbagai metrik seperti tidur, aktiviti, tekanan dan pemulihan badan kepada maklumat kesihatan yang lebih mudah difahami.
Berbanding jam tangan pintar konvensional, Oura Ring 5 menawarkan bentuk yang lebih kecil dan minimalis, menjadikannya sesuai dipakai untuk tempoh yang panjang termasuk ketika bekerja, bersenam dan tidur bagi memastikan pemantauan data kesihatan dapat dilakukan secara lebih konsisten.
Pemantauan Kesihatan Terus Dari Jari
Oura Ring 5 menggunakan jari sebagai lokasi utama untuk mengumpulkan data fisiologi, memanfaatkan rangkaian saluran darah pada jari untuk mendapatkan isyarat badan secara berterusan dan stabil.
Melalui sensor terbina dalam, smart ring ini boleh memantau kadar denyutan jantung, aktiviti, tidur serta tahap pemulihan badan. Data yang dikumpulkan dari semasa ke semasa kemudiannya digunakan untuk membina garis asas peribadi bagi setiap pengguna.
Pendekatan ini membolehkan Oura menilai perubahan berdasarkan corak dan keadaan badan seseorang pengguna, dan bukan sekadar membandingkan data mereka dengan satu piawaian umum.
Bukan Sekadar Tempoh Tidur, Malah Tahap Pemulihan Badan
Pemantauan tidur kekal sebagai antara ciri utama dalam ekosistem Oura.
Selain merekodkan tempoh tidur keseluruhan, Oura Ring 5 turut menganalisis peringkat tidur serta pelbagai data fisiologi berkaitan sebelum menyusunnya dalam Oura App untuk dipaparkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami.
Antara metrik penting ialah Readiness, iaitu skor yang menggabungkan faktor seperti corak tidur terkini, aktiviti dan tahap pemulihan badan untuk memberikan gambaran mengenai tahap kesediaan fizikal pengguna pada hari tersebut.
Selain memaparkan skor, aplikasi turut menerangkan faktor yang mempengaruhi Readiness supaya pengguna dapat memahami perubahan keadaan badan dan seterusnya membuat penyesuaian terhadap rutin senaman, kerja atau rehat.
Symptom Radar Mengesan Perubahan Pada Keadaan Badan
Oura Ring 5 turut dilengkapi ciri Symptom Radar yang memantau perubahan pada beberapa metrik fisiologi berbanding garis asas peribadi pengguna.
Sekiranya terdapat perubahan ketara pada beberapa parameter seperti kadar denyutan jantung, trend suhu dan metrik berkaitan, sistem boleh memberikan peringatan kepada pengguna supaya lebih peka terhadap keadaan badan dan mempertimbangkan rehat tambahan jika diperlukan.
Ciri ini direka sebagai rujukan terhadap trend kesihatan dan keadaan badan, dan bukan sebagai pengganti kepada diagnosis atau nasihat perubatan profesional.
Pemantauan Tekanan, Kesihatan Jantung dan Kesihatan Wanita
Selain tidur dan aktiviti, Oura Ring 5 turut menawarkan pemantauan tekanan dan pemulihan sepanjang hari.
Sistem boleh merekodkan perubahan tahap tekanan badan serta memantau bagaimana tubuh kembali kepada keadaan yang lebih seimbang, sekali gus memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai tekanan harian dan tahap pemulihan seseorang.
Bagi kesihatan kardiovaskular, data jangka panjang boleh digunakan untuk membantu pengguna memahami perubahan dan trend berkaitan kesihatan jantung.
Oura turut menyediakan ciri berkaitan kesihatan wanita yang menggunakan data badan serta trend peribadi untuk membantu pengguna memahami perubahan kitaran dan haid.
Kesemua data ini disatukan dalam Oura App supaya pengguna boleh mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai keadaan badan tanpa perlu mentafsir sejumlah besar data mentah.
AI Memudahkan Rekod Pemakanan Harian
Ekosistem kesihatan Oura turut diperluaskan kepada pemantauan pemakanan dengan bantuan AI.
Pengguna boleh mengambil gambar makanan dan membiarkan sistem mengenal pasti hidangan serta menganalisis maklumat pemakanan berkaitan, termasuk anggaran kalori dan protein. Pendekatan ini bertujuan memudahkan proses merekod pemakanan tanpa perlu memasukkan setiap maklumat secara manual.
Apabila digabungkan dengan data yang dikumpulkan oleh Oura Ring, ia membolehkan aspek seperti tidur, aktiviti, pemulihan dan tabiat harian dilihat dalam satu ekosistem pengurusan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Rekaan Lebih Minimalis Dengan Hayat Bateri Sehingga 8 Hari
Oura Ring 5 direka untuk mengurangkan rasa seperti memakai sebuah peranti teknologi. Bentuknya yang nipis dan bulat memberikan penampilan lebih menyerupai cincin biasa, manakala bahagian sensor di dalamnya direka supaya tidak terlalu menonjol bagi meningkatkan keselesaan ketika dipakai untuk tempoh panjang.
Ia sesuai digunakan dalam pelbagai situasi harian termasuk ketika tidur dan bersenam, dengan hayat bateri sekitar 7 hingga 8 hari untuk sekali pengecasan.
Hayat bateri yang panjang juga membantu mengurangkan keperluan menanggalkan cincin dengan kerap, sekali gus membolehkan pengumpulan data kesihatan dilakukan dengan lebih konsisten.
Enam Pilihan Kemasan, Harga Bermula RM1,999
Oura Ring 5 ditawarkan dalam enam pilihan kemasan di Malaysia iaitu Silver, Black, Brushed Silver, Gold, Deep Rose dan Stealth, dengan harga berbeza mengikut warna dan kemasan.
Silver / Black: RM1,999
Brushed Silver / Gold / Deep Rose / Stealth: RM2,499
Selain perkakasan, pengalaman penuh Oura turut disokong oleh perkhidmatan Oura Membership, dengan sebahagian ciri pintar dan analisis kesihatan lanjutan tersedia melalui langganan keahlian.
Promosi Roadshow di Harvey Norman Mid Valley
Bersempena dengan pelancaran Oura Ring 5 di Malaysia, sebuah Oura Ring Roadshow turut berlangsung di Harvey Norman Mid Valley Megamall dari 29 hingga 31 Ogos, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Pengunjung boleh mencuba sendiri Oura Ring 5 serta mendapatkan saiz cincin yang bersesuaian sebelum membuat pembelian.
Sepanjang tempoh roadshow, pembelian Oura Ring 4 atau Oura Ring 5 akan menerima AISOLVE F20 Turbo Mini Handheld Fan bernilai RM329 secara percuma.
Pengguna Oura sedia ada pula boleh menikmati tawaran trade-in untuk menaik taraf cincin mereka. Oura Ring 3 menerima nilai trade-in RM150, manakala Oura Ring 4 menerima RM250, dengan promosi ini sah sehingga 31 Ogos, jam 9 malam.
Selain itu, Oura Ring Protector 5-Pack Silicone Ring Covers yang dijual pada harga biasa RM149 turut ditawarkan pada harga bundle RM69 dengan pembelian Oura Ring.
Untuk maklumat lanjut mengenai Oura Ring 5 di Malaysia, pengguna boleh mengunjungi weareready.my.



