ULASAN : HONOR Pad V9 – tablet premium terbaik untuk hiburan dan kerja

Pengenalan
Beberapa hari lalu, HONOR secara rasminya telah memperkenalkan 5 produk baharu pada pelancaran All-Scenario product launch yang telah berlangsung di Malaysia.
Visi HONOR adalah untuk berkembang daripada jenama telefon pintar menjadi sebuah syarikat ekosistem global yang dipacu oleh AI, dipandu oleh hala tuju tiga peringkatnya.
Di fasa pertama, HONOR menumpukan pada pembangunan telefon pintar yang menghubungkan ekosistem AI dengan pengguna. Pada masa sama, HONOR bekerjasama rapat dengan rakan teknologi terkemuka seperti Qualcomm dan Google untuk melangkaui batasan teknologi. Langkah ini sedang dilaksanakan dengan ciri-ciri yang mula diperkenalkan pada HONOR Magic 7 Pro.
Fasa kedua pula adalah ke arah memperluaskan AI melangkaui telefon pintar, merangkumi ekosistem peranti fizikal yang lebih luas seperti peranti boleh pakai, tablet, PC, dan kemungkinan, robot. Matlamat HONOR adalah untuk mewujudkan kolaborasi yang lancar dan kesambungan secara pintar merentasi setiap peranti.
Akhir sekali, di fasa ketiga, HONOR melihat ke hadapan menuju era Kecerdasan Buatan Umum (AGI), di mana AI mengatasi kemampuan manusia. Ini tidak bermakna AI akan menggantikan manusia, kerana HONOR membayangkan masa depan di mana kecerdasan manusia dan berasaskan silikon wujud bersama, membuka potensi baharu dan bersama-sama mewujudkan tamadun yang lebih pintar.
Susulan pengumuman HONOR ALPHA Plan, HONOR kini meluaskan ekosistemnya di Malaysia dengan lima produk baharu di bawah barisan iaitu HONOR Pad X9a versi LTE, HONOR Pad V9, HONOR MagicBook X14 2025, HONOR Watch 5 dengan tali kulit hijau baharu, dan HONOR Earbuds Open.
Pada Artikel ini, kita akan mengulas tentang HONOR Pad V9, sebuah tablet premium yang menawarkan pakej serba lengkap untuk menyokong produktiviti dan hiburan pengguna.
Ini adalah ulasan HONOR Pad V9 yang kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,999.
Reka Bentuk
HONOR Pad V9 menampilkan reka bentuk yang sangat premium dengan penggunaan keluli pada keseluruhan permukaan belakang dan sisi. Panel belakang tablet HONOR mempunyai kemasan yang sangat premium dan terdapat modul kamera yang mana ianya memiliki dua gelung yang menempatkan satu sensor 13MP dan satu gelung yang menempatkan lampu flash dengan tulisan AI Camera.
Selain itu, tablet HONOR Pad V9 juga menampilkan reka bentuk yang sangat nipis iaitu hanya 6.1mm dengan berat hanya 475 gram, menjadikanya sangat ideal untuk dibawa kemana sahaja untuk digunakan sebagai sumber hiburan mahupun untuk kerja.
Dalam pada itu, pada bahagian sisi bawah dan atas tablet ini, ianya mempunyai gril pembesar suara yang menempatkan bukan satu bukan dua tetapi lapan pembesar suara yang turut menyokong spatial audio yang memberikan pengalaman bunyi yang mendalam dan imersif.
Selain itu, Pad V9 juga hadir dengan butang kelantangan bunyi pada bahagian atas dan butang kuasa pada sisi tepi yang agak mudah dicapai apabila menggunakanya pada mod landskap.
Bagi pasaran Malaysia, setiap pembelian HONOR Pad V9 juga akan disertakan dengan HONOR Touchpad Keyboard dan HONOR Magic Pencil 3 yang sudah pastinya akan meningkatkan lagi pengalaman menggunakan tablet ini setaraf seperti pada komputer riba.
Bercakap mengenai HONOR Touchpad Keyboard ini, ianya menawarkan pengalaman menaip yang sangat sama seperti pada sebuah komputer riba dimana ianya tidak terlalu kecil dan memiliki touchpad adalah kelebihan yang pasti anda hargai.
Lebih lanjut, anda juga melaras sudut skrin tablet ini dengan mudah dan papan kekunci ini juga boleh ditanggalkan dan digunakan berasingan dari skrin seperti ketika pembentangan kerja dan sebagainya. Ianya juga boleh dicabut ketika digunakan untuk menonton filem atau drama kegemaran anda.
Skrin Paparan
HONOR Pad V9 memiliki panel skrin yang mempunyai ukuran 11.5-inci dengan resolusi 2.8K bersama kadar segar semula 144Hz. Panel LCD yang digunakan pada Pad V9 ini mempunyai sokongan untuk memaparkan sehingga 1.07 bilion warna yang turut menerima pensijilan IMAX Enhanced.
Bercakap mengenai kadar segar semula, panel skrin Pad V9 ini mampu menyokong kadar sehingga 144Hz dan terdapat beberapa pilihan tetapan kadar segar semula yang ditawarkan iaitu Dynamic (sehingga 144Hz), Standard (60Hz), Medium (90Hz) dan High (sehingga 144Hz namun lebih mengutamakan visual berbanding bateri).
Menariknya, HONOR juga menyertakan teknologi perlindungan mata pada skrin Pad V9 yang menjadikanya sebagai tidak akan mengakibatkan sebarang ketidakselesaan pada mata walaupun digunakan walaupun untuk tempoh yang panjang.
Antara ciri perlindungan mata yang menjadi panel skrin HONOR Pad V9 ini sebagai Eye Comfort Display adalah Dynamic Dimming, Circadian Night Display, AI Defocusing Comfort Display dan Hardware level Low Blue Light.
Seterusnya, panel skrin HONOR Pad V9 ini juga mempunyai bezel hitam sisi yang simetri pada bahagian bawah dan bahagian atas namun pada bezel atas terdapat juga kamera 8MP yang mana kegunaan utama sudah pastinya adalah untuk panggilan video.
Pemproses
HONOR Pad V9 dikuasakan cip kelas flagship daripada MediaTek iaitu Dimensity 8350 Elite yang merupakan cip 4nm yang menawarkan prestasi pemprosesan luar biasa sesuai untuk multitasking, gaming, kerja, hiburan dan suntingan video
Selain itu, Dimensity 8350 Elite juga menawarkan sehingga 20% peningkatan prestasi CPU dan sehingga 60% peningkatan GPU serta 3.3 kali lebih baik dalam tugas yang meliputi AI.
Seterusnya, HONOR Pad V9 di Malaysia disertakan dengan 12GB RAM bersama 12GB RAM Turbo untuk pengalaman tablet yang sentiasa lancar dengan pembukaan lebih banyak aplikasi dilatar belakang. Terdapat juga storan dalaman 256GB dan tiada sokongan kad microSD disertakan.
Beralih kepada antaramuka, HONOR Pad V9 hadir dengan MagicOS 9.0 yang berasaskan Android 15 dan ianya membawakan pelbagai ciri baharu yang termasuk HONOR AI seperti AI Suggestions, Magic Text dan Magic Portal.
Selain itu, aplikasi HONOR Notes juga tampil dengan beberapa ciri AI Notes yang akan memudahkan lagi tugas-tugas dalam kehidupan harian seperti
- AI Summary – mampu merumuskan kenyataan akhbar yang panjang kepada teks rumusan yang lebih ringkas. terdapat dua pilihan gaya penulisan iaitu Informational dan Brief.
- AI Format – mampu merumuskan dan format semula teks mengikut keperluan pengguna.
- AI Minutes – mampu mengubah rakaman audio ketika mesyuarat kepada ringkasan berbentuk teks yang boleh dikategorikan mengikut kesesuaian pengguna. Ianya juga mengecam suara yang berbeza dan mengubah percakapan ini kepada teks secara langsung.
Selain itu, HONOR Pad V9 juga memiliki ciri AI Voiceprint Noise Cancellation dimana tablet mampu mengecam suara anda secara automatik pada setiap masa, menapis sebarang pencemaran bunyi dan bunyi persekitaran untuk kualiti panggilan audio yang jelas dan berkualiti tinggi.
Bercakap mengenai HONOR Touchpad Keyboard dan HONOR Magic Pencil 3, ianya tersambung secara automatik apabila dipasangkan pada tablet melalui sambungan Bluetooth manakala Magic Pencil 3 ini boleh diletakkan pada bahagian sisi atas untuk penyambungan dan pengecasan.
Mengulas mengenai kegunaan HONOR Touchpad Keyboard ini, ianya menawarkan pengalaman menaip yang sangat selesa dimana pada pendapat kami menaip pada tablet ini adalah lebih baik berbanding pada tablet lain yang pernah kami gunakan dan memiliki touchpad yang menawarkan fungsi seperti tetikus serta sokongan pelbagai gesture lain adalah kelebihan yang pasti anda hargai.
Dalam pada itu, Magic Pencil 3 pula menawarkan pengalaman menulis seperti pada kertas dan setiap input stylus pad skrin juga amat responsif. Ianya sudah pastinya akan diminati oleh pengguna yang kreatif seperti membuat lukisan digital atau sekadar untuk mencatat nota menggunakan aplikasi HONOR Notes.
Selain itu, Aplikasi HONOR Docs juga sesuatu yang sangat berguna kepada pengguna yang lebih professional dan ianya menawarkan sokongan bagi pelbagai jenis format dokumen yang universal seperti
Dalam pada itu, HONOR Docs juga menawarkan operasi seperti PC dan anda juga boleh melaras size aplikasi ini dengan lebih mudah untuk melakukan rujukan lain pada masa yang sama. Ianya juga menawarkan sokongan penggunaan Magic Pencil 3 untuk catatan nota tambahan pada fail dokumen dengan mudah dan cepat.
Antara jenis dokumen yang disokong pada HONOR Docs adalah Words (Doc), Excel (sheet) dan Power Point (Slide) serta sokongan menukar pelbagai format dokumen kepada PDF termasuk ‘merge’ PDF dan ‘split’ PDF.
Turut diperkenalkan pada HONOR Pad V9 ini adalah Free Space dimana pada mod ini anda boleh melaras setiap saiz aplikasi yang dibuka pada skrin dan maksima sebanyak tiga aplikasi boleh dibuka serentak namun ada aplikasi yang tidak menyokong Free Space ini. Ini sudah pastinya memudahkan anda melakukan beberapa tugas serentak atau membuat rujukan dari aplikasi lain.
Lain-lain ciri yang ditawarkan pada HONOR Pad V9 adalah Magic Ring dan Magic Portal yang pasti anda tahu tentang kegunaanya jika anda pernah menggunakan telefon pintar atau peranti HONOR yang lain.
Bateri
Walaupun hadir dengan profil rekaan yang nipis, HONOR Pad V9 memiliki saiz bateri yang agak besar iaitu 10,100mAh dan ini memberikan pengguna jangka hayat bateri yang lebih lama walaupun digunakan sepanjang hari untuk tujuan hiburan, kerja dan banyak lagi.
Bateri yang digunakan pada HONOR Pad V9 ini menjanjikan sehingga 13.5 jam penstriman dalam talian, 7.2 jam waktu gaming, 16.7 jam pelayaran media sosial, atau sehingga 40 jam pendengaran muzik.
Penutup
Pelancaran tablet HONOR Pad V9 sebagai permulaan kepada era HONOR ALPHA Plan di Malaysia adalah sesuatu yang sesuai untuk menyokong visi syarikat ini untuk berkembang daripada jenama telefon pintar menjadi sebuah syarikat ekosistem global yang dipacu oleh AI.
Dengan ekosistem yang semakin lengkap, HONOR adalah antara jenama yang kini mempunyai pelbagai kategori produk dibawah satu bumbung yang menjadikan
HONOR sebagai antara jenama Android yang menawarkan ekosistem produk Semua Senario yang lengkap, menjadikannya lebih mudah untuk menjalani kehidupan yang pintar, kekal terhubung, dan banyak lagi, berbanding sebelum ini.
HONOR Pad V9 adalah sebuah tablet yang bukan hanya tampil sebagai peranti dibawah Alpha Plan, ianya juga serba lengkap dengan pelbagai teknologi terkini seperti teknologi perlindungan mata yang menyeluruh, sistem operasi Magic OS 9 yang semakin sempurna dan pelbagai ciri AI menjadikanya teman terbaik anda untuk hiburan dan kerja.
Akhir sekali, HONOR Pad V9 kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM 1,999.
Dapatkan HONOR Pad V9 di laman rasmi HONOR Malaysia