realme C75 kini rasmi di Malaysia – telefon pintar tahan lasak pertama dunia dengan pensijilan IP66, IP68 dan IP69
realme secara rasminya telah melancarkan telefon pintar realme C75 yang menjadi telefon pintar pertama didunia untuk menerima pensijilan Rugged Smartphone dari TÜV Rheinland. Ianya juga menjadi yang pertama untuk memiliki penarafan kalis air dan habuk IP66, IP68 dan IP69.
Selain itu, realme C75 juga memiliki teknologi ArmorShell Glass dan ArmorShell Protection yang memberikan telefon pintar ini ketahanan luar biasa dari jatuhan dan skrin retak.
Terus kepada spesfikasi, realme C75 hadir dengan skrin paparan HD+ berukuran 6.72-inci dengan kadar segar semula 90Hz dan ianya turut menempatkan kamera selfie 8MP.
Selain itu, realme C75 juga dikuasakan cip pemprosesan Helio G92 Max, 8GB RAM + 16GB Dynamic RAM dan 256GB storan dalaman. Ianya juga hadir dengan realme UI 5.0 yang berasaskan Android 15 yang turut membawakan ciri AI seperti AI Smart Loop, AI Boost dan AI Clear Face.
Beralih kepada kamera, realme C75 menampilkan satu sensor utama 50MP f/1.8 bersama sensor flicker.
Bercakap mengenai bateri, realme C75 ini memiliki bateri berkapasiti 6,000mAh yang membawakan sokongan pengecasan pantas 45W. Ianya juga dijamin mampu mengekalkan 80% kapasiti walaupun selepas 4 tahun penggunaan.
Selain itu, realme C75 juga memiliki pembesar suara super-linear dengan 400% UltraBoom, sokongan Tri-Slot dan ciri Mini Capsule 3.0 yang kini turut menawarkan sokongan bagi aplikasi Grab.
Akhir sekali, realme C75 akan hadir didalam dua warna iaitu Lightning Gold dan Strom Black pada harga RM 699 sahaja.