ULASAN : Samsung Galaxy Buds4 – Blade Design Premium dan Ciri Head Tracking
Bersama-sama pelancaran Galaxy S26 Ultra, Samsung juga telah memperkenalkan earbuds flagship terbaru syarikat ini iaitu Galaxy Buds4 Series yang tampil didalam dua varian iaitu Galaxy Buds4 dan Galaxy Buds4 Pro.
Samsung Galaxy Buds4 adalah model yang telah sampai ke tangan kami dan earbuds ini boleh dikatakan sebagai pencabar utama kepada AirPods 4.
Samsung Galaxy Buds4 tampil dengan reka bentuk open-fit, tanpa silicone tip yang ketat, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih ringan dan bebas tekanan pada telinga. Samsung telah menggunakan data dari berjuta bentuk telinga untuk mencipta earbuds yang lebih ergonomik, menjadikan Buds4 sesuai dipakai dalam jangka masa lama, sama ada ketika bekerja, menonton, atau bermain game.
Selain itu, kawalan sentuhan pada batang earbuds lebih tepat, manakala casing generasi ini adalah semi-transparent dan mudah dibawa. Walaupun sangat selesa, open-fit menyebabkan tahap noise isolation tidak setanding dengan versi Pro, jadi bagi mereka yang mahukan ANC maksimum, Galaxy Buds4 Pro mungkin lebih sesuai.
Berikut adalah ulasan Samsung Galaxy Buds4 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 699.
Reka Bentuk
Samsung Galaxy Buds4 hadir dengan reka bentuk fon telinga yang sangat premium dengan penggunaan logam (Blade Design) pada tangkai dan Samsung juga telah memastikan earbuds ini bukan hanya kelihatan premium malah turut menawarkan keselesaan ergonomik yang direka untuk pengalaman mendengar yang tahan lama.
Selain itu, Galaxy Buds4 ini hadir didalam dua pilihan warna iaitu White dan Black namun kedua-duanya menampilkan logam didalam warna perak dengan berat setiap fon telinga ini hanya 4.6gram.
Seperti yang disebut, Galaxy Buds4 hadir dengan rekaan open fit yang bermaksud tiada silikon tip yang mana ianya lebih selesa untuk dipakai namun tahap pembatalan bunyi hingar mungkin tidak efektif seperti Galaxy Buds4 Pro.
Selain itu, keselesaan pemakaian adalah sesuatu yang mustahak bagi pembeli Galaxy Buds4 kerana earbuds ini tidak mempunyai sebarang eartip yang bergantung sepenuhnya kepada geometri telinga pengguna untuk kekal pada telinga dengan kukuh. Jika AirPods sesuai untuk telinga anda, maka Galaxy Buds4 juga sesuai namun sebelum pembelian, adalah disarankan untuk anda cuba dahulu di Samsung Experince Store yang berdekatan.
Pada hadapan stem, seperti gaya Apple AirPods. Anda hanya perlu “pinch” untuk play, pause, skip, dan tukar ANC, manakala swipe ke atas atau bawah untuk laraskan volume.Ia berfungsi dengan baik selepas telah biasa dengan gesture pinch tersebut.
Tiada kawalan tap — semuanya bergantung sepenuhnya pada sistem pinch dan swipe yang diperkenalkan Samsung melalui Buds3.
Lebih lanjut, Galaxy Buds4 hadir dengan penarafan kalis air dan debu IP54 yang mana ianya dilihat adalah downgrade daripada Galaxy Buds3 yang memiliki penarafan IP57 dan ini mungkin penting bagi pengguna yang gemar melakukan aktiviti kecergasan sambil mendengar muzik.
Dalam pada itu, bekas pengecasan Galaxy Buds4 hadir dengan perubahan yang ketara jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini dimana earbuds kini diletakkan mendatar berbanding menegak pada bekas pengecasan Galaxy Buds3. Ianya juga tampil dengan penutup lutsinar yang mudah untuk anda meletakkan atau membersihkan earbuds namun kekuranganya adalah ianya cepat mengumpul capjari dan mudah calar.
Ciri-Ciri Samsung Galaxy Buds4
Samsung Galaxy Buds4 akan terhubung secara automatik dengan peranti Galaxy apabila earbuds berada berhampiran dan bekas pengecasan dibuka. Jika anda menggunakan peranti lain, ianya boleh disambungkan melalui Bluetooth bersama aplikasi Galaxy Wearable.
Menariknya, Galaxy Buds4 membawakan hampir semua ciri yang ditawarkan pada Galaxy Buds4 Pro yang termasuk adaptive noise control, rakaman audio 360 pada earbuds, Find My earbuds serta beberapa preset EQ dan equalizer 9-band yang boleh disesuaikan. Pilihan kualiti audio lebih tinggi seperti audio ultra-high-quality (UHQ) audio and super-wideband speech hanya ditawarkan eksklusif bersama penggunaan pada peranti Samsung.
Ciri paling mencuri tumpuan sudah pastinya Head Gesture yang mana mengangguk kepala boleh menjawab panggilan, manakala gelengan menolaknya, dan gerakan ini juga boleh digunakan untuk menolak notifikasi serta memberi respons kepada arahan daripada pembantu AI. Ia merupakan cara kawalan tanpa tangan yang berguna untuk mengendalikan panggilan dan beberapa ciri telefon pintar tanpa perlu mengeluarkannya dari poket.
Antara bantuan AI yang ditawarkan pada Galaxy Buds4 ini adalah Bixby, Google Gemini dan Bixby powered by Perplexity yang membolehkan penggunaan AI tanpa perlu mengakses telefon pintar.
Seterusnya, Galaxy Buds4 hadir dengan sambungan Bluetooth 6.1 bersama SBC dan AAC manakala Samsung Seamless Codec juga ditawarkan kepada pengguna Galaxy yang beroperasi pada One UI 4.0 dan ke atas yang memberikan kualiti audio lossless bersama-sama ciri yang khas pada peranti Galaxy.
Super Clear Calls
Galaxy Buds4 juga menawarkan kualiti panggilan yang jelas seperti audio Hi-Fi. Suara anda dirakam dengan jelas oleh 6 mikrofon yang diletakkan di sekeliling earbuds, yang secara pintar mengasingkannya daripada bunyi latar menggunakan Deep Neural Network (DNN) . Isyarat suara yang sangat jelas ini dihantar dengan melalui Super Wideband (SWB) pada kadar sehingga 16 kHz antara Galaxy Buds4 Pro dan telefon pintar Galaxy anda.
Ciri ANC
Samsung Galaxy Buds4 hadir dengan ciri ANC yang baik namun terdapat cabaran untuk anda menikmati potensi penuh ciri ini kerana tanpa eartip atau putik, mendapatkan kedapan bunyi yang efektif adalah sukar.
Memandangkan Galaxy Buds4 adalah earbuds open-fit, memastikan earbuds ini berada pada satu posisi yang kekal juga agak mustahil namun jika anda berada pada kedudukan yang tetap, ANC yang ditawarkan adalah antara yang terbaik pada tahap harga ini.
Walaubagaimanapun, jika ANC adalah ciri utama yang anda mahu, Galaxy Buds4 Pro dengan rekaan in-ear dan ciri Adaptive ANC 2.0 patut menjadi model yang anda milki.
Jangka Hayat Bateri
Samsung Galaxy Buds4 didakwa mampu menawarkan sehingga 5 jam penggunaan dengan ciri ANC atau tambahan sejam penggunaan jika ANC tidak diaktifkan. Bersama bekas pengecasan, anda boleh menikmati sehingga 24 jam pendengaran (30 jam jika ANC tidak diaktifkan).
5 jam pendengaran muzik adalah sangat mencukupi untuk penggunaan seharian samada ketika didalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja atau sesi gymnasium.
Samsung Galaxy Buds4 boleh dicaj menggunakan slot USB-C atau tanpa wayar menggunakan pad pengecasan.
Penutup
Samsung Galaxy Buds4 adalah sebuah earbuds open fit yang menawarkan peningkatan minima berbanding Buds3 terutamanya dengan rekaan lebih premium dan ciri Galaxy AI yang lebih banyak.
Hakikatnya, Galaxy Buds4 masih sebuah earbuds open fit yang menjadikan ciri ANC tidak dapat mencapai potensi sepenuhnya manakala penarafan IP54 pada generasi baharu ini juga menjadi persoalan yang sukar untuk dijawab.
Walaubagaimanapun, jika anda sedang mencari sebuah earbuds open fit dan berada didalam ekosistem Samsung, Galaxy Buds4 adalah pilihan terbaik untuk anda namun jika anda memiliki bajet tambahan, Galaxy Buds4 Pro mungkin boleh anda pertimbangkan.
Samsung Galaxy Buds4 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 699 dan anda boleh mendapatkanya di Samsung Online Store atau Samsung Experience Store yang berdekatan.











