ULASAN : OPPO Reno12 5G – selamat datang ke era GenAI
Pengenalan
OPPO Reno12 Series telah dilancarkan di Malaysia baru-baru ini yang mana ianya tiba hanya 6 bulan selepas pelancaran Reno11 Series.
Walaubagaiamanapun, OPPO Reno12 Series boleh dikatakan membawa perubahan terbesar didalam sejarah Reno Series khususnya kerana ianya menjadi telefon pintar pertama syarikat ini yang tampil dengan ciri GenAI yang menyemarakkan kreativiti.
Selain itu, sinonim dengan Reno Series, Reno12 Series menampilkan rekaan yang sentiasa unik dan tahun ini juga tidak terkecuali.
Seterusnya, antara spesfikasi Reno12 yang pasti mendapat perhatian pengguna adalah skrin 120Hz 3D Curved yang dilapisi gelas Corning Gorilla Glass 7i dan kerangka aloi, cip 4nm MediaTek Dimensity 7300-Energy For Reno dan bateri 5,000mAh bersama pengecasan pantas 80W SUPERVOOC.
Spesifikasi di atas memang cukup menggagumkan,
namun ciri utama yang akan menjadi tumpuan pada model ini adalah GenAI OPPO, yang akan menjadikan Reno12 pembantu harian anda dan anda akan segera mendapati diri anda tidak dapat hidup tanpanya.
Semua ini dimungkinkan dengan ciri GenAI baharu yang merevolusikan pengalaman pengguna untuk membuka kunci produktiviti baharu.
Untuk mengetahui lebih mendalam tentang OPPO Reno12 dan GenAI, teruskan membaca ulasan kami.
Reka Bentuk
OPPO Reno12 menjadi simbol kejayaan R&D syarikat ini didalam sains pembuatan, pemprosesan kaca dan kejuruteraan struktur yang menjadikan Reno12 sebagai telefon Reno Series yang paling anggun dan teguh.
Pada panel gelas belakang, Reno12 menampilkan kemasan Fluid Ripple Texture yang memberikan kesan 3D yang premium dan ianya juga ditambah dengan kemasan bergerigi sekeliling modul kamera yang elegan dan mewah.
Selain rekaan yang menarik, Reno12 juga mempunyai mempunyai struktur tegar yang direka dengan OPPO High-Strength Alloy Framework yang kukuh seperti logam namun sangat ringan dan ergonomik untuk digunakan. Ianya mempunyai berat hanya 177 gram dengan ketebalan 7.57mm menjadikanya sangat selesa untuk digunakan walaupun untuk tempoh yang panjang.
Selain itu, Reno12 juga mempunyai sisi yang melengkung pada bahagian dan belakang untuk memberikan lebih cengkaman ketika dipegang.
Dalam pada itu, OPPO Reno12 ini didatangkan didalam dua kemasan warna iaitu Matte Brown dan Astro Silver seperti unit ulasan kami.
Seterusnya, bagi meningkatkan ketahanan Reno12 terhadap jatuhan dan impak hentaman, OPPO telah menggunakan teknologi biomimetik untuk mereka semula bahan kusyen dalaman. komponen utama pada bahagain dalam telefon dikelilingi oleh bahan kusyen ini, yang menyediakan zon penampan untuk memastikan penyerapan kejutan yang mencukupi terhadap hentaman dari mana-mana sudut.
Reno12 juga tampil dengan penarafan air dan habuk IP65. Selain itu, komponen kritikal di seluruh telefon, termasuk bukaan, pembesar suara, USB-C port, dan dulang kad SIM, telah diperkukuh untuk menjadikanya telefon pintar yang lebih kalis air.
Secara keseluruhan , OPPO Reno12 ternyata telah meningkatkan mutu rekaan dan kekukuhan telefon pintar Reno Series dan ini adalah Reno terbaik pernah kami lihat.
Skrin Paparan
OPPO Reno12 menampilkan penggunaan skrin paparan paling tahan lasak pernah ditawarkan pada Reno Series dengan penggunaan Gorilla Glass 7i dan skrin paparan 3D dual-curved ini memiliki bezel yang sangat nipis iaitu hanya 1.56mm dan ini meletakkanya sebagai antara telefon pintar dengan bezel sisi ternipis dipasaran.
Tambahan lagi, OPPO juga telah menggunapakai penyelesaian untuk meningkatkan ketepatan sentuhan, mengurangkan kebarangkalian sentuhan yang tidak disengajakan.
Selain itu, skrin Reno12 ini juga memiliki teknologi Splash Touch yang membolehkan anda mengetik dan meleret skrin seperti biasa walaupun terdapat titisan air pada skrin atau jari anda. Kini tidak lagi menjadi masalah untuk menjawab panggilan semasa mandi dengan tangan yang basah, atau menghantar mesej teks pada hari hujan dengan titisan hujan pada skrin telefon.
Lebih lanjut, Reno12 juga memiliki mod Bedtime yang melaraskan suhu warna skrin sepanjang hari untuk meminimumkan kesan pada tahap melatonin semula jadi anda, supaya anda boleh menikmati rehat dengan kualiti tidur yang lebih baik. Kadar PWM Dimming skrin ini adalah 2160Hz.
Seterusnya, skrin paparan OLED berukuran 6.7-inci ini memiliki resolusi FHD+ dengan kadar segar semula dinamik sehingga 120Hz (60,90,120Hz) dan kecerahan maksima sehingga 1200nits. Reno12 juga memiliki sensor capjari dalam skrin dan lubang punch-hole ditengah yang menempatkan kamera selfie 32MP.
Secara keseluruhan, Reno12 boleh dikatakan sebagai sebuah model contoh bagaimana skrin paparan pada peranti Android harus direka khususnya bagi peranti pada kelas harga yang setara.
Pemproses
Reno12 merupakan telefon pintar pertama yang menampilkan cipt MediaTek Dimensity 7300-Energy For Reno . Ianya dibangunkan berasaskan proses 4nm yang canggih, SoC ini direka untuk keseimbangan kuasa yang menampilkan seni bina octa-core dengan empat teras A78 berprestasi tinggi dan empat teras cekal tenaga A55 , yang memastikan prestasi lancar dengan penggunaan kuasa yang sangat rendah.
Bersama cipset ini, Reno12 memiliki 12GB RAM dan storan dalaman 256GB (UFS 3.1) bersama ciri RAM Expansion yang menawarkan tambahan sehingga 12GB RAM daripada storan dalaman.
Selain itu, Reno12 ini hadir dengan ColorOs 14.1 yang berasaskan Android 14 dan ColorOS 14.1 ini membawakan beberapa ciri tambahan terutamanya yang berkait dengan AI atau GenAI mengikut strategi pemasaran OPPO.
Antara ciri GenAI yang ditawarkan ketika penulisan ulasan ini adalah fungsi AI Toolbox yang tersedia pada sidebar yang mampu untuk mengenali apa yang anda lakukan pada telefon dan mengesyorkan ciri AI seperti AI Writer, AI Speak dan AI Summary.
Akhir sekali, AI Recording Summary melakukan ringkasan daripada kandungan selepas mesyuarat, temu bual, atau pun nota suara anda sendiri, Ringkasan ini juga boleh dieksport ke aplikasi Notes, di mana maklumat seperti senarai tugasan, masa dan lokasi diserlahkan dan diformatkan untuk memudahkan pembacaan.
AI Recording Summary ialah ciri GenAI baharu OPPO berdasarkan Google Gemini. Ciri ini menyokong penukaran pertuturan ke teks dalam bahasa Cina, Inggeris dan Hindi dengan maksimum 45,000 perkataan. Lebih banyak bahasa akan disokong pada masa hadapan.
Menutup bahagian ini dengan komitmen OPPO bahawa Reno12 ini akan menerima dua kemaskini Android dan tiga tahun kemaskini keselamatan berkala.
Kamera
OPPO Reno12 hadir dengan sistem tri-kamera yang terdiri daripada sensor utama 50MP LYT600 yang memiliki aperture f/1.8 dan OIS, sensor ultrawide 8MP IMX355 dengan aperture f/2.2 dan sensor makro 2MP OVB2B10 yang menawarkan fotografi zoom pada jarak 4cm. Kamera selfie Reno12 adalah unit 32MP yang juga membawakan pemfokusan PDAF.
Berdasarkan konfigurasi kamera ini, kita boleh lihat dengan jelas bahawa OPPO menyasarkan pangkalan pengguna yang lebih muda kerana sistem kamera mempunyai kebolehan untuk menghasilkan foto dan video yang bagus untuk media sosial.
Selain itu, sensor utama LYT-600 pada Reno12 ini juga menyokong mod portrait 2x menggunakan teknologi In-sensor Zoom yang menawarkan menawarkan potret berkualiti optik di pada 2x zoom digital yang memberikan anda komposisi yang ideal untuk merakam potret pengguna yang menyaingi kamera profesional.
Dalam pada itu, Reno12 juga boleh menangkap lebih banyak lagi kesan pencahayaan yang realistik dan tona kulit semula jadi . Natural Tone pada Reno12 mengesan pelbagai adegan — termasuk warna kulit yang unik, bangunan di sekeliling, dan pencahayaan persekitaran—memberikan anda tona kulit yang paling semula jadi sama ada anda mengambil swafoto individu atau kumpulan foto.
Bercakap mengenai kualiti gambar dari sensor utama, ianya menghasilkan foto yang bagus dan vibrant yang tajam tetapi kurang perincian halus apabila dilihat dari dekat. Sensor ultrawide Reno12 juga ternyata mengatasi jangkaan kami dengan kualiti gambar dan warna yang cukup seimbang.
Seterusnya, penglibatan AI pada bahagian kamera OPPO Reno12 boleh dilihat melalui ciri seperti AI Eraser 2.0 yang membolehkan anda memadam objek atau orang didalam gambar selepas gambar diambil. AI Eraser ini tersedia pada aplikasi Photos ( edit > AI Eraser) dan terdapat tiga pilihan pada ciri ini iaitu Smart Lasso, Paint Over dan Remove People.
Dalam pada itu, dua lagi ciri AI pada aplikasi Photos ialah AI Clear Face dan AI Best Face yang memastikan gambar selfie dan kumpulan yang diambil adalah terbaik dan semuanya nampak sempurna didalam gambar tersebut. Dalam pada itu, AI Studio pula membolehkan anda mengubah mana-mana foto diri anda menjadi avatar digital atau menggunakanya sebagai gambar profil anda.
Secara keseluruhan, OPPO Reno12 menawarkan pengguna sebuah pakej kamera yang sangat berkemampuan namun pada tahap harga ini, kami berpendapat ada model yang mampu menawarkan sistem kamera yang lebih baik.
Ini tidak bermaksud bahawa Reno12 mempunyai kamera yang tidak baik namun jika fotografi adalah fokus utama anda, anda mungkin boleh melihat kepada Reno12 Pro.
Bateri
OPPO Reno12 dikuasakan bateri berkapasiti 5,000mAh yang ditala khas untuk cipset Dimensity 7300-Energy dan ini mungkin bermaksud optimasi perisian dan cipset memainkan peranan besar didalam meningkatkan jangka hayat bateri telefon pintar ini.
Selain itu, OPPO juga mendakwa bahawa bateri pada Reno12 mampu mengekalkan kesihatan bateri yang baik walaupun selepas 4 tahun digunakan.
Seterusnya, Reno12 juga membawakan teknologi pengecasan pantas 80W SUPERVOOC Flash Charge yang menawarkan pengecasan dari tahap 0% ke 100% didalam masa 47 minit sahaja.
Penutup
OPPO Reno12 adalah sebuah peranti kelas midrange premium yang berbaloi dimiliki khususnya kerana rekaan premium Reno yang sangat terserlah dengan keunikanya.
Pada harga RM 2,199, Reno12 memasuki pasaran didalam kelas yang sangat kompetitif dan pengguna sudah pastinya akan melihat potensi telefon pintar ini apabila dibandingkan dengan telefon pintar lain didalam kelas harga yang sama.