Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

5G KINI TERSEDIA UNTUK KELUARGA MALAYSIA

5G KINI TERSEDIA UNTUK KELUARGA MALAYSIA

5G KINI TERSEDIA UNTUK KELUARGA MALAYSIA

MENGHUBUNGKAN RAKYAT KE MASA HADAPAN

Potensi tanpa had dalam cara anda hidup, bekerja dan bersuka ria.

Kesalinghubungan merupakan teras produktiviti masa hadapan, dan rakyat Malaysia bersedia untuk melangkah ke arah pendigitalan global. Hari ini, kita berada di puncak revolusi 5G yang akan membawa kita ke masa hadapan melalui kecekapan dan daya saing berkuasa digital dengan adanya internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

Dicipta dengan kelajuan sehingga 100 kali lebih pantas berbanding 4G, melalui kapasiti yang lebih besar dan kadar lengahan hampir sifar, 5G bakal membuka kunci inovasi dalam ekonomi digital, serta memberi pelbagai penyelesaian untuk keterangkuman sosial.

Meliputi pelbagai kemungkinan tanpa had, kami meramalkan ketersambungan yang lancar di seluruh negara. Inovasi seperti Realiti Ditambah (AR), Kecerdasan Buatan (AI), Komunikasi Jenis Mesin Besar-besaran (mMTC), dan Komunikasi Berkadar Lengahan Rendah yang Boleh Dipercayai (URLLC) ditetapkan bagi meningkatkan tahap amalan optimum industri yang terkini.

Oleh itu, terdapat keperluan mendesak bagi Malaysia untuk membangun dan menggunakan teknologi perkhidmatan 5G, kerana ia adalah penting dalam menentukan daya saing setiap negara di peringkat global.

KEMUNGKINAN MASA HADAPAN: MELONJAKKAN MALAYSIA SEBAGAI PESAING GLOBAL

Lebih pantas Malaysia mencapai liputan 5G di seluruh negara, semakin pantas ia dapat meraih keuntungan ekonomi yang besar. Menurut kajian EY baru-baru ini mengenai potensi impak ekonomi 5G, sebanyak RM650 bilion peningkatan KDNK kumulatif dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan RM150 bilion pada tahun 2031 sahaja. Lebih kurang 750,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baru akan dicipta menjelang 2030, dan akan menjadi satu kelebihan buat Malaysia berbanding negara-negara jiran.

Sementara itu, potensi penggunaan dan manfaat 5G akan meliputi setiap aspek kehidupan seharian, dengan penggunaan teknologi dan data bagi meningkatkan kualiti hidup, menerusi sistem lalu lintas yang lebih baik dan masa perjalanan yang lebih pendek, bagi mengoptimumkan penggunaan utiliti dan sisa kitar semula, tindak balas kecemasan yang lebih cepat, dan banyak lagi. Malah pengalaman seperti membeli-belah akan berbeza kerana persekitaran runcit dioptimumkan dengan ciri AR yang mendalam.

Sememangnya, terdapat begitu banyak potensi dengan kesalinghubungan 5G.

 

JANGAN LEPASKAN PELUANG KEEMASAN 5G

4G – IMBAS KEMBALI JANJI-JANJI YANG TIDAK DIPENUHI.

Berapa kerapkah anda berasa kecewa dengan fail yang dimuat turun lebih perlahan daripada yang diharapkan? Pada waktu seperti ini, kita rasa kecewa dengan janji-janji kelajuan dan kecekapan yang kita bayar, namun penghantaran sebenar tidak seperti dijanjikan. Untuk mengeruhkan lagi keadaan, gangguan kelajuan dan liputan data yang tidak konsisten bukan sahaja mempengaruhi keadaan kita sekarang, tetapi juga menjadi gumpalan isu rumit hingga ke tahap di mana mata pencarian dan perniagaan boleh terjejas.

Dan kerumitan ini meluas, apabila kita melihat sorotan dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam keadaan liputan 4G semasa.

Setakat tahun lepas sahaja, penggunaan data mudah alih rakyat Malaysia meningkat ke tahap tertinggi di ASEAN pada pertumbuhan 35.2% pada tahun 2021 berbanding 2020.

Isu 1: Kualiti rangkaian yang merosot

Namun, walaupun penggunaan tahun lepas meningkat, aduan mengenai perkhidmatan selular melonjak sebanyak 433% berbanding tahun sebelumnya, dengan 90% aduan ini berkaitan dengan Kualiti Rangkaian.

Isu 2: Kos yang lebih tinggi berbanding dengan kualiti perkhidmatan

Walaupun begitu, rakyat Malaysia kini membayar purata harga pengguna tertinggi untuk perkhidmatan mudah alih mereka berbanding negara jiran di rantau ini, iaitu hampir 1.5% daripada KDNK per kapita atau purata RM50 sebulan.

Isu 3: Malaysia ketinggalan di peringkat serantau dan global

Kesannya, Malaysia berada di kedudukan yang rendah di rantau ini dalam kelajuan data mudah alih 4G. Di peringkat global, Malaysia ketinggalan lebih jauh, menduduki tempat ke-81 untuk kualiti kesalinghubungan mudah alih, dan ke-6 di kalangan sembilan negara ASEAN, menurut kajian baru-baru ini dalam Global Mobile Experience.

Isu 4: Jurang digital pinggiran bandar

Tambahan pula, syarikat telekomunikasi telah mengabaikan kawasan berpenduduk yang rendah dan luar bandar ketika pelaksanaan 4G, lalu mewujudkan jurang digital yang besar di mana kawasan luar bandar hanya mempunyai kadar kejayaan sebanyak 44% dalam sambungan 4G berbanding 83.7% di kawasan bandar.

KERAJAAN BERTEKAD UNTUK MENINGKATKAN EKONOMI DIGITAL MALAYSIA

Kos perkhidmatan mudah alih yang tinggi, kedudukan kesalinghubungan mudah alih yang mengecewakan di peringkat serantau dan global, dan kualiti rangkaian yang merosot adalah pemacu bagi kerajaan melaksanakan perubahan untuk menerajui visi ekonomi digital Malaysia yang baharu. 

Oleh itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu entiti bagi mempercepatkan pelaksanaan dan penerimaan 5G di seluruh negara, dengan objektif menyokong transformasi Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam ekonomi digital, dan mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif.

PENUBUHAN DNB SEBAGAI PEMBOLEH 5G MALAYSIA

Pada 1 Mac, Kementerian Kewangan mengumumkan penubuhan DNB, sebagai Syarikat Tujuan Khas (Special Purpose Vehicle atau SPV) untuk pelaksanaan 5G di Malaysia. DNB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi menyediakan liputan dan kapasiti 5G secara borong kepada pemegang lesen lain di bawah akta tersebut. 

Kos 10 tahun pelaksanaan 5G yang diterajui oleh DNB dianggarkan bernilai RM16.5 bilion, yang akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor perkhidmatan kewangan domestik berdasarkan model perniagaan DNB.

RANGKAIAN BORONG TUNGGAL AKAN MEMBOLEHKAN HARGA PERKHIDMATAN 5G LEBIH RENDAH UNTUK PENGGUNAAN RAKYAT

Bagi mencapai sasaran 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk negara menjelang tahun 2024, model yang komprehensif diperlukan untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penggunaan teknologi 5G. Oleh itu, model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network atau SWN) yang berpandukan bekalan dipilih untuk pelaksanaan 5G di Malaysia.

Model SWN Digital Nasional Berhad (DNB) akan membolehkan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dengan peningkatan liputan rangkaian di kawasan luar bandar. Berbeza dengan pelaksanaan berpandukan permintaan yang berasaskan keuntungan daripada pelaksanaan 4G oleh syarikat telekomunikasi, DNB menumpukan usaha ke atas kecekapan dengan mengoptimumkan infrastruktur sedia ada. 

Pengumpulan spektrum 5G dalam entiti neutral tunggal seperti DNB akan membolehkan kecekapan spektrum yang lebih besar (berbanding dengan spektrum sebagai sumber yang terhad yang dibahagikan kepada pelbagai pihak), dan dengan itu membolehkan DNB untuk menyediakan perkhidmatan borong 5G pada kos terendah. 

PETIKAN UCAPAN

Kami akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menyampaikan rangkaian 5G untuk seluruh negara. Kami percaya bahawa kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menyokong pelaksanaan 5G buat Malaysia.

DIGITAL “SUPERHIGHWAY” KE ARAH MASA HADAPAN PINTAR 5G

Bayangkan lebuh raya digital yang luas yang membolehkan semua pengguna data dalam talian bergerak dengan bebas dan tanpa sebarang gangguan. Ini akan dapat direalisasikan oleh teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Operator (Multi Operator Core Network atau MOCN). Dibina sebagai “superhighway” digital tunggal yang lancar, rangkaian selamat ini akan menyokong semua syarikat telekomunikasi secara borong – yang berpotensi mengurangkan separuh daripada kos yang diperlukan untuk syarikat telekomunikasi untuk pelaksanaan 5G sendiri.

Model MOCN telah berjaya dibuktikan pada 10 November dengan integrasi 5 syarikat telekomunikasi, yang disaksikan oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta beberapa pemimpin industri. 

Harga 5G kepada syarikat telekomunikasi dijangka kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB), iaitu kurang separuh daripada apa yang akan ditanggung oleh syarikat telekomunikasi untuk kapasiti yang dihasilkan oleh infrastruktur 4G mereka sendiri. Penjimatan kos akan memberi manfaat kepada industri melalui peningkatan aliran tunai, yang boleh digunakan untuk mengoptimumkan penjimatan kos, atau pelaburan ke dalam industri baharu dan peluang pertumbuhan pendapatan. Pengguna juga akan mendapat manfaat daripada penjimatan kos, kerana syarikat telekomunikasi akan mengenakan kadar yang lebih rendah untuk perkhidmatan 5G daripada apa yang mereka dikenakan bagi perkhidmatan mudah alih pada masa ini.

Pertanyaan yang diajukan kepada wakil rakyat dan ADUN berkenaan 5G

1.Soalan:

Apakah asas dalam keputusan untuk mempercepatkan proses 5G? 

Jawapan:

Malaysia ketika ini berada di belakang jiran kita daripada segi penyediaan rangkaian 5G. Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina telah pun melancarkan rangkaian 5G mereka seawal 2019. Sebarang penangguhan lagi dalam pembangunan rangkaian 5G akan memberi impak terhadap daya saing negara dari segi ekonomi dan menjejaskan agenda pembangunan nasional.  

2.Soalan:

Mengapakah sebuah syarikat milik penuh kerajaan dan bukannya sektor swasta yang dipertanggungjawabkan untuk pelaksanaan 5G? 

Jawapan:

Kerana pentingnya kesalinghubungan untuk pertumbuhan ekonomi digital, kerajaan telah mengambil tindakan untuk mengumunkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) pada Februari 2021.

Salah satu tindakan utama di bawah inisiatif MyDIGITAL adalah penubuhan sebuah SPV, yang dinamakan Digital Nasional Berhad, untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G, berdasarkan model pemulihan kos.

3.Soalan:

Memandangkan DNB adalah entiti baru, apakah rekod prestasi yang ada untuk dibandingkan dengan syarikat telekomunikasi yang telah lama berada di dalam operasi?

Jawapan:

DNB telah ditubuhkan sejak hari pertama untuk dikendalikan dan diuruskan oleh veteran industri dan pakar sektor swasta

4.Soalan:

Mengapa tiada syarikat telekomunikasi yang telah mendaftar dengan DNB pada masa ini?

Jawapan:

Bagi membolehkan syarikat telekomunikasi untuk berdaftar dengan DNB, Tawaran Akses Rujukan (Reference Access Offer atau RAO) mestilah diterbitkan dahulu mengikut piawaian akses mandatori.

Walau apa pun, pada 1 Disember 2021, TM Berhad menandatangani Perjanjian Percubaan Rangkaian 5G dengan DNB. Telco lain juga dijangka menandatangani Perjanjian Percubaan Rangkaian 5G dengan DNB tidak lama lagi.A

5.Soalan:

Adakah pelaksanaan rangkaian 5G akan menjadi monopoli dan dengan itu menyekat persaingan?

Jawapan:

Industri telekomunikasi tidak tertakluk kepada Akta Persaingan 2010 (Akta 712) oleh ‘Malaysia Competition Commission’ (MyCC).  Sehubungan itu, tidak timbul isu ketidakpatuhan Akta Persaingan atau penyalahgunaan kuasa pasaran untuk menjalankan aktiviti yang bersifat anti-persaingan atau monopoli.  Isu persaingan dalam industri telekomunikasi dikawal di bawah Akta 588 dan bukan di bawah Akta 712.

Peraturan ketat dikenakan oleh SKMM sebagai badan kawal selia bagi industri komunikasi.  Dalam hal ini, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyediakan rangka kerja kawal selia yang mencukupi untuk mengawal selia aktiviti DNB.  Ini termasuk, antara lain:

  1. Mewajibkan DNB untuk menawarkan kapasiti borong 5G kepada pemegang lesen di bawah Akta 588 atas dasar akses yang adil dan sama rata;
  2. DNB tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti runcit.  Pasaran runcit bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang bersaing mengikut kekuatan masing-masing;
  3. Kapasiti borong 5G yang dijual kepada syarikat telekomunikasi bergantung kepada keperluan syarikat, secara individu. DNB tidak dibenarkan menentukan penyediaan kapasiti 5G kepada syarikat telekomunikasi;
  4. Harga borong 5G akan ditetapkan dan diluluskan oleh SKMM selepas rundingan dengan DNB dan syarikat telekomunikasi selesai.  Harga ini akan dinyatakan dalam dokumen RAO yang akan diterbitkan; dan
  5. SKMM juga mengawal selia prestasi DNB dari segi ‘Kualiti Perkhidmatan’ (QOS) melalui pendekatan ‘Perjanjian Tahap Perkhidmatan’ (SLA) yang akan diterbitkan dalam dokumen RAO.

6.Soalan:

Bagaimanakah DNB dikawal selia? 

Jawapan:

  • DNB dikawal selia oleh Lembaga Pengarah yang dianggotai tujuh ahli, dua daripada kerajaan dan lima daripada sektor swasta, kesemuanya memiliki latar belakang profesional dalam operasi telco, keselamatan cyber, perundangan dan kewangan.
  • Sebagai syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, DNB perlu melaporkan kepada Kementerian tersebut mengenai prestasi operasi dan kewangannya.
  • Sebagai pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, DNB dikawal selia oleh SKMM , di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia
  • Selain itu, oleh kerana DNB dibiayai oleh sektor swasta, DNB perlu memenuhi segala tanggungjawab dan syarat-syarat ketat berkaitan penggunaan dana dari institusi kewangan dan para pelabur.
  • Oleh itu, DNB perlu mematuhi 4 tahap urus tadbir yang ketat, yang dapat memastikan operasi DNB dikendalikan dengan penuh integriti.

7.Soalan:

Berapakah kos pelaksanaan 5G kepada Rakyat?

Jawapan:

DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dan dikawal selia oleh SKMM, akan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada sektor perkhidmatan kewangan swasta.  Dengan itu, pembiayaan Kerajaan untuk pelaksanaan projek ini tidak diperlukan.

8.Soalan:

Dari mana datangnya dana dan berapa banyak yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan atas tanggungan Rakyat?

Jawapan:

Kos pelaksanaan 5G dianggarkan mencecah RM16.5 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang.  Kos pelaksanaan rangkaian 5G akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan perdagangan dan modal kerja dan program Sukuk yang akan diterbitkan dalam pasaran modal hutang domestik. 

DNB akan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada sektor perkhidmatan kewangan seperti bank-bank, dan akan seterusnya membayar semula melalui hasil jualan borongnya yang dijana daripada penjualan kapasiti borong.  

Dengan itu, pembiayaan Kerajaan untuk pelaksanaan projek ini tidak diperlukan.

9.Soalan:

Mengapa kita memerlukan 5G pada masa ini, sedangkan janji 4G belum dipenuhi?

Jawapan:

Pandemik Covid-19 telah menunjukkan kepentingan teknologi digital dan permintaan untuk kesalinghubungan. Penggunaan data yang meningkat secara mendadak telah menyebabkan rangkaian 4G sedia ada tidak dapat menampung permintaan pengguna. Permintaan untuk data hanya akan terus meningkat, dan infrastruktur telekomunikasi Malaysia perlu memenuhi permintaan ini.

10.Soalan:

Adakah proses tender terbuka dan jika ya kepada siapa ia diberi?

Jawapan:

Proses tender DNB telah distrukturkan sebuah firma perkhidmatan profesional bebas, Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Consulting), mengikut piawaian global dan melibatkan (4) panel, yang terdiri daripada 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara dengan pengalaman pelancaran rangkaian 5G.

Proses ini bermula dengan penilaian awal empat belas (14) Pembekal Perkakasan Rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP), selepas itu lapan (8) telah disenarai pendek dan dijemput untuk mengemukakan bidaan.  Terdapat 4 tawaran akhir diterima.

Keperluan tender adalah berdasarkan kriteria yang dikenal pasti dan diperhalusi melalui proses yang ketat dengan maklum balas industri mengenai keperluan rangkaian 5G, dan dikongsi dengan semua NEP yang dijemput.

11.Soalan:

Terdapat perbincangan webinar baru-baru ini dengan GSMA dan terdapat banyak kebimbangan mengenai model SWN, apa komen anda?

Jawapan:

Untuk manfaat industri dan pengguna, pihak Kerajaan telah memperkasakan DNB untuk menyediakan perkhidmatan 5G secara borong pada kos serendah mungkin:

  1. Pertama, sebagai penyedia 5G tunggal di negara ini, DNB hanya akan membekalkan perkhidmatan borong 5G kepada MNO dan para pemegang lesen telekomunikasi yang lain, dan tidak akan bersaing dengan mana-mana syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan runcit kepada pelanggan akhir mereka.
  2. Kedua, DNB akan bekerjasama dengan pembekal telekomunikasi dan infrastruktur untuk membina rangkaian 5G dengan menggunapakai infrastruktur sedia ada sebanyak mungkin, dan dengan itu, dapat mengurangkan pertindihan serta kos, serta menggalakkan pelaburan dalam inovasi dan perkhidmatan.
  3. Ketiga, penggabungan spektrum 5G dalam entiti tunggal yang neutral seperti DNB akan membolehkan kecekapan spektrum yang lebih mantap (berbanding pembahagian spektrum sebagai sumber yang terhad kepada berbilang pihak), lalu membolehkan DNB menyediakan perkhidmatan 5G secara borong pada kos yang rendah. 

Model SWN adalah model yang paling sesuai untuk mempercepatkan pelaksanaan dan ketersediaan produk dan perkhidmatan 5G di seluruh negara, yang akan bermula dengan internet berkelajuan tinggi yang stabil.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.