Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN HONOR X9a 5G – Peranti Midrange Mampu Milik Yang Tahan Lasak

Pengenalan 

HONOR memulakan tahun baru dengan memperkenalkan satu telefon pintar kelas pertengahan didalam siri HONOR X yang amat popular dikalangan pengguna di Malaysia.

Telefon pintar HONOR X Series terbaru daripada syarikat ini adalah HONOR X9a 5G yang tampil dengan mutu pembuatan yang terbaik setaraf dengan telefon pintar premium flagship terutamanya lapisan gelas keselamatan yang digunakan.

HONOR X9a 5G telah dilancarkan di Malaysia pada 4 Januari 2023 dengan harga jualan RM 1,499 dan berikut adalah ulasan eksklusif telefon pintar ini khas untuk pengguna tempatan.

Reka Bentuk

HONOR X9a 5G mungkin sebuah telefon pintar kelas midrange namun ianya tampil dengan rekaan yang premium dan elegan setaraf peranti premium lain dipasaran.

Jika HONOR 70 yang dilancarkan sebelum ini adalah hampir 90 sama seperti HONOR Magic4 Pro, HONOR X9a 5G pula boleh dikatakan hampir 99% sama seperti telefon pintar flagship 2022 syarikat ini.

HONOR X9a 5G tampil dengan reka bentuk skrin yang melengkung pada kedua-dua sisi yang mana skrin ini biasanya hanya digunakan pada model premium namun HONOR juga telah menyertakan teknologi gelas keselamatan tahan lasak yang memberikan pengguna ketenangan minda daripada sebarang insiden yang mungkin menyebabkan skrin melengkung ini retak atau pecah.

Bercakap mengenai panel belakang HONOR X9a 5G ini, ianya tampil dengan modul kamera gergasi berbentuk bulat yang mirip rekaan “Eye of the Muse” seperti pada HONOR Magic4 Pro namun tiada sebarang sensor pada bahagian tengah dan ianya diganti dengan penjenamaan kamera ini.

Selain itu, HONOR X9a 5G tampil dengan kombinasi chasis yang diperbuat daripada keluli dengan kemasan berwarna krom dan panel belakang yang diperbuat daripada plastik.

Seterusnya, HONOR X9a 5G ini akan ditawarkan didalam tiga kemasan warna iaitu Titanium Silver, Emerald Green dan Midnight Black.

Pada bahagian sisi kanan, HONOR X9a 5G mempunyai butang kuasa (yang agak kecil) dan butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C, satu mikrofon dan gril pembesar suara mono.

Bercakap mengenai dimensi pula, HONOR X9a 5G tampil dengan ukuran dimensi 161.6 x 73.9 x 7.9mm manakala berat adalah 175gram.

Bagi kami, HONOR X9a 5G adalah sedikit lebih lebar apabila dibandingkan dengan HONOR 70 namun ianya masih selesa untuk digunakan kerana profil rangka yang nipis dan melengkung.

Skrin Paparan

HONOR X9a 5G tampil dengan skrin paparan OLED Curved berukuran 6.67-inci yang mempunyai resolusi 2400 x 1080 (FHD+) dengan kadar segar semula 120Hz.

Selain itu, panel OLED yang digunakan oleh HONOR X9a 5G adalah paparan yang menyokong 1.07 bilion warna dengan liputan gamut warna DCI-P3 100%.

Seterusnya, skrin paparan HONOR X9a 5G juga memiliki teknologi 1920Hz PWM dimming yang bermaksud panel skrin telefon pintar iji mempunyai kadar kelipan skrin yang paling tinggi dimana lebih tinggi kadar tersebut lebih baik untuk mata.

Selain itu, panel skrin HONOR X9a 5G juga memiliki kepadatan piksel 394ppi, kecerahan maksima 800nit, sensor capjari terbina dalam skrin dan pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light Certification.

Walaubagaimanapun, inovasi terbesar pada HONOR X9a 5G adalah teknologi gelas keselamatan yang digunakan.

HONOR X9a 5G ini dilapisi gelas Super Reinforced 0.65mm yang mana ianya adalah lebih kukuh berbanding gelas keselamatan 0.55mm yang biasa digunakan pada telefon pintar lain dan ketebalan kaca ini membolehkan ianya menawarkan ketahanan lebih tinggi apabila terjatuh.

Selain itu, Skrin paparan HONOR X9a 5G juga ini telah lulus beberapa ujian lasak HONOR yang termasuk dijatuhkan berulang kali ke atas lantai batu mamar dan konkrit dari ketinggian satu meter serta jatuh berguling dari pelbagai sudut.

Penggunaan lapisan gelas keselamatan yang lebih tebal ini memberikan HONOR X9a 5G panel melengkung yang lebih kukuh dan menjanjikan perlindungan skrin yang lebih menyeluruh setaraf beberapa model telefon pintar flagship dipasaran ketika ini.

Apa yang harus dipuji adalah HONOR memutuskan untuk menawarkan teknologi premium seperti ini kepada model kelas pertengahan seperti HONOR X9a 5G.

Pemproses

HONOR X9a 5G tampil dengan cip pemprosesan midrange daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 695 yang diperbuat berdasarkan proses fabrikasi 6nm yang sangat cekap tenaga dan menjanjikan 15% peningkatan prestasi berbanding generasi sebelum ini (Snapdragon 680).

Penggunaan cipset generasi baharu juga bermaksud telefon pintar ini tampil dengan GPU Adreno 619 yang menjanjikan prestasi grafik 30% lebih pantas untuk memberikan pengguna pengalaman gaming yang lebih hebat dan imersif.

Selain itu, HONOR X9a 5G juga membawakan ciri RAM Turbo yang memberikan tambahan 5GB ARAM maya namun tiada sebarang pilihan untuk menambah saiz RAM ini atau untuk menyahaktifkanya.

Bercakap mengenai UI yang disertakan, HONOR X9a 5G tampil dengan antarmuka Magic UI 6.1 yang berasaskan Android 12 dan ianya merupakan antarmuka yang serba lengkap dan sangat mudah untuk digunakan namun pengguna sudah pastinya mahu versi terbaru dengan Android 13 seperti yang ditawarkan oleh kebanyakkan pengeluar telefon pintar lain dipasaran.

Secara keseluruhan HONOR X9a 5G menawarkan prestasi yang seimbang dan cukup untuk melalui aktiviti harian seperti melayari laman sosial, bermain permainan video yang tidak memerlukan kuasa grafik tinggi dan banyak lagi.

Kamera

HONOR X9a 5G dilengkapi dengan tetapan tri-kamera yang menggunakan terdiri daripada satu sensor utama 64MP, satu sensor ultrawide 8MP dan satu sensor makro 2MP.

Di atas kertas, kamera HONOR X9a 5G ini mampu memberikan anda prestasi yang agak biasa bagi peranti kelas pertengahan dan ternyata kualiti gambar yang terhasil dari telefon pintar ini tidak mengecewakan kami.

Kami berpendapat sensor utama HONOR X9a 5G mampu memberikan anda hasil gambar yang baik namun prestasi dua lagi sensor yang disertakan adalah sekadar cukup syarat sahaja.

Selain itu, HONOR X9a 5G juga dilengkapi kamera selfie 16MP yang dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan selfie pengguna yang boleh digunakan untuk memuatnaik ke laman media sosial anda.

Berikut adalah hasil gambar dari Honor X9a 5G :

Bateri

HONOR X9a 5G adalah sebuah peranti dengan profil yang nipis iaitu hanya 7.9mm namun ini tidak bermaksud telefon pintar ini tampil dengan bateri yang kecil.

HONOR X9a 5G memiliki bateri berkapasiti 5,100mAh dan ianya merupakan antara telefon pintar paling ringan dan nipis di pasaran dengan kapasiti bateri lebih 5000mAh.

Dengan penjimatan kuasa pintar, pengguna boleh mengecas HONOR X9a 5G sekali setiap dua hari.

Berdasarkan data ujian, apabila dicas penuh, HONOR X9a 5G boleh memainkan YouTube Music sehingga 29 jam, menonton video di YouTube selama 24 jam atau  TikTok untuk 19 jam, melayari media sosial selama 21 jam, atau gamingselama 11 jam.

Sebagai tambahan, HONOR X9a 5G turut menyokong pengecasan pantas HONOR SuperCharge 40W dan dengan pengecasan hanya 30 minit sahaja sudah mencukupi untuk menonton video YouTube selama 12.5 jam tanpa berhenti.

Selain itu, bateri yang digunakan pada HONOR X9a 5G juga dapat mengekalkan 80% daripada kapasiti maksimum selepas 1,000 kitaran pengecasan, melebihi paras industri yang hanya menawarkan ketahanan kapasiti yang sama selepas 500 hingga 800 kitaran.

Ini bermaksud, bateri HONOR X9a 5G masih mampu memberikan prestasi yang hampir sama walaupun selepas tiga tahun penggunaan.

Penutup

HONOR X9a 5G mungkin bukan sebuah telefon pintar terbaik dipasaran namun ianya memberikan anda nilai belian terbaik bagi sebuah telefon pintar midrange pada harga dibawah RM 1,500.

Selain itu, ketahanan dan kualiti pembuatan HONOR sekali terbukti berada ditahap terbaik industri dan hal ini juga dititikberatkan walaupun pada telefon pintar kelas midrange seperti HONOR X9a 5G ini.

HONOR X9a 5G akan mula ditawarkan di Malaysia pada 6 Januari 2023 pada harga yang bermula dari RM 1,499 dan setiap pembelian juga akan menerima 180 hari perlindungan skrin percuma dan HONOR CHOICE Earbuds X3.

Dapatkan HONOR X9a 5G di Kedai HONOR, laman web hihonor.com, HONOR TikTok Shop, Shopee HONOR Official Store, Lazada HONOR Flagship Store dan pengedar sah HONOR.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.