Google Pixel Fold dijangka akan dilancarkan lewat tahun ini
Google telah lama dikatakan akan memasuki pasaran telefon pintar foldable dengan melancarkan Google Pixel Fold.
Kini, Pengarah Kanan di Display Supply Chain Consultants – David Naranjo mendedahkan bahawa tarikh pelancaran Google Pixel Fold adalah pada suku ke-4 2021 dan ianya akan menggunakan panel LTPO OLED.
Dalam pada itu, Google dijangka akan melancarkan Pixel 6 Series pada 19 Oktober ini walaupun beberapa spesifikasi utama telefon pintar ini telah didedahkan namun tiada sebarang maklumat mengenai Pixel Fold.
Jika dakwaan David Naranjo adalah tepat, pelancaran pada suku ke-4 bermaksud Pixel Fold akan dilancarkan pada 3 bulan terakhir tahun ini dan pengumuman rasmi mungkin dibuat pada majlis pelancaran Google Pixel 6 Series.
Sehingga kini tiada sebarang maklumat mengenai Google Pixel Fold diketahui namun permohonan paten oleh Google mendedahkan ianya mungkin hadir dengan sensor kamera dibawah skrin.
Akhir sekali, terdapat juga laporan yang mengatakan Pixel Fold akan menggunakan panel skrin 7.6-inci dengan lipatan ke dalam menggunakan teknologi panel skrin foldable Samsung.
Pelancaran Google Pixel 6 Series pada 19 Oktober ini mungkin memberikan kita maklumat lebih lanjut mengenai Google Pixel Fold.