Lakaran Apple iPhone 7 telah didedahkan pembekal komponen
Laporan mengenai Apple iPhone 7 dilihat seperti tiada kesudahan dan hampir setiap hari satu laporan baru mengenai generasi terbaru telefon pintar Apple dikeluarkan.
Jika beberapa hari lalu kami melaporkan bahawa Apple akan mengeluarkan satu model mini yang dikenali sebagai Apple iPhone 7c terdapat juga laporan bahawa Apple iPhone 7 Plus tidak akan mempunyai jalur plastik antena.
Kini, satu lakaran Apple iPhone 7 telah dikeluarkan oleh satu pembekal komponen Apple iPhone dari China.
Lakaran telefon pintar ikonik Apple ini hadir dengan reka bentuk gelas 2.5D manakala panel besi digunakan pada sisi seperti pada Apple iPhone 5s.
Telefon pintar ini dilihat lebih nipis berbanding Apple iPhone 6s dan 6s Plus namun sedikit pelik ianya hadir dengan slot 3.5mm earphone pada bahagian bawah. Kehadiran slot ini menimbulkan sedikit tanda-tanya kerana Apple dikatakan tidak akan menyertakan slot 3.5mm ini untuk menjadikan model iPhone 7 sebagai model pertama Apple yang kalis air.
Tugas 3.5mm ini akan diambil alih oleh port pengecasan lightning Apple dan berdasarkan gambar ini juga boleh kita lihat bahawa Apple mungkin menawarkan kebolehan pengecasan tanpa wayar.
Selain itu, Apple iPhone 7 ini juga dilihat memiliki generasi cip pemprosesan terbaru Apple A10.
Laporan terbaru mendakwa bahawa Apple iPhone 7 Plus akan hadir dengan kapasiti memori simpanan 256GB dan bateri berkapasiti 3,100mAh.
Walaupun dipaparkan di laman sesawang pembekal komponen Apple, kita harus meletakan berita ini sebagai satu khabar angin sahaja.