ULASAN : Vivo Watch 3 – Jam tangan pintar premium mesra pengguna Android
Pengenalan
Kehadiran jam tangan pintar vivo dipasaran Malaysia boleh dikatakan sedikit lewat berbanding jenama lain namun pertaruhan Vivo didalam pasaran jam tangan pintar dilihat cukup berdaya saing.
Vivo telah melancarkan jam tangan pintar Vivo Watch 3 di Malaysia baru-baru ini pada harga dari RM 899 dan tahap harga ini meletakkanya didalam kategori jam tangan premium Android.
Berikut adalah ulasan Vivo Watch 3 yang dikuasakan sistem operasi tersendiri vivo iaitu BlueOS dan ditawarkan di Malaysia pada harga dari RM 899.
Reka Bentuk & Skrin Paparan
Sekilas pandang, Vivo Watch 3 kelihatan sama seperti sebuah jam tangan biasa dengan paparan bulat yang mana ianya turut memiliki dua butang fizikal iaitu rotating crown dengan kemasan elegan bergerigi dan satu lagi butang fungsi.
Selain itu, Vivo Watch 3 ini juga memiliki kerangka yang diperbuat daripada aluminium aloi yang menjanjikan ketahanan tinggi namun pada masa yang sama sangat ringan iaitu hanya 36gram (tidak termasuk tali).
Seterusnya, Vivo Watch 3 ini memiliki paparan Borderless 3D Large Curved Glass yang sangat premium namun saiz bezel hitam disekeliling skrin yang agak tebal sedikit menjejaskan penampilanya.
Ianya adalah skrin paparan jenis AMOLED berukuran 1.43-inci dengan resolusi 466 x 466 piksel yang memberikan anda satu paparan yang cukup sempurna dengan warna vivid dan amat senang untuk dilihat walaupun dibawah cahaya matahari.
Meneruskan lagi bahagian reka bentuk adalah jam tangan pintar Vivo Watch 3 ini juga mempunyai penarafan kalis air 5ATM yang bermaksud ianya boleh digunakan sehingga pada kedalaman 50 meter untuk tempoh 10 minit.
Bercakap mengenai pilihan warna, Vivo Watch 3 ditawarkan didalam dua warna iaitu Asteroid Black dengan tali silikon dan Moonlight White dengan tali kulit berwarna putih. Ianya hadir dengan mekanisma butang quick-release yang memudahkan penukaran tali jam.
Secara keseluruhan, Vivo Watch 3 hadir sebagai antara jam tangan pintar yang sangat elegan untuk dipakai dan rekaan yang trendy juga memastikan ianya boleh disesuaikan pada semua jenis gaya fesyen.
Ciri-Ciri Kecergasan & Kesihatan
Vivo Watch 3 boleh digunakan bersama kesemua jenama telefon pintar Android iaitu dengan memuatturun aplikasi Vivo Health pada telefon pintar anda. Ianya memerlukan tetapan yang mudah dan aplikasi ini menawarkan pelbagai tetapan jam dan anda juga boleh mengakses stor Watch Face untuk melihat koleksi meluas rekaan watch face yang tersedia.
Dalam pada itu, Vivo Watch 3 adalah jam tangan pintar dan seperti jam tangan pintar lain dipasaran, ianya memiliki pelbagai sensor yang bertanggungjawab merekodkan setiap aspek kesihatan dan kecergasan pemakai.
Vivo Watch 3 tampil dengan sensor degupan jantung 8 saluran dan monitor oksigen darah 16 saluran, digabungkan dengan teknologi analisis gabungan kadar jantung AI pembelajaran mendalam vivo yang dibangunkan sendiri dan reka bentuk yang disasarkan.
Selain itu, Vivo Watch 3 juga mempunyai sokongan lebih 100 mod kecergasan dan terdapat juga mekanisma pengesanan aktiviti secara automatik bagi aktiviti seperti berjalan, berlari atau berbasikal.
Selain bacaan kadar degupan jantung dan SpO2, Vivo Watch 3 juga memiliki kebolehan untuk memberikan anda amaran bunyi bising disekeliling anda dan tahap stress anda.
Lebih lanjut, Vivo Watch 3 menyokong notifikasi daripada hampir kesemua aplikasi yang digunakan pada telefon pintar anda namun ianya sekadar boleh dilihat yang bermaksud anda tidak boleh membalas terus notifikasi daripada aplikasi seperti WhatsApp atau mesej.
Satu lagi ciri berguna pada Vivo Watch 3 adalah NFC yang membolehkan anda menyimpan data kad akses rumah anda dan lif kediaman anda pada jam yang pastinya memudahkan lagi kehidupan seharian anda.
Secara keseluruhan, Vivo Watch 3 adalah sebuah jam tangan pintar yang serba lengkap dan ianya memiliki beberapa ciri yang tidak ditawarkan pada jam lain seperti pengesanan bunyi bising dan sokongan NFC untuk kad akses.
Menguasakan kesemua ini adalah Vivo BlueOS yang dibangunkan sendiri oleh syarikat ini dan ianya menggunakan cip Bestechnic BES2700BP, 64MB RAM dan 4GB storan dalaman.
Jangka Hayat Bateri
Vivo Watch 3 menawarkan sehingga 16 hari penggunaan didalam satu pengecasan penuh iaitu pada mod Bluetooth manakala pengunaan lebih agresif dilihat mampu memberikan anda pengunaan sehingga 7 hari.
Pengecasan Vivo Watch 3 boleh dilakukan melalui pengecas magnetik yang disertakan didalam kotak pembelian.
Penutup
Vivo Watch 3 terbukti sebagai antara jam pintar yang lebih mesra pengguna Android kerana anda boleh menikmati kesemua ciri-ciri jam ini tidak kira jenama telefon pintar anda.
Selain itu, Watch 3 juga tampil elegan dengan rekaan yang sangat premium namun agak terhad didalam pemilihan tali jam.
Jika anda sedang mencari jam tangan pintar Android yang berbaloi untuk dimiliki, Vivo Watch 3 yang ditawarkan pada harga dari RM 899 juga wajar diberikan pertimbangan.