ULASAN : Samsung Galaxy S25 FE – Pengalaman Galaxy AI setaraf flagship, harga lebih berpatutan
Pengenalan
Seperti tahun-tahun sebelum ini, penutup bagi kitaran pelancaran telefon pintar daripada Samsung adalah dengan pelancaran Galaxy Fan Edition dan tahun ini kita disajikan dengan Samsung Galaxy S25 FE.
Telefon pintar terbaru didalam Galaxy S25 FE ini adalah alternatif lebih berpatutan dikalangan keluarga Galaxy S Series namun model tahun ini adalah lebih dekat dengan telefon pintar Galaxy S25+.
Menariknya, Galaxy S25 FE kini dikuasakan cip Exynos 2400, bateri lebih besar selain turut menjadi telefon pintar pertama Galaxy S Series untuk hadir dengan One UI 8 yang berasaskan Android 16.
Untuk rekod, Samsung Galaxy S25 FE kini ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 3,099 dan ini adalah ulasan kepada alternatif termurah Galaxy S25 Series.
Reka Bentuk
Samsung Galaxy S25 FE tampil dengan rekaan yang sama seperti generasi FE sebelum ini dan pasti ramai juga yang menghadapi kesukaran untuk membezakanya dengan Galaxy S25+. Ianya memiliki bahasa rekaan yang agak sinonim dengan Samsung dan ini bukanya lah sesuatu yang buruk kerana rekaan ini diterima baik.
Walaupun kelihatan sama, Galaxy S25 FE hadir dengan kerangka Enhanced Armor Aluminium yang lebih kukuh dan ringan berbanding aluminium biasa namun ianya tidak sama dengan kerangka Armor Aluminum 2 yang digunakan pada Galaxy 25+.
Selain itu, Samsung Galaxy S25 FE juga mengekalkan penarafan kalis air dan habuk IP68, lapisan gelas Gorilla Victus+ pada panel hadapan dan lapisan Victus pada bahagian belakang.
Seterusnya, Galaxy S25 FE amat selesa digunakan namun penggunaan kerangka yang flat bermaksud telefon pintar memberikan rasa ianya adalah peranti yang tebal walaupun ianya adalah lebih nipis (7.4mm) dan ringan (190gram) berbanding S24 FE.
Bercakap mengenai warna, Galaxy S25 FE ditawarkan didalam 4 warna iaitu IcyBlue, Jetblack, Navy dan White yang mana kami menerima warna Jetblack dan kesemua warna ini adalah sama seperti Galaxy S25 Series yang lain dengan perbezaan adalah pada kerangka kerana ianya tampil didalam kemasan silver seperti aluminium tidak kira pilihan warna anda.
Dalam pada itu, Galaxy S25 FE juga hadir dengan sensor capjari terbina dalam skrin dan ianya adalah jenis optikal dan ini bermaksud ianya bukan jenis ultrasonic seperti pada Galaxy S25 Series yang lain namun kedudukan sensor pengesanan adalah sedikit hampir kepada bahagian bawah peranti yang mungkin sedikit janggal untuk dicapai.
Secara keseluruhan, Galaxy S25 FE menawarkan rekaan yang cantik dan premium namun bagi yang sudah biasa dengan telefon pintar Samsung, rekaan ini mungkin sama sahaja dengan telefon pintar Samsung yang lain. Apa pun penggunaan bahan yang lebih premium setaraf flagship adalah sesuatu yang harus diberikan pujian.
Skrin Paparan
Samsung Galaxy S25 FE menampilkan skrin paparan Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7-inci dengan resolusi FHD+. Menariknya, ianya adalah panel LTPO kerana panel ini menyokong kadar segar semula diluar kadar 60-120Hz.
Selain itu, panel AMOLED yang digunakan ini HDR10+ yang cukup ideal untuk menonton kandungan di Netflix selain sokongan Android Ultra HDR. Ianya turut hadir dengan kadar kecerahan maksima mencecah 1,900 nits yang pastinya meningkatkan kebolehlihatan skrin peranti ini dikawasan cahaya tinggi selain turut dibantu ciri Vision Booster.
Samsung menawarkan dua tetapan Motion Smoothness iaitu standard yang menawarkan kadar segar 60Hz dan Adaptive yang menawarkan kadar segar dinamik sehingga 120Hz mengikut kandungan pada skrin dan ianya mampu menawarkan kadar sehingga 1Hz untuk kandungan statik.
Seperti biasa, Samsung juga menawarkan dua mod warna skrin iaitu Vivid untuk warna yang lebih berwarna atau Natural untuk paparan warna yang lebih semulajadi. Terdapat juga ciri eye comfort shield yang menapis cahaya biru.
Pemproses
Samsung Galaxy S25 FE dikuasakan cip Exynos 2400 dan bukanya cipset yang diturunkan pretasi seperti cip Exynos 2400e yang digunakan pada Galaxy S24 FE. GPU pada cipset ini adalah Xclipse 940 GPU yang berasaskan AMD modern RDNA 3.
Bersama cipset ini, Samsung Galaxy S25 FE hadir dengan 8GB RAM bersama dua pilihan storan dalaman iaitu 256GB dan 512GB.
Beralih kepada antaramuka pula, Samsung Galaxy S25 FE hadir dengan One UI 8 yang turut menjadikanya sebagai telefon pintar pertama Galaxy S Series untuk hadir dengan UI terbaru syarikat ini.
Walaupun hadir sebagai alternatif yang lebih berpatutan, Samsung turut memberikan ‘layanan’ flagship kepada model ini yang mana ia akan menerima 7 kemaskini OS Android.
Selain itu, One UI8 yang disertakan pada Galaxy S25 FE adalah sama seperti pada Galaxy S25 FE dengan perbezaan yang sangat minima berbanding One UI 7. One UI 8, peningkatan AI kebanyakannya berkisar pada peningkatan Gemini Live, yang kini menyokong arahan suara semula jadi untuk jawapan berasaskan konteks dan lebih baik dalam memahami perkara yang terdapat pada skrin atau yang dipaparkan oleh kamera anda.
Selain Gemini Live, ciri Interpreter pula membolehkan perbualan diterjemahkan dengan serta-merta menerusi transkripsi teks yang tertera pada paparan skrin supaya orang yang berbual dengan anda boleh saling memahami. Ia juga berfungsi tanpa data selular atau Wi-Fi.
Untuk mesej dan aplikasi lain, Chat Assist menawarkan tiga ciri pada Galaxy S25 FE iaitu :
- Writing Style – membantu menyempurnakan nada perbualan untuk memastikan komunikasi kedengaran seperti yang diinginkan: seperti sapaan sopan kepada rakan sekerja ataupun frasa pendek yang menarik untuk kapsyen media sosial.
- Spelling and Grammar– menyemak setiap perkataan yang anda taip untuk sebarang kesilapan ejaan dan tatabahasa.
- Composer – membolehkan anda menggubal ayat sempurna dengan hanya memberikan beberapa kata kunci. Ianya boleh digunakan pada aplikasi Message, Mail dan media sosial. Anda boleh memilih tona dan gaya teks yang dicadangkan.
- Chat Translation – terjemah setiap perbualan secara langsung pada pelbagai aplikasi permesejan seperti WhatsApp dan banyak lagi. namun ianya masih belum menawarkan terjemahan ke bahasa melayu.
Lebih lanjut, Samsung Galaxy S25 FE juga hadir dengan ciri Circle to Search yang mana sesuai dengan namanya, anda boleh memulakan carian dengan menekan lama butang utama, pengguna boleh membulatkan sesuatu yang hendak dicari untuk melihat hasil carian berkualiti tinggi, membuat terjemahan teks atau menu dan mendengar muzik yang dimainkan.
Seterusnya, Audio Eraser pula pada Samsung Galaxy S25 FE adalah fungsi Galaxy AI yang membolehkan anda membuang bunyi bising latar belakang yang tidak diingini daripada video. Ia berfungsi menganalisis audio menggunakan AI untuk mengenal pasti pelbagai jenis. Ianya kini turut boleh digunakan pada aplikasi lain seperti Samsung Notes dan Voice Recorder dengan kemas kini One UI 8.
Dalam pada itu, pengguna juga boleh menikmati komunikasi yang lancar dalam persekitaran yang bising dengan Call Captions — yang menukar suara menjadi teks dengan serta-merta semasa panggilan.
Ciri Galaxy AI yang lain adalah Live Translation , Call Assist dan banyak lagi.
Kamera
Spesifikasi kamera belakang Galaxy S25 FE dilihat tidak berubah pada generasi terbaru ini dan ini bermaksud telefon pintar ini hadir dengan sensor utama 50MP ISOCELL GN3 yang memiliki dual-pixel PDAF dan OIS diikuti sensor ultrawide 12MP yang mempunyai fokus tetap dan sensor telefoto 8MP Omnivision OV08A10 yang menawarkan 3x zoom optikal dan ianya juga memiliki pemfokusan auto PDAF dan OIS.
Seterusnya, upgrade pada bahagian kamera adalah pada sensor selfie dimana Galaxy S25 FE hadir dengan sensor 12MP yang sama seperti pada Galaxy S25 Series yang lain.
Secara keseluruhan, kemampuan sensor utama Galaxy S25 FE adalah sesuatu yang boleh diberikan pujian kerana hasil gambar pada keadaan cahaya yang baik adalah dengan kualiti gred flagship.
Lebih lanjut, gambar subjek ternyata lebih baik dan semula jadi dengan warna kulit yang lebih realitstik manakala hasil portet juga lebih memuaskan.
Seterusnya, sensor ultrawide Galaxy S25 FE adalah antara sensor ultrawide yang mempunyai sudut lebar yang tinggi dan ianya menawarkan prestasi yang memuaskan. Agak kurang memuaskan adalah ketiadaan pemfokusan auto pada sensor ini.
Beralih kepada sensor telefoto 3x telefon pintar ini, ianya memberikan anda hasil gambar zoom yang lebih jelas dan berkualiti tinggi. foto yang diambil juga mampu menyamai warna yang ditawarkan pada sensor utama walaupun kualiti sedikit rendah.
Ciri Galaxy AI yang ada pada Galaxy S25 FE akan menawarkan anda pengalaman yang lebih melalui bantuan AI. Sebagai contoh, ciri Sketch to Image membolehkan anda menambah objek pada gambar dan ianya boleh dibuat melalui lakaran kasar anda sebelum Galaxy AI menganalisa gambar tersebut dan menawarkan beberapa contoh gambar dengan objek yang dijana oleh AI.
Satu lagi ciri Galaxy AI adalah pada gambar yang tercondong, AI akan mengisi semula sempadan untuk mendatarkan imej tersebut. Apabila objek perlu digerakkan sedikit untuk berada dalam kedudukan yang diingini, AI membolehkan pengguna melaraskan kedudukan subjek tersebut dan kemudiannya mengisi semula latar belakang.
Dalam pada itu, Galaxy AI juga membolehkan anda memadam atau mengalihkan sesuatu didalam gambar kepada kedudukan yang lain dengan mudah melalui ciri AI Eraser, anda hanya perlu melakar kawasan atau objek yang mahu dipadam atau digerakkan dan generate.
Lihat contoh gambar dari Samsung Galaxy S25 FE di sini :
Bateri
Samsung Galaxy S25 FE hadir bateri berkapasiti 4,900mAh iaitu 200mAh lebih besar berbanding apa yang ditawarkan pada Galaxy S24 FE.
Dengan kombinasi cipset Exynos 2400 yang lebih cekap tenaga, Galaxy S25 FE mampu memberikan anda jangka hayat bateri yang cukup memuaskan.
Selain itu, Galaxy S25 FE juga menyokong pengecasan Fast Charging 2.0 pada kadar 45W yang mampu menawarkan 65% pengecasan didalam masa 30 minit sahaja. Galaxy S25 FE turut membawakan pengecasan tanpa wayar dan Wireless PowerShare.
Bagi meningkatkan jangka hayat bateri, Galaxy S25 FE juga memiliki ciri Bateri Protection Mode yang memiliki beberapa tetapan seperti Basic (mengecas sehingga ke tahap 100%, Adaptive (pengecasan mengikut waktu tidur) dan Maximum (menghadkan pengecasan ke tahap 80% sahaja).
Penutup
Samsung Galaxy S25 FE hadir ke pasaran sebagai telefon pintar flagship yang lebih berpatutan dan model ini terbukti sebagai model perantara bagi pengguna Galaxy A Series ke Galaxy S Series.
Selain itu, Galaxy S25 FE juga membawakan kesemua ciri Galaxy AI dan ianya turut ditambah dengan pengecasan pantas 45W serta penghormatan sebagai telefon pintar pertama Galaxy S Series dengan One UI 8 yang baharu.
Samsung Galaxy S25 FE akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,099 bagi versi 8/256GB dan RM 3,699 bagi versi 8/512GB. Samsung juga menawarkan anda promosi tambahan iaitu potongan sebanyak RM 250 dengan pembelian baucar Samsung Reservation+ bernilai RM 50 sahaja.
Jualan Samsung Galaxy S25 FE di Malaysia kini bermula dari 19 September ini.













































