Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : PICO 4 – Set Kepala VR yang berpotensi untuk mengubah landskap dunia realiti maya

Pengenalan

set kepala VR adalah sesuatu yang tidak dimilik ramai khususnya kerana harga jualan yang tinggi, namun PICO ingin mengubah perkara ini dengan memperkenalkan sebuah set kepala VR yang lebih berpatutan dan boleh dimiliki oleh semua iaitu PICO 4.

PICO adalah syarikat yang dimiliki oleh ByteDance yang merupakan anak syarikat TikTok yang merupakan media sosial dengan pertumbuhan yang amat pesat.

PICO 4 adalah set kepala VR terbaru daripada syarikat ini dan Malaysia menjadi antara pasaran terawal didunia untuk menerima set VR ini.

PICO 4 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,699 bagi versi 8/128GB dan RM 1,999 bagi versi 8/256GB (percuma 4 permainan VR bagi pembelian pada 12 Oktober hingga 31 Januari 2023).

Memandangkan ini adalah ulasan pertama kami terhadap produk VR seperti PICO 4, kami akan cuba memberikan pendapat dan ulasan yang terbaik pada kemampuan kami.

Reka Bentuk

Pada pendapat kami, kekurangan terbesar sebuah set kepala VR adalah beban apabila ianya dipakai pada kepala.

Walaubagaimanapun, PICO 4 boleh dikecualikan daripada kategori ini kerana ianya mempunyai berat 295 gram tanpa tali yang menjadikannya set kepala VR paling ringan keluaran PICO dan ianya dicapai dengan melaksanakan kanta yang lebih kecil dan lebih ringan.

Selain itu, PICO 4 didatangkan dengan tali boleh laras dan menggunakan fabrik SuperSkin untuk lapisan kusyen, bahan unik yang mempunyai sifat kedap yang berkesan, membolehkan pengguna kekal sejuk dan kering. Kulit PU anti-gelincir di bahagian belakang set kepala juga memberikan keselesaan dan kawalan yang lebih baik.

PICO 4 mempunyai reka bentuk yang hampir sama seperti kebanyakkan set kepala VR dipasaran namun set VR ini mempunyai rekaan yang lebih unik terutamanya dengan panel berwarna hitam yang mirip cermin mata ski.

Selain itu, PICO 4 ini juga hadir dengan pelaras bulat pada bahagian belakang dan ini memudahkan anda untuk melonggarkan atau mengetatkan set kepala mengikut keselesaan anda. Penggunaan pelaras ini adalah amat mudah dimana anda hanya perlu memutarkan pelaras tersebut dan penyelesaian ini adalah lebih mesra pengguna berbanding pelaras tali.

Dalam pada itu, PICO 4 juga memiliki dua alat kawalan untuk anda gunakan bersama set kepala ini dan ianya memerlukan penggunaan bateri bersaiz AA (2 biji bateri pada setiap alat kawalan) yang memberikan sekitar 80 jam waktu penggunaan dan ianya disertakan didalam kotak pembelian.

Selain itu, alat kawalan yang disertakan bersama PICO 4 ini mempunyai butang-butang yang amat responsif namun anda pasti mengambil masa untuk menentukan apakah fungsi-fungsi butang tersebut.

Bercakap mengenai keselesaan ketika memakai set kepala ini, kami berpendapat PICO 4 mempunyai reka bentuk yang ergonomik dimana posisi bateri pada bahagian belakang memastikan bahagian depan kepala anda tidak menanggung beban yang berlebihan dan pengagihan berat adalah lebih seimbang.

Paparan dan Audio

PICO 4 tampil dengan reka bentuk lensa Pancake yang terdiri daripada dua skrin LCD berukuran 2.56-inci yang memberikan resolusi 4K+ (4320 x 2160).

Selain itu, skrin PICO 4 ini juga memiliki kadar segar semula 72/90Hz dengan 1200ppi dan 105° FoV yang menjadikanya antara set kepala VR dengan skrin terbaik  dipasaran.

PICO 4 juga mempunyai mekanisma pelarasan IPD bermotor dan boleh diakses daripada tetapan menu dalam set kepala. Anda boleh melaraskannya dari saiz 62 hingga 72mm yang sesuai untuk kebanyakan pengguna.

Beralih ke bahagian audio, PICO 4 tampil dengan pembesar suara stereo 360° yang memberikan anda pengalaman audio yang lebih imersif dan ianya juga menyokong bunyi spatial 3D.

Ianya memberikan kualiti audio yang amat memadai sepanjang sesi VR kami namun jika itu tidak mencukupi bagi anda, PICO 4 juga menyokong output audio melalui Bluetooth yang bermaksud anda boleh menyambung earbuds anda dengan set kepala ini.

Prestasi

PICO 4 dijana dengan cip 7nm Qualcomm Snapdragon XR2 yang turut dipadankan dengan 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 128GB/256GB jenis UFS 3.1.

Cip pemprosesan Qualcomm ini memastikan prestasi PICO 4 adalah sentiasa konsisten dan stabil tanpa sebarang gangguan yang memberikan kesan kepada pengalaman penggunaan set kepala ini.

PICO 4 memberikan anda pengalaman navigasi yang lancar, permainan juga dimuatkan dengan agak cepat dan prestasi juga adalah mantap.

Terdapat kamera 16MP pada panel hadapan, dan anda boleh mengetik dua kali pada sisi set kepala untuk mendapatkan pandangan di sekeliling anda tanpa perlu menanggalkan set kepala ini namun kualiti visual yang ditawarkan adalah sedikit mengecewakan namun ianya lebih baik berbanding kebanyakkan set kepala VR dipasaran.

PICO 4 beroperasi pada sistem operasi PICO OS 5.0 yang merupakan antaramuka direkakhas untuk VR dan ianya berasaskan Android.

PICO OS 5.0 mempunyai semua fungsi asas yang diperlukan untuk sebuah set kepala VR dan ianya juga mempunyai stor aplikasi yang menawarkan anda banyak permainan VR, aplikasi senaman dan banyak lagi.

Selain itu, PICO 4 juga memberikan anda pengalaman VR yang sentiasa memastikan anda menikmati dunia VR dengan selamat kerana ianya memberikan anda melukis zon kawasan permainan VR dengan menggunakan alat kawalan dan jika anda terkeluar dari zon yang dilukis, set kepala VR akan terus memberikan anda paparan kawasan sekeliling melalui sensor kamera 16MP.

Walaupun masih belum cukup matang, stor aplikasi PICO Store kini mempunyai lebih dari 150 aplikasi yang termasuk 50 aplikasi kecergasan seperti yang diumumkan oleh pihak PICO ketika pelancaran di Malaysia.

Selain itu, jika anda aktif bermain permainan video (PC games) pada komputer, PICO 4 juga menyokong permainan ini dimainkan pada set kepala secara tanpa wayar ataupun berwayar dengan sambungan WiFi yang sama.

Bateri

PICO 4 memiliki bateri berkapasiti 5,300mAh yang mampu memberikan anda sekitar 2-3 hingga jam penggunaan secara berterusan dan ianya turut dilengkapi pengecasan pantas 20W.

Bagi kami, jangka hayat bateri yang ditawarkan PICO 4 adalah amat mencukupi kerana kami bukanya pengguna VR yang berat.

Penutup

PICO 4 adalah sebuah set kepala yang memungkinkan lebih banyak pengguna menikmati dunia VR yang semakin menunjukkan potensi untuk berkembang dengan pesat.

Pada harga seperti sebuah telefon pintar midrange, PICO 4 adalah sebuah set kepala yang boleh dimiliki semua dan pengalaman VR mungkin adalah sesuatu yang patut anda cuba.

Walaupun PICO adalah nama baharu didalam industri VR, syarikat ini dilihat mempunyai kemampuan untuk memberikan pengalaman VR yang lebih baik khususnya dari segi koleksi aplikasi VR yang agak terhad pada waktu ini.

PICO 4 akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,699 bagi versi 8/128GB dan RM 1,999 bagi versi 8/256GB (percuma 4 permainan VR bagi pembelian pada 12 Oktober hingga 31 Januari 2023).

Sempena jualan istimewa PICo 11.11 Mega Sale, PICO 4 akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,599 bagi versi 8/128GB dan RM 1,899 bagi versi 8/256GB dan anda juga boleh menerima tambahan 6 lagi permainan VR secara percuma dengan pembelian di stor rasmi PICO di Shopee.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.