Kamera Aksi AKASO 360 kini rasmi di Malaysia – harga dari RM 999
Dalam dunia penggambaran aksi dan kandungan imersif 360°, jenama AKASO mula menempah nama sebagai pengeluar kamera bajet berprestasi tinggi dengan lebih 7 juta unit terjual sejak tahun 2010.
Kini, syarikat ini telah melancarkan AKASO 360, kamera aksi 360 darjah yang menjanjikan pengalaman rakaman profesional pada harga yang lebih berpatutan.
Terus ke spesifikasi, AKASO 360 dilengkapi dengan dua sensor CMOS 48MP bersaiz ½ inci di kedua-dua belah lensa. Dengan sistem ini, kamera aksi ini mampu merakam video 360° pada resolusi sehingga 5.7K pada 30fps, memberikan visual yang sangat tajam dan realistik. Untuk rakaman biasa, ia turut menyokong mod “single-lens” pada 2.8K @ 60fps — sangat berguna untuk vlogging atau POV shooting.
Selain itu, AKASO 360 memiliki skrin 2.29 inci beresolusi 480×800 membolehkan pengguna mengakses tetapan, melihat rakaman secara langsung, serta menukar mod dengan mudah.
Dengan berat hanya 180g dan dimensi kompak, AKASO 360 mudah dibawa ke mana-mana. Ia juga kalis percikan air dan debu.
Bukan setakat video, kamera ini juga mampu mengambil gambar 360° pada resolusi sehingga 72MP. Ia turut menyokong format RAW (JPG + DNG) — satu kelebihan besar bagi pengguna yang mahu kawalan penuh semasa penyuntingan gambar.
Selain itu, AKASO 360 juga dilengkapi teknologi AI Subject Tracking untuk mengekalkan subjek dalam bingkai secara automatik. Digabungkan dengan fungsi SuperSmooth Stabilization dan 360° Horizon Lock, hasil rakaman akan kekal stabil dan lurus walaupun anda sedang bergerak aktif.
Beberapa ciri lain yang menjadikan kamera ini lebih menarik:
• Invisible Selfie Stick: Tongkat selfie “hilang” dalam rakaman untuk hasil yang lebih bersih.
• Smart Clip Editor: Mudah edit video terus dari app rasmi dengan efek dan teks interaktif.
• Stats Dashboard: Tambah data seperti kelajuan atau jarak terus ke dalam video anda.
Dalam pada itu, AKASO 360 juga memiliki bateri 1,350mAh dengan ketahanan rakaman sekitar 60 minit pada tetapan 5.7K.
Akhir sekali, AKASO 360 akan ditawarkan didalam dua kombo iaitu Standard pada harga RM 999 (harga promosi RM 899) dan Creator Combo pada harga RM 1,099.







