ULASAN : HONOR X9d 5G – Generasi baharu King of Durability yang lebih tahan lasak
Pengenalan
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, HONOR X Series adalah telefon pintar yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia bermula dengan HONOR X9 sebelum momentum ini diteruskan dengan pelancaran HONOR X9a, HONOR X9b dan HONOR X9c.
HONOR X Series mendominasi kedudukan pasaran dengan angka yang amat mengagumkan. Selama tiga tahun berturut-turut, ia telah mengungguli tempat teratas di semua saluran dalam kategori kelas pertengahan, dengan menguasai 33% pasaran pada 2023 dan meningkat kepada 55% pada 2025.
Ini bermaksud bagi setiap dua telefon pintar kelas pertengahan yang dijual di Malaysia, salah satu daripadanya adalah HONOR X Series. Pencapaian ini membuktikan bukan sahaja ketahanan produk bahkan kepercayaan yang telah dibina oleh HONOR dengan jutaan pengguna di seluruh negara.
Selepas hampir satu tahun berada dipasaran, kini tiba giliran HONOR X9c memberikan baton kepada generasi baharu HONOR X Series iaitu HONOR X9d 5G.
Menariknya, HONOR sentiasa berusaha untuk menjadikan model baharu X Series ini lebih kukuh dan lebih berguna untuk rata-rata pengguna dan azam ini telah membolehkan HONOR X9d 5G tampil dengan 3 inovasi pertama dipasaran iaitu pertama di dunia untuk menerima Pensijilan SGS Triple-Resistant Premium Performance Certification, peranti pertama di pasaran yang menampilkan perlindungan rintangan air dan debu IP69K, dan satu-satunya telefon di dunia yang mempunyai kapasiti bateri terbesar 8300mAh.
Dengan pengenalan yang sudah cukup mengagumkan ini, jom kita pergi lebih mendalam pada ulasan HONOR X9d 5G yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 1,499.
Reka Bentuk
Rekaan telefon pintar HONOR X Series boleh dikatakan lebih mengutamakan pratikaliti daripada kecantikan namun HONOR X9d 5G hadir dengan menggabungkan kedua-duanya didalam satu pakej yang lengkap.
Jika dua generasi HONOR X Series ini menampilkan rekaan skrin melengkung, HONOR X9d 5G tampil dengan skrin paparan ‘flat’ yang lebih digemari pengguna dan ianya juga ditambah baik dengan teknologi baharu untuk menjadiknya lebih tahan jatuhan dan anti retak serta anti calar.
Paparan HONOR X9d 5G ini hadir dengan lapisan ultra-deep tempered glass yang berasaskan Corning Gorilla Glass Victus 2 yang kebiasaanya digunakan pada telefon pintar flagship. Ianya mempunyai kedalaman kaca terbaja 31% dalam berbanding gelas lain untuk ketahanan lebih baik dan kalis calar luar biasa.
Selain itu, gelas ultra-deep tempered glass ini berupaya untuk menahan jatuhan sehingga dari ketinggian sehingga 2.5 meter (HONOR X9c ialah 2 meter) pada permukaan yang mencabar seperti batu buntar, asfalt, turapan dan lebih 10 jenis batuan lain .
Seterusnya, HONOR X9d 5G juga menjadi telefon pintar pertama didunia untuk hadir dengan penarafan IP69K yang merupakan piawaian kalis air dan debu tertinggi.
HONOR X9d menawarkan perlindungan pada empat senario utama:
1) Kalis air pada kedalaman sehingga 6 meter;
2) Menahan air bersuhu tinggi (85°C) , pembilasan, dan rendaman;
3) Kalis air pada 18 jenis cecair;
4) Kalis air selama 30 hari pada kedalaman 1 meter .
Ciri kalis air ekstrim ini melindungi peranti dalam pelbagai senario yang berkaitan dengan air setiap hari, menawarkan pengguna ketenangan fikiran yang tiada tandingannya.
Ciri Drainage & Dust Removal
Walaupun selepas terdedah kepada air atau pasir, pemilik HONOR X9d boleh mengaktifkan mod Drainage & Dust Removal .Ciri akan memainkan bunyi dan bergetar secara automatik untuk mengeluarkan cecair dan debu dari speaker (ciri ini akan beroperasi selama 30 saat).
Ciri AI Heavy Rain Touch & AI Glove Touch
HONOR X9d boleh dibilas bersih dalam hujan, beroperasi dalam keadaan tebal atau air kotor, malah tahan sentuhan ringkas dengan air suhu tinggi sehingga 10 saat.
HONOR X9d telah diuji sehingga lebih 10,000 kitaran rendaman air, memastikan kebolehpercayaan jangka panjang. Sama ada ketika hujan lebat, membilas peranti selepas aktiviti luar atau bekerja dalam industri yang mencabar, HONOR X9d dibina untuk mengendalikan keadaan air yang kompleks tanpa kompromi.
Lebih lanjut, HONOR X9d 5G masih mengekalkan rekaan yang nipis dan ringan walaupun ianya hadir dengan kapasiti bateri yang luar biasa iaitu dengan ukuran 7.76mm bersama berat hanya 193gram. HONOR X9d 5G akan ditawarkan didalam 4 warna iaitu Reddish Brown, Forest Green, Sunrise Gold dan Midnight Black.
Kesemua ciri ketahanan luar biasa yang dimiliki HONOR X9d 5G membolehkanya meraih gelaran telefon pintar pertama didunia dengan pensijilan SGS Triple-Resistant Premium Performance.
Akhir sekali, HONOR X9d juga disokong oleh jaminan lanjutan 1 tahun dan memperkenalkan liputan waranti bagi kerosakan yang disebabkan oleh air buat kali pertama — bukti bahawa HONOR amat yakin dengan piawaian rintangan air yang tinggi pada X9d 5G. Sekiranya berlaku kerosakan akibat air dalam tempoh satu tahun, anda layak menerima satu pembaikan percuma di pusat servis rasmi.
Skrin Paparan
Dalam pada itu, HONOR X9d 5G ini menampilkan skrin HONOR FullView AMOLED berukuran 6.79-inci yang mempunyai resolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz.
Selain itu, panel yang digunakan oleh HONOR X9d 5G adalah paparan yang menyokong 1.07 bilion warna dengan liputan gamut warna DCI-P3 100%.
Seterusnya, skrin paparan HONOR X9d 5G juga memiliki teknologi 3840Hz PWM dimming , Low Blue Light, Dynamic Dimming, AI Defocus Displaydan AI Circadian Night Display untuk perlindungan dari ketegangan mata yang maksimum.
Dalam itu, panel skrin HONOR X9d 5G juga memiliki kecerahan maksima mencecah 6000nits, dan sensor capjari terbina dalam skrin. HONOR X9d 5G juga dilengkapi ciri AI Heavy Rain Touch & AI Glove Touch dan ini membolehkanya digunakan didalam air yang pekat dan kotor. Ia juga telah diuji pada lebih dari 10,000 kitaran rendaman air, memastikan kebolehpercayaan jangka panjang.
Selain itu, HONOR X9d 5G juga menawarkan tiga tetapan kadar segar semula iaitu Dynamic, Standard dan High dan terdapat juga ciri Video Enhancer yang menambah kualiti video dengan berasaskan AI.
Untuk ketenangan minda tambahan, HONOR juga menawarkan gantian skrin dan panel belakang percuma untuk tempoh 1 tahun dan ini membuktikan bahawa HONOR amat yakin dengan ketahanan skrin telefon pintar ini.
Pemproses
HONOR X9d 5G pada tahun ini bukan sahaja menerima upgrade dari ketahanan, ianya turut diberikan peningkatan prestasi yang telah lama dinantikan.
Sehubungan itu, HONOR X9d 5G kini dikuasakan dengan cip Snapdragon 6 Gen 4 yang sudah pastinya lebih baik berbanding cip Snapdrgon 6 Gen 1 yang digunakan pada HONOR X9b 5G dan HONOR X9c 5G.
Selain itu, penggunaan cip 4nm ini bermaksud HONOR X9d 5G menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 11% manakala prestasi GPU adalah 26% lebih baik. Ianya hadir dengan kapasiti RAM 12GB + 12GB HONOR RAM Turbo bersama dua pilihan storan dalaman iaitu 256GB atau 512GB.
Beralih kepada sistem operasi telefon pintar ini, HONOR X9d 5G hadir dengan Magic OS 9.0 yang berasaskan Android 15 dan ianya membawakan beberapa ciri AI seperti berikut :
AI Call Translation adalah ciri yang membolehkan panggilan diterjemah ke bahasa pilihan secara langsung semasa panggilan dengan syarat hanya seorang menggunakan peranti HONOR. Ianya juga dijamin privasi kerana setiap proses penterjemahan berlaku pada peranti sahaja.
- Magic Portal 2.0
Ciri Magic Portal adalah ciri yang memudahkan kerja-kerja anda dengan memberikan pengguna kebolehan untuk berkongsi dan mencari maklumat secara serentak. Pengguna hanya perlu bulatkan teks, alamat, atau imej menggunakan buku jari dan menyeretnya ke aplikasi seperti Google, WhatsApp, Facebook, Instagram, dan TikTok melalui Magic Portal.
- AI Translation
AI Translation mengatasi batasan bahasa dalam perbualan . Ianya menawarkan sokongan terjemahan pantas dalam 13 bahasa, termasuk Bahasa Malaysia, Jepun dan Korea semasa perbualan bersemuka dan HONOR juga komited untuk menawarkan sokongan bagi lebih banyak bahasa dari semasa ke semasa. Terdapat dua mod (audio) Chat yang ditawarkan iaitu Conversation dan Face to Face manakala Interpreter (teks) pula adalah terjemahan secara langsung dari audio yang dicakap.
- HONOR AI Notes
Antara ciri yang dimiliki HONOR Notes pada HONOR X9d 5G adalah
~ AI Summary – ciri ini membantu meringkaskan kandungan nota anda dan memasukkannya sebagai abstrak kandungan.
~ AI Format – Fungsi ini mempunyai pilihan yang disesuaikan dengan keperluan pengguna, termasuk, Asas, Perniagaan, Vivacious dan Klasik.
~ AI Transcribe – ciri ini akan membuat transkripsi segera dengan ciri pengenalan suara individu yang menawarkan sokongan untuk 13 bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Jepun dan Korea.
~ AI Minute – Pengguna boleh mencari maklumat penting dengan cepat daripada mesyuarat yang panjang, latihan, kursus atau temu duga transkrip dengan meringkaskan perkara utama.
- AI Writing Tools
Ia memperkasakan pengguna untuk menyelesaikan penulisan dengan kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi, seperti semakan tatabahasa dan rumusan.
- Google Gemini
Aplikasi Google Gemini pada HONOR X9d5G ini hadir sebagai pembantu AI yang membolehkan pengguna untuk meningkatkan lagi kreativiti dan produktiviti mereka. Pengguna boleh berinteraksi dengan Gemini untuk membantu mereka belajar, memikirkan idea, menulis, merancang acara dan banyak lagi. Melalui teks, suara, gambar dan kamera, pengguna boleh mendapatkan bantuan dengan cara baharu.
Untuk mengaktifkan Gemini, anda hanya perlu menekan lama butang Power untuk beberapa saat.
Kamera
HONOR X9d 5G dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera yang terdiri daripada satu sensor utama 108MP dengan aperture f/1.75 dan OIS bersama satu sensor ultrawide 5MP f/2.2.
Di atas kertas, kamera HONOR X9d 5G ini mampu memberikan anda pengalaman fotografi yang agak mencukupi bagi peranti kelas pertengahan dan ternyata kualiti gambar yang terhasil dari telefon pintar ini tidak mengecewakan.
Kami berpendapat sensor utama HONOR X9d 5G mampu boleh mengambil gambar dengan baik khususnya kerana ianya memiliki pengstabilan OIS yang membolehkan anda memperoleh hasil gambar tanpa sebarang kekaburan.
Selain itu, HONOR X9d 5G juga dilengkapi kamera selfie 16MP yang dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan selfie pengguna yang boleh digunakan untuk memuatnaik ke laman media sosial anda.
HONOR X9d termasuk set alat penyuntingan yang dikuasakan AI yang termasuk AI Eraser, AI Outpainting, AI Upscale, AI Cutout dan AI Face Tune .
Hakikatnya disini adalah HONOR X9d 5G hadir dengan tetapan kamera yang sama seperti pada HONOR X9c 5G dan kami berharap sistem kamera akan diberikan upgrade pada generasi akan datang.
Berikut adalah hasil gambar dari Honor X9d 5G :
Bateri
HONOR X9d 5G menjadi telefon pintar pertama didunia untuk hadir dengan bateri berkapasiti 8,300mAh yang mampu menawarkan sehingga 3 hari penggunaan didalam satu pengecasan penuh.
Bateri Silikon Karbon yang digunakan pada telefon pintar ini menjadikanya sebagai telefon pintar ternipis dengan kapasiti bateri melebih 7,000mAh dimana kandungan silikon adalah 10%.
Dengan satu pengecasan, anda boleh menikmati sehingga 52.5 jam penstriman muzik, 23.8 jam tontonan video dalam talian, 16.8 jam permainan video dan 12.3 jam panggilan video.
Dalam pada itu, HONOR X9d 5G juga membawakan teknologi pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge yang memastikan pengecasan bateri berkapasiti tinggi ini dapat dilakukan dengan pantas dan ianya turut disertakan dengan pengecasan ‘reverse charging’ pada kadar 7.5W yang membolehkannya berfungsi sebagai powerbank mudah alih ketika kecemasan.
Lebih lanjut, ciri Ultra Power Saving Mode membolehkan anda membuat panggilan berterusan sehingga 60 minit walaupun pengecasan bateri jatuh kepada 2%.
Penutup
HONOR X9d 5G membuktikan bahawa HONOR sangat komited untuk sentiasa menawarkan pengguna kelas pertengahan sebuah telefon pintar yang bukan hanya berfungsi sebagai telefon pintar malah lebih tahan lasak untuk menghadapi pelbagai situasi dunia sebenar yang mencabar dan tanpa skrip.
Jika ketika ini setiap dua telefon pintar kelas pertengahan yang terjual, salah satu nya adalah HONOR X Series, mungkin tidak hairan jika kedudukan HONOR X Series dipasaran ini menjadi lebih kukuh sebelum pelancaran generasi seterusnya tahun hadapan.
HONOR X9d 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,499 bagi versi 12/256GB dan RM 1,699 bagi versi 12/512GB.


































