Cip 4nm Qualcomm Snapdragon 895/898 dikatakan akan menawarkan 20% peningkatan prestasi
Dengan tirai pelancaran telefon pintar semakin menghampiri kemuncak, Qualcomm sudah mula melakukan ujian kepada pengganti utama pemproses cip Snapdragon 888.
Generasi baharu pemproses daripada Qualcomm ini akan hadir dengan proses fabrikasi 4nm yang dikilangkan oleh Samsung dan ujian percubaan pertama mendedahkan bahawa cip ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 20%.
Cip dengan nombor model SM8450 ini telah melalui ujian pertama dan ianya dijangka akan dipasarkan sebagai pemproses Snapdragon 895 atau 898.
Walaupun tidak mendedahkan cip apa yang digunakan untuk memandingkan peningkatan prestasi ini, adalah logik untuk kita menyimpulkan bahawa ianya adalah Snapdragon 888 atau Snapdragon 888+.
Selain itu, isu pemanasan yang menghantui Snapdragon 888 mungkin turut wujud pada generasi baharu ini namun dengan proses pembangunan masih berbaki satu atau dua bulan lagi, perkara ini mungkin berubah kerana cip ini dijangka akan mula dihantar kepada syarikat telefon pintar sekitar November atau Disember tahun ini.