Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia – kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia - kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia 1

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia - kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia 2

Syarikat ekosistem peranti AI terkemuka global, HONOR hari ini meraikan ulang tahun kelima di Malaysia dengan penghargaan kepada pengguna yang memainkan peranan penting dalam kejayaanya menduduki tangga teratas pegangan pasaran telefon pintar tempatan.

Pencapaian ini diraikan di majlis HONOR of Malaysia 5th Anniversary Gala yang menghimpunkan pengguna setia HONOR, peminat, rakan kongsi, jurugambar dan pelajar. Majlis ini turut menegaskan kepercayaan HONOR bahawa kejayaannya dibina seiring dengan sokongan pengguna Malaysia dalam landskap teknologi yang sangat kompetitif.

Majlis Gala ini mengiktiraf pengguna yang memberi sokongan dan penglibatan berterusan mereka kepada pertumbuhan HONOR sejak awal kemunculannya di Malaysia. Individu cemerlang diraikan menerusi lapan kategori anugerah, mencerminkan peranan mereka dalam membentuk pembangunan produk, memperkukuh ekosistem HONOR serta menyumbang secara positif kepada komuniti yang lebih luas.

Meraikan Perjalanan Lima Tahun HONOR ke Arah Kepimpinan Pasaran di Majlis Gala Penghargaan Pengguna

Pencapaian HONOR sebagai telefon pintar dan tablet No. 1 dalam pegangan pasaran berdasarkan jualan kepada pengguna pada S4 2025 menandakan kemuncak perjalanan lima tahun yang luar biasa, didorong oleh ketahanan dan kepercayaan pengguna. Ini hasil langsung daripada inovasi berterusan HONOR serta sokongan padu komuniti tempatan.

Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li berkata perjalanan tersebut penuh cabaran namun membuahkan kejayaan kerana HONOR kekal berteraskan pengguna, seolah-olah mencapai kemajuan sedekad dalam hanya lima tahun. “Hari ini amat bermakna kerana HONOR telah menjadi ‘Pilihan Utama Rakyat Malaysia’. Kami amat berterima kasih kepada komuniti yang terus berdiri teguh bersama kami, berkongsi produk dan falsafah kami dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Li turut menekankan bahawa kestabilan dan daya tahan produk HONOR ialah hasil penciptaan bersama rakyat Malaysia. Ekosistem HONOR bukan dibangunkan semata-mata di makmal, sebaliknya diperkemas melalui ujian dunia nyata serta maklum balas pengguna Beta tempatan, jurugambar dan pelajar. Anugerah hari ini diberikan bagi menghargai para penyumbang penting ini, yang berkongsi pandangan mereka lalu memastikan teknologi HONOR terus memenuhi keperluan khusus para pengguna.

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia - kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia 2

Pelancaran HONOR of Malaysia Awards Project: Menyokong Rakyat Malaysia Luar Biasa melalui Teknologi

Sempena malam gala, HONOR turut mengumumkan ‘HONOR of Malaysia Awards Project’, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat jangka panjang untuk mengiktiraf rakyat Malaysia biasa yang telah menumpukan kehidupan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen HONOR untuk menyumbang secara bermakna kepada Malaysia ketika negara melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Pelancaran projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, bersama Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li.

Sebagai fasa sulung program ini, HONOR bersama rakan media telah mengiktiraf tiga individu sebagai penerima anugerah ‘HONOR of Malaysia’, iaitu Mohd Adli Yahya, Cikgu Prakash dan Mak Jah. Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Abdul Majid Ahmad Khan, mantan Duta Besar Malaysia ke China (1998–2006).

“Seiring dengan perkembangan berterusan HONOR di Malaysia, kami mahu mengakar lebih kukuh dan beralih daripada jenama pilihan rakyat Malaysia kepada tonggak masyarakat. Menerusi visi ‘HONOR of Malaysia’, kami mahu menyokong wira tidak didendang yang memberikan sumbangan besar secara senyap kepada komuniti,” kata Li.

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia - kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia 4

Wira Tidak Didendang Negara: Mengubah Kehidupan dengan Tekad dan Tujuan

Mohd Adli Yahya ialah pengasas Autism Cafe Project (ACP). Beliau menubuhkan inisiatif ini pada 2016 bagi menyediakan masa depan yang lebih baik untuk anak lelaki dan individu autistik lain. Sehingga kini, ACP telah menyokong lebih 100 individu autistik dengan menyediakan persekitaran yang selamat untuk pembangunan kemahiran, berdikari dan peluang pekerjaan inklusif, di samping memberi inspirasi kepada keluarga yang mempunyai ahli autistik di seluruh negara.

Prakash Surriyamurthy atau lebih dikenali sebagai Cikgu Prakash, ialah guru tuisyen sepenuh masa yang berulang-alik menaiki kereta api di sekitar Lembah Klang untuk mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah kepada pelajar sekolah menengah sejak 16 tahun lalu. Walaupun mengalami cacat penglihatan, dedikasi terhadap pendidikan dan komitmen teguh kepada pelajarnya terus menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Siti Normala Adrus, atau Mak Jah, mengusahakan gerai makanan sederhana yang menawarkan nasi campur RM3 serta menyediakan makanan percuma untuk pelajar pada setiap Selasa sebagai memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Berteraskan sifat ihsan, bukan keuntungan, Mak Jah memastikan makanan berkhasiat terus dapat dinikmati oleh komuniti berpendapatan rendah dan menjadi tonggak sokongan kepada mereka yang memerlukan.

HONOR raikan ulang tahun ke-5 di Malaysia - kini berdiri sebagai syarikat telefon pintar No.1 di Malaysia 5

Promosi Malaysia melalui Jelajah Fotografi Kebangsaan dan Pameran Global 2026

Bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), HONOR akan melancarkan Jelajah Fotografi Kebangsaan menampilkan landskap Malaysia, warisan budaya serta kisah harian menerusi fotografi mudah alih. Program ini menggalakkan jurugambar meneroka destinasi popular, menyertai bengkel serta aktiviti setempat. Hasil karya terpilih akan dipamerkan di peringkat antarabangsa sempena Pameran Global HONOR 2026. Penyertaan akan dibuka tidak lama lagi. Nantikan pengumuman di halaman Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Ketika HONOR melangkah ke fasa baharu di Malaysia, ia kekal fokus untuk membina pengalaman teknologi yang bermakna bersama para pengguna sambil menyumbang secara positif kepada komuniti yang disokongnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari halaman Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.