ULASAN : Samsung Galaxy A36 5G – Galaxy A Series yang paling berbaloi untuk dimiliki

ULASAN : Samsung Galaxy A36 5G
Pengenalan
Samsung Galaxy A Series bagi tahun 2025 telah dilancarkan secara rasmi baru-baru ini dan generasi tahun ini boleh dikatakan agak menyeluruh dengan pelancaran tiga model utama iaitu Galaxy A26 5G, Galaxy A36 5G dan Galaxy A56 5G.
Menariknya, penawaran midrange popular Samsung bagi tahun ini agak seimbang dimana kesemua model ini hadir dengan saiz skrin paparan yang sama iaitu 6.7-inci namun model yang mungkin menjadi pilihan ramai adalah Galaxy A36 5G yang merupakan model pertengahan didalam siri A ini.
Antara ciri Galaxy A36 5G yang menjadi tumpuan adalah Awesome Intelligence, cip Snapdragon dan teknologi pengecasan pantas yang setaraf apa yang ditawarkan pada Galaxy S Series.
Samsung Galaxy A36 5G kini ditawarkan di Malaysia pada harga serendah dari RM 1,299 dan jom baca ulasan kami mengenai model ini.
Reka Bentuk
Samsung Galaxy A36 5G menampilkan rekaan yang sama seperti Galaxy A Series sebelum ini iaitu dengan rekaan berasaskan gelas ‘flat’ dengan kombinasi kerangka plastik. Ianya juga mempunyai penarafan IP67.
Selain itu, Galaxy A36 5G kini hadir dengan skrin paparan berukuran 6.67-inci yang menjadikanya lebih tinggi berbanding Galaxy A35 5G.
Dalam pada itu, Samsung juga masih mengekalkan penggunaan gelas keselamatan Victus+ pada panel hadapan dan Victus+ ini juga digunakan pada panel belakang yang memastiknya lebih tahan lasak dan calar.
Selain itu, Samsung juga telah memperkenalkan rekaan modul kamera ‘one piece’ yang lebih seragam dan ianya kelihatan seperti melapisi sensor sebenar dibawah.
Menyentuh tentang warna pula, Galaxy A36 5G hadir didalam 4 warna iaitu Awesome Black, Awesome Lavender, Awesome Lime dan Awesome White yang mana ianya berbeza dari warna Galaxy A56 5G yang mungkin menjadi satu-satunya perbezaan yang ketara antara dua model Galaxy A Series ini.
Seterusnya, jika dibandingkan dengan Galaxy A35 5G, Galaxy A36 5G adalah 1mm lebih tinggi namun ianya 14 gram lebih ringan dan ini berjaya dicapai dengan saiz bezel yang lebih nipis.
Secara keseluruhan, kombinasi kerangka plastik yang matte bersama panel gelas berkilat menjadikan Galaxy A36 5G agak premium dimata kami dan panel belakang yang berkilat ini juga tidak terlalu mengumpul kesan capjari. Ukuran dimensi yang lebih kecil juga menjadikanya amat ideal untuk operasi sebelah tangan dan penggunaan berpanjangan juga tidak akan mendatangkan sebarang isu ketidakselesaan.
Skrin Paparan
Samsung Galaxy A36 5G kini hadir dengan skrin paparan berukuran 6.7-inci dengan bezel lebih nipis yang membolehkan dimensi telefon pintar ini kekal hampir sama seperti Galaxy A35 5G. Seperti yang dimaklumkan pada bahagian reka bentuk, A36 5G juga dilapisi gelas keselamatan Gorilla Glass Victus+
Selain itu, panel skrin Galaxy A36 5G ini adalah jenis AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dengan kecerahan sehingga 1,200 nits bersama Vision Booster untuk pengalaman yang memuaskan tidak kira dibawah cahaya matahari atau dikawasan tertutup.
Bercakap mengenai tetapan kadar segar semula pada Galaxy A36 5G ini iaitu iaitu Standard yang mengekalkan kadar 60Hz sepanjang masa manakala Adaptive memberikan anda kadar segar semula yang tersuai mengikut kandungan namun pada kadar antara 60Hz sehingga 120Hz.
Seterusnya, pada bahagian tetapan terdapat juga dua pilihan warna skrin yang secara tradisinya ditawarkan pada Galaxy A Series iaitu Vivid untuk warna yang lebih tinggi dan Natural untuk warna yang lebih semulajadi.
Lebih lanjut, panel skrin Galaxy A36 5G ini juga menempatkan sensor capjari terbina dalam skrin yang merupakan jenis optikal yang memberikan prestasi yang agak baik namun tidak sepantas sensor ultrasonic.
Pemproses
Samsung Galaxy A36 5G dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 3, berbeza dari Exynos yang digunakan pada Galaxy A35 (Exynos 1380) dan Galaxy A56 (Exynos 1580). Ianya adalah cip 4nm yang disertakan bersama 6GB RAM atau 12GB RAM jenis LPDDR4X RAM serta storan dalaman 128GB atau 256GB.
Dalam pada itu, Samsung Galaxy A36 5G juga hadir dengan One UI 7 yang berasaskan Android 15 dan ianya adalah antara peranti kelas midrange yang menawarkan sokongan perisian paling lama dipasaran iaitu 6 kemaskini Android dan 6 tahun kemaskini keselamatan.
Selain itu, Samsung juga menawarkan beberapa ciri AI pada Galaxy A36 seperti Smart Select yang berupaya menganalisa kandungan pada skrin dengan lebih teliti dan menawarkan tindakan lanjut dari apa yang dipilih.
Anda boleh memilih teks yang ada pada gambar, membuat keratan foto, mencipta GIF daripada Instagram reels atau membuat wallpaper menggunakan foto yang dibuka pada skrin.
Selain itu, Circle to Search juga ditawarkan pada A56 5G yang membolehkan anda membulatkan sesuatu pada skrin dan melakukan carian Google berdasarkanya. Tidak lupa, Gemini juga disertakan namun anda masih mempunyai pilihan untuk menggunakan Bixby.
Seterusnya, pada aplikasi Gallery, Ciri AI yang ditawarkan pada Galaxy A36 5G adalah Object Eraser namun ciri seperti Instant Slow-Mo, Auto Trim dan Best Face hanya ditawarkan pada Galaxy A56 5G.
Secara keseluruhanya, prestasi Galaxy A36 5G adalah memadai bagi sebuah peranti kelas midrange dan ianya amat ideal untuk pengguna yang mempunyai penggunaan harian yang normal.
Kamera
Samsung Galaxy A36 5G menawarkan sistem kamera yang lebih sama seperti pada Galaxy A35 5G dengan penggunaan sensor utama 50MP bersama sensor ultrawide 8MP sensor dan sensor makro 5MP.
Jika anda mencari upgrade pada bahagian kamera, ianya adalah pada bahagian kamera selfie dimana Galaxy A36 5G kini hadir dengan sensor 12MP berbanding sensor 13MP pada Galaxy A35 5G (kualiti imej dijangka lebih baik dengan sensor 12MP).
Walaupun tidak hadir dengan upgrade yang ketara, kamera Galaxy A36 5G dilihat mampu memberikan pengguna sebuah pakej kamera yang setimpal dengan harga.
Sensor utama 50MP yang digunakan pada Galaxy A36 5G ini adalah sensor IMX882 mampu memberikan hasil gambar yang memuaskan.
Sensor ultrawide pada Galaxy A36 5G dilihat tidak dapat memberikan hasil yang luar biasa namun ianya mampu menjalankan tugas pada kategori memuaskan.
Seterusnya adalah sensor makro yang mana Samsung menggunakan sensor 5MP untuk fotografi makro yang sudah pastinya lebih baik berbanding sensor 2MP dan kami juga agak berpuas hati dengan gambar-gambar makro yang diambil menggunakan sensor ini.
Akhir sekali adalah ke sensor selfie yang kini hadir dengan penggunaan sensor 12MP yang ternyata memberikan hasil gambar swafoto yang lebih baik dimana wajah dan tona warna kulit adalah lebih semulajadi.
Bateri
Samsung Galaxy A35 5G hadir dengan kapasiti bateri yang sama seperti Galaxy A55 5G namun penggunaan cipset yang lebih berkuasa tinggi dan skrin yang lebih besar pasti memberikan kesan kepada jangka hayat bateri. Samsung mendakwa Galaxy A36 mampu memberikan sehingga 29 jam waktu penggunaan didalam satu pengecasan penuh iaitu hampir 3 jam lebih lama berbanding Galaxy A35 5G.
Selain itu, Samsung Galaxy A36 5G kini menyokong pengecasan pantas 45W yang mana waktu yang diperlukan untuk pengecasan penuh adalah hampir sama seperti pada Galaxy A35 yang hadir dengan kadar pengecasan pantas 25W namun pengecasan ke tahap 65% boleh dicapai dengan lebih pantas iaitu didalam masa 30 minit sahaja.
Lebih lanjut, teknologi pengecasan yang ditawarkan ini meletakkan Galaxy A36 5G sama seperti telefon pintar flagship Galaxy S yang turut hadir dengan kadar pengecasan yang sama.
Penutup
Selain Galaxy A56 5G, Samsung Galaxy A36 5G adalah pertaruhan terbaik syarikat gergasi Korea yang bertanggungjawab membawa angka jualan yang tinggi sekaligus akan mengekalkan kedudukan No.1 syarikat ini dipasaran telefon pintar global.
Pada harga yang lebih berpatutan iaitu serendah RM 1,299, Galaxy A36 5G dilihat akan menjadi telefon pintar yang mendapat permintaan paling hangat dikalangan semua model Galaxy A Series yang dilancarkan.
Dapatkan Samsung Galaxy A36 5G di Samsung Online Store sekarang.