Magic Portal 2.0 dengan sokongan aplikasi Trip.com, Shopee dan Grab kini tiba ke HONOR Magic7 Pro

HONOR telah mula menawarkan satu kemaskini perisian baharu yang membawa beberapa ciri AI baharu ke telefon pintar flagship 2025 syarikat ini iaitu HONOR Magic7 Pro.
Melalui kemaskini perisian terkini, pengguna boleh menikmati kemudahan yang dipertingkatkan dan fungsi pintar melalui keupayaan Magic Portal – Portal to anywhere serta fungsi akses pintu NFC yang inovatif.
Menariknya, versi baharu Magic Portal ini kini diintegrasikan dengan platform popular agensi pelancongan dalam talian, Trip.com, platform e-dagang Shopee dan perkhidmatan e-panggilan Grab bagi membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan dengan lancar.
Penambahbaikan ini bukan sahaja meluaskan skop pelbagai tugas, malah meningkatkan pengalaman pengguna dengan menyediakan akses pantas kepada aplikasi penting.
Dengan Magic Portal 2.0 , pengguna juga boleh membuat bulatan menggunakan buku jari untuk akses pantas ke aplikasi dan perkhidmatan berkaitan. Sama ada untuk mencari maklumat, navigasi, imej atau membeli-belah, pengguna hanya perlu bulatkan teks atau imej dan seret ke tepi skrin HONOR Magic7 Pro untuk membuka aplikasi yang diinginkan dalam Magic Portal.
Dengan integrasi Trip.com ke dalam Magic Portal, pengguna kini boleh menyemak dan menempah penerbangan, hotel, pengangkutan, lawatan, dan tiket tarikan dengan lebih mudah. Proses yang diperkemaskan ini membolehkan perancangan perjalanan menjadi lebih ringkas dan mudah.
Jika terlihat sesuatu yang menarik semasa melayari media sosial, pengguna boleh bulatkan dengan menggunakan buku jari pada item tersebut dan leretkanya ke Shopee dalam Magic Portal untuk mendapatkan harga dan butiran lengkap dengan segera.
Selain itu, sekiranya rakan hanya memberikan nama restoran semasa membuat jemputan makan tanpa alamat lengkap, jangan risau. Hanya bulatkan nama restoran tersebut dengan belakang jari dan seretnya ke aplikasi Grab dalam Magic Portal untuk menempah perjalanan terus ke destinasi tersebut.
Dalam pada itu, pengguna tidak perlu lagi membawa banyak kad akses tempat kerja atau kediaman dalam dompet dengan adanya fungsi akses pintu NFC pada HONOR Magic7 Pro. Pengguna boleh menyentuh telefon pintar mereka pada pembaca untuk akses terus. Teknologi ini menggabungkan semua kemudahan dalam satu peranti.
Pada masa ini, aplikasi baharu di Magic Portal dan fungsi akses pintu NFC hanya terdapat pada HONOR Magic7 Pro dan akan dilancarkan ke telefon pintar HONOR lain pada masa depan.