Ulasan: Xiaomi TV A Pro 55 (2026) – QLED Mampu Milik Untuk Ruang Tamu Moden
Pasaran TV 4K semakin kompetitif, terutamanya dalam kategori 55 inci yang menjadi pilihan paling popular untuk menghiasi rumah teres dan apartmen di Malaysia.
Xiaomi TV A Pro 2026 merupakan model pertengahan yang menawarkan pengalaman premium pada harga lebih mesra poket.Namun persoalannya, adakah ia benar-benar berbaloi dan cukup untuk memenuhi keperluan hiburan anda.
Reka Bentuk Minimalis Namun Premium!
Dari segi luaran, Xiaomi TV A Pro 55″ (2026) ini tampil dengan rekaan yang kemas dan moden. Bingkai nipis memberikan pengalaman “full screen” yang lebih imersif apabila menonton filem atau sukan. Kaki TV ini pula adalah jenis metal juga membuatkan ia nampak lebih kukuh dan premium berbanding TV bajet biasa yang menggunakan plastik sepenuhnya.
Dalam pada itu, saiz TV 55 inci pula adalah ideal untuk ruang tamu standard — tidak terlalu besar, tidak terlalu kecil, tetapi cukup untuk memberi pengalaman tontonan seperti pawagam mini di rumah.
Kualiti Paparan: Warna Lebih Hidup Dengan QLED
Kelebihan utama model “Pro” ini terletak pada penggunaan panel QLED. Berbanding TV LED biasa, QLED mampu menghasilkan warna yang lebih terang dan lebih tepat. Untuk tontonan Netflix, YouTube 4K atau filem HDR, perbezaan ini memang adalah sangat jelas terutamanya pada kandungan yang mempunyai warna terang atau kontras tinggi.
Tahap kecerahan juga memadai untuk ruang tamu yang ada cahaya semula jadi. Ia tidak setanding TV mini-LED premium, tetapi untuk kelas harga pertengahan, prestasinya adalah cukup memuaskan.
Walaubagaimana, kadar segar semula (refresh rate) asas masih pada tahap standard. Ia mencukupi untuk tontonan biasa dan sukan, tetapi bagi gamer tegar yang mahukan pengalaman 4K 120Hz sebenar, model ini bukanlah yang ideal.
Sistem Pintar: Google TV Lengkap & Mesra Pengguna
Xiaomi TV A Pro 55 (2026) menggunakan Google TV, yang bermaksud anda mendapat akses terus kepada aplikasi popular seperti Netflix, Disney+, YouTube, Prime Video dan banyak lagi.
Antaramuka Google TV juga lebih kemas dan mudah digunakan berbanding Android TV lama. Fungsi carian suara melalui Google Assistant membantu memudahkan pencarian kandungan. sokongan casting seperti Chromecast built-in dan AirPlay membolehkan anda strim kandungan dari telefon Android atau iPhone dengan lebih mudah.
Audio
Dari segi bunyi, Xiaomi TV A Pro (2026) ini menyokong format audio seperti Dolby Audio dan DTS. Untuk penggunaan biasa — drama, berita, sukan — ia sudah cukup jelas dan lantang.
Namun, seperti kebanyakan TV slim design yang lain, pengalaman bass adalah terhad. Anda mungkin boleh menambah soundbar untuk bunyi lebih padu untuk pengalaman menonton filem setaraf pawagam.
Prestasi Gaming
Untuk gaming kasual menggunakan PlayStation atau Xbox. Mod Game Boost memberikan kejelasan yang lebih baik pada imej bergerak untuk visual yang lebih lancar ketika bermain permainan (gaming).
Namun begitu, untuk gamer kompetitif atau mereka yang mahukan prestasi grafik paling lancar pada resolusi tinggi, terdapat pilihan TV lain yang lebih sesuai namun pada harga lebih mahal.
Mod Low Blue Light & DC Dimming
Xiaomi TV A Pro 55″ (2026) ini tampil dengan teknologi DC dimming generasi baharu yang mampu mengawal kecerahan skrin dengan lebih lancar dan menghapuskan kelipan lampu latar. Mod penjagaan mata yang tersedia pula berkesan mengurangkan cahaya biru, membolehkan anda menikmati visual yang menakjubkan dengan lebih selesa.
Nilai Belian
Produk Xiaomi sememangnya terkenal dengan harga yang berpatutan dan Xiaomi TV A Pro 55 (2026) tampil pada julat harga pertengahan yang mana adalah sukar untuk anda mendapatkan TV 55-inci dengan panel QLED, sistem Google TV lengkap dan reka bentuk premium pada pakej yang sama.
Kesimpulan
Xiaomi TV A Pro (2026) mungkin bukan TV paling berkuasa di pasaran, namun untuk majoriti pengguna yang menonton drama, filem, YouTube dan siaran sukan ia cukup memadai untuk memberikan anda keseimbangan yang sangat baik antara harga dan prestasi.
Xiaomi TV A Pro 55″(2026) kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,799 sahaja.
Dapatkanya di laman rasmi Xiaomi Malaysia








