Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : HONOR Magic4 Pro – Flagship paling berbaloi untuk di miliki

Pengenalan

Selepas menjadi satu entiti yang berasingan, HONOR telah menunjukkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan didalam pasaran telefon pintar terutamanya di China dimana ianya menjadi antara syarikat dengan pertumbuhan tertinggi.

Selain itu, HONOR juga telah mula kembali ke pasaran antarabangsa dan Malaysia merupakan antara negara terawal untuk menerima telefon pintar HONOR.

Sehubungan dengan itu, HONOR Malaysia telah memulakan tahun 2022 dengan pelancaran HONOR X Series yang merupakan telefon pintar kelas midrange dan kini telah melancarkan HONOR Magic4 Pro yang merupakan telefon pintar flagship pertama syarikat yang ditawarkan di pasaran Malaysia selepas berdiri sebagai syarikat berasingan.

HONOR Magic4 Pro, telefon pintar flagship premium kini telah ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,999 dan ini adalah ulasan telefon pintar tersebut.

Buka Kotak HONOR Magic4 Pro 

Tidak seperti kebanyakkan telefon pintar premium dipasaran, HONOR memberikan anda pakej penuh didalam kotak pembelian yang termasuk adapter pengecasan 100W, case silikon dan kabel USB-A ke USB-C.

HONOR juga menyertakan filem perlindungan skrin yang siap dipasang pada peranti.

Reka Bentuk

Sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak, anda pasti tidak terlepas pandang modul kamera HONOR Magic4 Pro yang besar dan unik dipasaran.

Tidak dapat dinafikan reka bentuk HONOR Magic4 Pro ini masih mempunyai elemen reka bentuk telefon pintar HUAWEI iaitu Mate40 Series.

HONOR menamakan reka bentuk kamera Magic4 Pro ini sebagai “Eye of the Muse” dan telefon pintar ini akan ditawarkan didalam dua warna iaitu Cyan dan Black.

 

Modul kamera HONOR Magic4 Pro ini adalah pada bahagian tengah didalam susunan bulat dengan sensor periskop pada bahagian tengah.

Bercakap mengenai panel belakang HONOR Magic4 Pro ini, ianya diperbuat daripada gelas namun HONOR tidak mendedahkan samada ianya dilapisi sebarang gelas keselamatan. Kemasan panel ini adalah berkilat yang bermaksud kesan capjari adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Selain itu, HONOR Magic4 Pro ini mempunyai rekaan yang melengkung pada bahagian hadapan dan belakang yang mana ini sedikit sebanyak menyembunyikan ketebalan telefon pintar iaitu 9.15mm. Telefon pintar ini juga mempunyai berat 215 gram.

Pada bahagian sisi kanan, HONOR Magic4 Pro mempunyai butang kuasa (yang agak kecil) dan butang pelaras kelantangan bunyi manakala pada bahagian bawah terdapat slot SIM, slot USB-C, satu mikrofon dan gril pembesar suara.

Seterusnya, pada bahagian atas terdapat gril pembesar suara, satu mikrofon dan IR blaster.

Bercakap mengenai panel hadapan, ianya tampil dengan reka bentuk skrin quad curved yang melengkung pada semua sisi dengan bezel yang sangat nipis dan terdapat potongan berbentuk pil untuk menempatkan kamera selfie ultrawide dan sensor 3D ToF yang memberikan pengguna sistem keselamatan biometrik wajah yang lebih selamat.

Lebih lanjut tentang skrin paparan HONOR Magic4 Pro ini di bahagain seterusnya.

Skrin Paparan

HONOR Magic4 Pro memiliki skrin paparan LTPO AMOLED berukuran 6.81-inci dan ianya merupakan panel skrin yang menyokong lebih dari 1 bilion warna (10 bit).

Skrin paparan ini mempunyai resolusi maksima 1312 x 2848 piksel dengan kadar segar semula dinamik 120Hz dan teknologi 1920Hz PWM dimming.

1920Hz PWM dimming ini bermaksud panel skrin HONOR Magic4 Pro mempunyai kadar kelipan skrin yang paling tinggi dimana lebih tinggi kadar tersebut lebih baik untuk mata.

Skrin paparan secara asasnya berkelip-kelip ketika digunakan namun ianya tidak dapat ditafsir oleh mata kerana kadar kelipan yang tinggi namun HONOR membawa teknologi dengan kadar yang lebih tinggi untuk memastikan ianya tidak memberikan kesan kepada mata.

Sebagai perbandingan mudah, skrin paparan Apple iPhone berkelip pada kadarg 480Hz manakala skrin HONOR Magic4 Pro berkelip pada kadar 1920Hz.

Selain itu, skrin paparan HONOR Magic4 Pro ini juga menyokong kandungan HDR10+ dan telefon pintar ini mempunyai cip paparan MEMC yang mampu meningkatkan kualiti video melalui Video Enhancer dan Frame Rate Booster namun ciri hanya disokong pada aplikasi YouTube dan Netflix sahaja.

Secara keseluruhanya, skrin paparan HONOR Magic4 Pro menepati piawaian flagship khususnya dengan kadar segar semula dinamik 120Hz dan PWM Dimming.

Sedikit mengecewakan adalah saiz punch hole pada telefon pintar ini agak besar dan ini sedikit sebanyak mengganggu kepuasan visual skrin.

Pemproses

HONOR Magic4 Pro disertakan dengan cip terbaik daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1.

Cip 4nm ini merupakan cip octa-core yang terdiri daripada 3 kluster iaitu teras utama Cortex-X2 pada kelajuan 3.0GHx, kluster kedua yang mempunyai 3 teras Cortex-A710 pada kelajuan 2.5GHz dan 4 teras Cortex-A510 yang beroperasi pada kelajuan 1.8GHz. Ianya juga disertakan dengan GPU Adreno 730 untuk tugas grafik intensif.

Bagi pasaran Malaysia, HONOR Magic4 Pro ditawarkan didalam satu konfigurasi sahaja iaitu 8GB RAM dengan storan dalaman 256GB

Selain itu, HONOR Magic4 Pro juga membawakan antaramuka Magic UI 6 yang berasaskan Android 12 dan ianya adalah UI yang sangat mudah untuk digunakan jika anda merupakan pengguna telefon pintar HONOR sebelum ini.

Magic UI 6 menawarkan pelbagai ciri tetapan yang boleh diubah mengikut citarasa pengguna termasuk Always On Display, tema, tetapan Home Screen dan banyak lagi.

Selain itu, seperti kebanyakkan telefon pintar dengan sistem operasi Android 12, Magic UI 6 pada HONOR Magic4 Pro juga mempunyai privacy dashboard yang memberikan anda notifikasi kecil berwarna hijau apabila sesuatu aplikasi sedang mengakses kamera, lokasi dan mikrofon.

HONOR juga menitikberatkan keselamatan peranti dan Magic UI 6 memberikan anda kebebasan untuk menggunakan sensor capjari ultrasonic yang pantas atau 3D ToF yang lebih selamat dengan operasi seperti FaceID (boleh digunakan pada apa jua keadaan cahaya) atau kedua-duanya sekali.

Walaupun prestasi Snapdragon 8 Gen 1 terbukti antara yang terbaik dipasaran, cipset ini dilihat masih tidak mampu untuk beroperasi pada tahap yang optimum tanpa pengeluaran haba yang tinggi namun HONOR Magic4 Pro juga dilengkapi sistem penyejukan graphene yang lebih efektif berbanding penyejukan VC liquid cooling.

Kamera

HONOR Magic4 Pro memiliki tetapan tiga kamera namun ketiga-tiga kamera ini mempunyai resolusi yang tinggi untuk anda menikmati hasil fotografi yang baik.

Sensor utama HONOR Magic4 Pro adalah unit 50MP Sony IMX766 dengan aperture f/1.8 namun tiada OIS.

Selain itu, sensor ultrawide yang dimiliki telefon pintar ini juga 50MP namun tidak sama dengan sensor utama dan ianya juga mempunyai 122 FOV⁰ serta pemfokusan auto.

Sensor kamera ketiga yang digunakan pada HONOR Magic4 Pro adalah sensor periskop 64MP yang mempunyai OIS dan ianya menawarkan anda zoom optikal 3.5x atau zoom maksima 100x yang membolehkan anda mengambil gambar bulan.

Selain itu, bersama tiga sensor ini juga disertakan sensor 8×8 dToF dan flicker sensor. Kamera selfie adalah 12MP f/2.4 yang juga disertakan dengan sensor 3D ToF untuk maklumat depth dan face unlock yang lebih kukuh.

Kombinasi kamera HONOR Magic4 Pro ini sahaja dilihat tidak mampu memberikan hasil gambar yang terbaik kerana megapiksel sesuatu sensor tidak menjamin apa-apa dan algoritma pemprosesan gambar juga memainkan peranan untuk memberikan pengguna hasil gambar yang memuaskan.

Tanpa Teknologi Ultra Fusion Photography
Dengan Teknologi Ultra Fusion Photography

HONOR Magic4 Pro tampil dengan teknologi Ultra Fusion Photography yang pada jarak penggunaan kamera tertentu, sistem kamera akan mengambil maklumat gambar daripada dua sensor secara serentak dan ini membantu meningkatkan kadar dinamik, ketajaman gambar dan kualiti.

Selain itu, HONOR Magic4 Pro juga mempunyai teknologi rakaman video 4K dengan pensijilan IMAX yang memberikan anda rakaman video setaraf tahap profesional industri perfileman.

Secara keseluruhanya, kamera HONOR Magic4 Pro mampu memberikan anda hasil fotografi yang baik tidak kira keadaan cahaya gambar tersebut diambil. Jika pada cahaya yang baik, HONOR Magic4 Pro mampu memberikan hasil gambar yang luar biasa dengan kualiti dan kecerahan yang hampir sempurna.

Seperti sensor utama, sensor ultrawide juga mampu mengambil yang baik namun ianya bergantung kepada keadaan cahaya. Sensor ini mampu memberikan gambar hasil setaraf sensor utama hanya apabila keadaan cahaya yang baik.

Bercakap mengenai sensor periskop 64MP pula, adalah sesuatu yang tidak dijangka bahawa sensor ini hanya mampu menawarkan pengzooman optik 3.5x dan bukanya 5x seperti kebanyakkan sensor periskop lain dipasaran namun hasil gambar yang diperoleh adalah memuaskan namun kekurangan sedikit ketajaman.

Selain itu, HONOR Magic4 Pro juga menyokong mod malam, mod makro dan banyak lagi.

Kamera selfie ultrawide 12MP yang dimiliki HONOR Magic4 Pro juga mampu memberikan anda hasil selfie yang menakjubkan walaupun sensor yang digunakan tidak beresolusi tinggi.

Contoh gambar dari HONOR Magic4 Pro:

Bateri

HONOR Magic4 Pro adalah sebuah telefon pintar yang besar, namun kapasiti bateri yang ditawarkan tidak sebesar yang dijangka.

Bagi peranti kelas flagship seperti ini, bateri antara 4,800mAh hingga 5,000mAh adalah suatu kemestian namun HONOR Magic4 Pro hanya disertakan dengan bateri berkapasiti 4,600mAh sahaja.

Walaubagaimanapun, HONOR mengatasi kekurangan kapasiti bateri dengan menawarkan teknologi pengecasan yang boleh diletakkan sebagai antara yang terpantas dipasaran iaitu 100W SuperCharge yang mampu memberikan anda 100% pengecasan didalam masa 30 minit sahaja.

Tidak cukup dengan itu, HONOR juga menyertakan sokongan pengecasan pantas tanpa wayar 100W yang mana ianya hanya boleh dilakukan melalui pengecas tanpa wayar 100W keluaran HONOR.

Walaubagaimanapun untuk mendapatkan output 100W, ianya perlu diguna bersama adapter 135W yang kebiasaanya disertakan pada komputer riba keluaran syarikat ini.

Pengecas 100W HONOR Wireless SuperCharge ini mampu mencapai pengecasan penuh didalam masa 40 minit sahaja dan pengecas ini juga dilengkapi kipas yang tersendiri untuk membuang haba yang terhasil ketika pengecasan.

Walaupun sedikit kecewa dengan kapasiti bateri yang agak kecil, HONOR dilihat telah menebus kekecewaan ini dengan menawarkan dua teknologi pengecasan pantas 100W terbaik dipasaran.

Penutup

HONOR Magic4 Pro adalah comeback pertama HONOR ke pasaran telefon pintar flagship global dan ternyata telefon pintar ini mampu memberikan persaingan yang baik kepada barisan flagship lain dipasaran.

Walaupun ada kekurangan yang nyata, HONOR Magic4 Pro dilihat sebagai sebuah telefon pintar yang patut diberikan pertimbangkan serius jika anda sedang bercadang untuk membeli sebuah telefon pintar flagship premium.

HONOR Magic4 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 3,999.

Dapatkan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,656 termasuk HONOR Watch GS 3 bernilai RM999, case HONOR Magic4 Pro, jaminan lanjutan 1 tahun dan perlindungan skrin retak 6 bulan apabila anda membuat pra-tempah sebelum 10 Jun 2022.

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.