ULASAN: Asus ZenFone Max Pro M1 – Telefon Pintar Mampu Milik Terbaik Di Pasaran
ULASAN: Asus ZenFone Max Pro M1 – Telefon Pintar Mampu Milik Terbaik Di Pasaran
Pendahuluan
Setelah sekian lama, Asus telah melancarkan satu telefon pintar mampu milik yang dilihat mempunyai potensi untuk menjadi antara telefon paling berkuasa pada tahap harga ini yang meletakkanya bersaing untuk menakluki tahkta ini dengan peranti seperti Xiaomi Redmi Note 5.
Di atas kertas, Asus ZenFoneMax Pro M1 telah diangkat sebagai telefon pintar yang mampu memberikan anda prestasi grafik yang baik dan dengan kapasiti bateri yang sudah pastinya membolehkan anda menghabiskan lebih masa bertarung didalam dunia fantasi permainan video.
Dengan sistem operasi Android Oreo yang asli, Asus ZenFone Max Pro M1 ini juga menjanjikan pretasi pengunaan yang lebih lancar dan kemaksini OS yang lebih pantas.
Berikut adalah ulasan Asus ZenFone Max Pro M1 yang boleh dikatakan telefon pintar paling berkuasa pada harga mampu milik dan dengan bateri 5,000mAh paling kompak didunia.
Reka Bentuk
Asus berjaya menepis godaan untuk mengikut jejak langkah hampir kesemua pengeluar telefon pintar Android yang cuba bersungguh-sungguh untuk menyertakan telefon pintar mereka dengan reka bentuk skrin yang mempunyai ‘notch’ atau takukan.
Reka bentuk berinspirasikan Apple iPhone X ini adalah ciri wajib pada telefon pintar tahun ini walaupun ianya hanya memberikan peranti tersebut penampilan kosmetik yang sama seperti telefon pintar Apple itu.
Asus ZenFone Max Pro M1 hadir dengan skrin paparan berukuran 6.0-inci dengan reka bentuk sepenuhnya berasaskan gelas pada bahagian hadapan.
Beralih kepada bahagian belakang, Asus ZenFone Max Pro M1 hadir dengan panel belakang keluli yang turut menempatkan sensor capjari dan modul dwi-kamera pada bahagian sisi atas kiri dan satu kelebihan modul kamera ini ialah tiada sebarang bonjolan.
Butang kuasa dan butang suara ZenFone Max Pro diletakkan pada sisi yang sama dan kualiti butang ini adalah baik dan kukuh pada pandangan kami.
Slot dwi SIM dan microSD pula mengambil tempat di sisi kiri ZenFone Max Pro ini.
Pada bahagian atas, terdapat lampu notifikasi, sensor kamera dan penerima panggilan (earpiece) manakala pada bahagian bawah terdapat slot audio 3.5mm, slot USB dan pembesar suara.
Adalah tidak keterlaluan jika kami perkatakan bahawa Asus ZenFone Max Pro M1 dan Xiaomi Redmi Note 5 mempunyai reka bentuk yang hampir sama.
Skrin Paparan
Asus ZenFone Max Pro M1 memiliki skrin paparan FullView IPS LCD berukuran 6.0-inci dan ianya mempunyai kecerahan dan produksi warna yang baik walaupun pada keadaan menghadap cahaya matahari.
Nisbah skrin kepada badan yang dimiliki ZenFone Max Pro adalah 83% dengan kepadatan piksel 403ppi.
Asus tidak menerangkan sama ada skrin ini disertakan dengan apa-apa gelas keselamatan dan ianya selamat untuk kami perkatakan bahawa tiada sebarang lapisan gelas keselamatan di sertakan.
Dengan saiz skrin 6.0-inci pada rangka 5.5-inci, anda kini mempunyai ruang skrin yang lebih besar untuk menikmati kandungan multimedia dan permainan video yang lebih menyeluruh.
Selain itu, anda juga boleh membahagikan skrin ini untuk melakukan dua kerja pada masa yang sama iaitu dengan ‘multitasking’.
Ujian ‘Gaming’
Asus mempraktikan pemasaran ZenFone Max Pro M1 sebagai telefon pintar yang mampu menawarkan anda prestasi gaming yang terbaik pada tahap harga ini dan hasil ujian kami ternyata ianya mampu memberikan prestasi video yang walaupun pada permainan video yang memerlukan kuasa pemprosesan grafik yang tinggi.
Model reviu hanya lah versi yang paling murah iaitu dengan 3GB RAM dan ianya dilihat sudah mencukupi untuk menjalankan tugas yang diberikan.
Kadar bingkai juga tidak menampakkan sebarang ‘lag’ dan kelantangan pembesar suara ZenFone Max Pro M1 ini memberikan anda pengalaman permainan video yang lebih imersif.
Permainan video yang kami telah cuba pada ujian khas bagi Asus ZenFone Max Pro M1 ini adalah Hitman : Sniper yang merupakan antara permainan video yang popular.
Permainan video ini memerlukan kadar grafik yang tinggi khususnya kerana ianya adalah game yang melibatkan misi membunuh yang perlu dilaksanakan dengan ketepatan yang sangat tinggi.
Anda mungkin ada terbaca di laman teknologi bahawa permainan video PUBG Mobile adalah permainan yang memerlukan grafik intensiti tinggi yang juga menghadapi masalah untuk dimainkan pada peranti flagship seperti Galaxy Note 8.
Persoalan besar ramai terjawab apabila kami telah menguji permainan ini pada Asus ZenFone Max Pro M1 yang hanya mempunyai nilai harga 1/6 daripada Samsung Galaxy Note 8.
PUBG Mobile pada Asus ZenFone Max Pro bukan sahaja lancar malah kami tidak melihat sebarang pengurangan prestasi sepanjang kami memainkan permainan ini.
PUBG menawarkan tetapan grafik sederhana atau ‘medium’ bagi Asus ZenFone Max Pro M1 dan sepanjang kami bermain, tiada sebarang pengeluaran haba yang ketara dikesan.
Prestasi Dalaman
Seperti kami maklumkan Asus ZenFone Max Pro M1 hadir dengan pemproses Snapdragon 636 yang dibekalkan oleh Qualcomm dan unit kami mempunyai 3GB RAM dan 32GB memori simpanan dalaman namun jika anda mahu kapasiti RAM yang lebih besar anda boleh memilih untuk membeli versi 4GB atau 6GB RAM yang dipadankan dengan 64GB memori simpanan dalaman.
Pemproses Snapdragon 636 ini adalah dihasilkan melalui proses 14nm dengan cip 8 teras Kyro 260 dan unit pemproses grafik (GPU) Adreno 506.
Dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo, anda sudah pastinya akan menikmati kelancaran operasi telefon pintar yang terbaik dan walaupun tidak mempunyai status Android One, Asus ZenFone Max Pro M1 boleh dikatakan sebagai telefon pintar dengan OS Android tulen termurah di pasaran.
Selain itu, bercakap mengenai kemaksini di masa hadapan, Asus tidak menjanjikan apa-apa namun Asus ZenFone Max Pro M1 dijangka akan menerima kemaskini Android P.
Kamera
Asus ZenFone Max Pro M1 ini hadir dengan kombinasi dwi-kamera 13MP + 5MP yang boleh dikatakan mempunyai prestasi yang memuaskan pada tahap harga ini.
Kamera ini menyokong pengambilan mod gambar bokeh,mod malam, portrait, landskap, sukan, bunga, backlight, candlelight, sunset, beach dan snow ( lebih mudah untuk menetapkanya pada ‘auto).
Mod kamera ini adalah sama seperti yang ditawarkan pada peranti flagship yang kebiasaanya mengatakan ianya sebagai AI scene recognition.
5 Fakta Mengenai Asus ZenFone Max Pro M1 Yang Perlu Anda Tahu
Lebih menarik, anda juga mampu mengambil video 4K melalui kamera ZenFone Max Pro M1 ini dan dengan durasi maksima 30 minit.
Kamera ini tidak memiliki optik pengstabilan imej namun terdapat pemfokusan PDAF dan HDR.
Kualiti gambar yang diambil melalui kamera belakang Asus ZenFone Max Pro M1 ini memuaskan namun ketelitian gambar adalah kurang.
Mod portrait ZenFone Max Pro M1 ini juga merupakan antara kelebihan yang dimiliki kamera ini namun tahap cahaya yang baik amat membantu dalam meningkatkan kualiti gambar ini.
Kamera hadapan ZenFone Max Pro M1 adalah unit 8MP yang memiliki aperture f/2.4 yang turut disertakan dengan lampu flash LED lembut.
Kamera hadapan juga menyokong pengambilan gambar potrait namun lebih kepada dari segi perisian dan bukanya dengan sensor kamera tambahan seperti pada kamera belakang.
Secara keseluruhanya, bahagian kamera Asus ZenFone Max Pro M1 bukan lah antara ciri terbaik pada telefon pintar ini namun ianya adalah sensor kamera yang mempunyai kebolehan untuk memenuhi keperluan fotografi harian anda tanpa sebarang masalah.
Bateri
Siri ZenFone Max semenangnya sudah sinonim dengan penawaran kapasiti bateri yang besar, namun Asus ZenFone Max Pro M1 mengubah segala catatan sejarah siri ZenFone Max sebelum ini.
Asus ZenFone Max Pro M1 hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang ‘disembunyikan’ didalam rangka 8.5mm dengan berat sekita 180 gram sahaja.
Ini menjadikan Asus ZenFone Max Pro M1 sebagai telefon pintar dengan bateri berkapasiti 5,000mAh ternipis didunia.
Asus menjanjikan ZenFone Max Pro M1 ini mampu pengunaan harian selama 2 hari tanpa perlu pengecasan semula dan ujian bateri video di YouTube dengan Xiaomi Redmi Note 5 menunjukkan bahawa ZenFone Max Pro mampu bertahan selama 12 jam 52 minit manakala Redmi Note 5 hanya bertahan selama 10 jam 10 minit sebelum ketandusan bateri.
Bateri berkapasiti 5,000mAh sudah pastinya akan mengambil masa yang lama untuk pengecasan penuh lebih-lebih lagi jika tiada sebarang sokongan pengecasan pantas.
Walaubagaimanapun, Asus mendakwa dengan penawaran plak pengecasan 10w didalam kotak, ZenFone Max Pro M1 boleh dicaj penuh didalam masa 2 jam 42 minit dan kami juga telah membuat ujian pengecasan pada ZenFone Max Pro M1 yang kami terima untuk menyokong dakwaan ini.
Selepas 60 minit pengecasan, Asus ZenFone Max Pro M1 ini sudah pun melepasi tahap 50% pengecasan ( 53% secara tepatnya) dengan paparan pada skrin mengatakan pengecasan penuh akan selesai didalam masa 54 minit lagi.
Pada tempoh 120 minit (2 jam) selepas pengecasan bermula , Asus ZenFone Max Pro M1 sudah mencapai tahap 81% dengan paparan pada skrin mengatakan pengecasan penuh akan selesai didalam masa 29 minit sahaja lagi.
Selepas 2 jam 42 minit, pengecasan telah mencapai tahap 97% dan ianya tidak jauh dari dakwaan Asus yang mungkin dilakukan dengan beberapa faktor yang berbeza.
Penutup
Pertaruhan Asus untuk menawarkan telefon pintar pertama dengan sistem operasi Android yang asli dilihat berjaya memberikan Asus Zenfone Max Pro M1 satu tarikan besar kepada bakal pembeli dan dengan kuasa pemprosesan yang juga meletakkanya sebagai telefon pintar paling berkuasa pada tahap harga ini.
Dengan bateri berkapasiti 5,000mAh, yang diletakkan didalam rangka yang kompak, anda tidak lagi perlu risau akan kehabisan bateri ditengah hari.
Asus ZenFone Max Pro M1 kini ditawarkan di Malaysia pada harga penjualan dari RM 699 sehingga RM 999 mengikut kapasiti RAM dan memori dalaman.
Asus ZenFone Max Pro M1 dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga dari RM 699 sahaja
beli Asus ZenFone Max Pro di Stor rasmi Asus di Lazada Malaysia
Gambar-gambar yang diambil melalui Asus ZenFone Max Pro M1 :
mod auto
mod ‘sunset’
Portrait kamera belakang
Pemandangan udara ‘mod landscape’
gambar mod ‘flower’
Gambar diambil menggunakan filter
gambar jarak dekat
Gambar portrait objek
Gambar portrait tiang lampu
gambar jarak dekat