Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Xiaomi 12 – Peranti Kompak yang cukup syarat sebagai flagship

Pengenalan

Xiaomi, sebuah jenama telefon pintar global yang tidak asing lagi telah memperkenalkan telefon pintar flagship 2022 mereka iaitu Xiaomi 12 Series.

Xiaomi 12 Series ditawarkan didalam beberapa model namun buat masa ini hanya Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro ditawarkan di pasaran Malaysia.

Tahun ini Xiaomi menggunakan pendekatan yang berbeza bagi telefon pintar flagship mereka dimana Xiaomi 12 tampil sebagai peranti flagship kompak manakala Xiaomi 12 Pro adalah peranti flagship dengan saiz standard namun kedua-dua peranti ini tampil dengan cip Snapdragon 8 Gen 1.

Kebiasaanya, peranti kompak sering kali ditawarkan dengan spesifikasi yang tidak setaraf untuk diklasifikasikan sebagai flagship namun Xiaomi mahu merubah perkara ini dengan Xiaomi 12.

Xiaomi 12 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 2,999 dan dengan harga ini, ianya adalah antara telefon pintar dengan cipset Snapdragon 8 Gen 1 termurah di Malaysia.

Jika anda sedang mencari sebuah telefon pintar Android premium dengan reka bentuk kompak, Xiaomi 12 mungkin merupakan sesuatu untuk anda dan berikut adalah ulasan Xiaomi 12.

Reka Bentuk

Xiaomi 12 menampilkan reka bentuk yang premium dan ergonomik dimana ianya sangat selesa apabila dipegang.

Saiz Xiaomi 12 yang kompak ini seolah memberikan kami satu pengalaman penggunaan peranti yang berlainan kerana sudah lama kami tidak menguji peranti bersaiz kompak seperti Xiaomi 12.

Selain itu, Xiaomi juga tidak berkompromi pada bahagian reka bentuk dan syarikat ini telah menggunakan komponen premium untuk membuat telefon pintar ini.

Xiaomi 12 tampil dengan reka bentuk panel yang melengkung pada bahagian hadapan dan belakang serta selari dengan rangka yang keluli.

Panel hadapan Xiaomi 12 adalah gelas sepenuhnya dan juga dilapisi gelas keselamatan Corning Gorilla Glass Victus. Xiaomi juga menyertakan filem perlindungan skrin siap pasang dari kilang dan terdapat juga case silikon didalam kotak.

Beralih kepada panel belakang, Xiaomi 12 memiliki kemasan panel belakang matte yang premium dan diperbuat daripada gelas dengan lapisan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 5 namun ianya terasa seperti plastik.

Seperti biasa, pada panel belakang juga terdapat modul kamera bagi telefon pintar ini dan bongol kamera yang dimiliki Xiaomi 12 ternyata besar dan tidak sekata apabila diletakkan di atas meja.

Pada bahagian sisi kanan, Xiaomi 12 memiliki butang kuasa dan butang pelaras suara manakala pada bahagian bawah terdapat slot USB-C, gril pembesar suara dan slot SIM.

Dalam pada itu, pada bahagian atas terdapat satu lagi gril pembesar suara yang melengkapkan sistem audio stereo Harmon Kardon yang dimiliki Xiaomi 12 dan IR blaster untuk mengawal peranti elektronik dirumah.

Xiaomi 12 mempunyai ukuran dimensi 152.7×69.9×8.2mm berat 179gram sahaja.

Skrin Paparan

Xiaomi 12 adalah sebuah telefon pintar kompak namun syarikat ini telah memaksimunkan keseluruhan panel hadapan dengan skrin paparan.

Xiaomi juga tidak menyertakan panel skrin yang tidak menepati status flagship pada Xiaomi 12 walaupun ianya bukan model atasan pada Xiaomi 12 Series.

Sehubungan dengan itu, Xiaomi 12 tampil dengan skrin paparan OLED berukuran 6.28-inci dengan resolusi FHD+ dan kepadatan piksel 419ppi.

Panel ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 480Hz. Panel yang digunakan pada Xiaomi ini bukan jenis LTPO yang bermaksud tiada sokongan kadar segar semula dinamik dan ianya boleh ditetapkan untuk beroperasi pada kadar bingkai 60Hz atau 120Hz sahaja.

Selain itu, panel yang digunakan pada Xiaomi 12 ini adalah skrin 12-bit yang bermaksud ianya mampu memaparkan 68 bilion warna.

Akhir sekali, Xiaomi 12 juga dilengkapi sensor capjari terbina dalam skrin yang agak responsif namun ianya adalah jenis optikal yang memancarkan cahaya sebelum pengecaman capjari dilakukan. Nota penting di sini adalah posisi sensor capjari adalah sedikit bawah yang tidak begitu ergonomik dan ini menyukarkan pengguna untuk meletakkan ibu jari dengan mudah.

Pemproses

Xiaomi 12 hadir dengan cip flagship terbaik daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen 1 yang diperbuat menggunakan proses fabrikasi 4nm Samsung.

Snapdragon 8 Gen 1 adalah cip 8 teras yang terdiri daripada satu teras utama Cortex X2 berkelajuan 3.0GHz, 3 teras Cortex-A710 berkelajuan 2.5GHz dan 4 teras Cortex-A510 berkelajuan 1.8GHz.

Selain itu, Snapdragon 8 Gen 1 juga disertakan dengan GPU Adreno 730 untuk menguruskan tugas intensif grafik yang diperlukan.

Bagi pasaran Malaysia, Xiaomi 12 ditawarkan dengan 8GB RAM dan 256GB storan dalaman. Ciri Memory Extension memberikan tambahan 3GB RAM kepada peranti anda namun tiada pilihan untuk anda memilih kapasiti yang lebih besar atau kecil seperti yang ditawarkan kebanyakkan pengeluar telefon pintar lain dipasaran.

Xiaomi 12 hadir dengan antaramuka MIUI 13 yang berasaskan Android 12 dan ianya tampil dengan pelbagai ciri baharu seperti Liquid storage yang mana Xiaomi mendakwa prestasi storan pada kebanyakkan peranti adalah 50% lebih rendah selepas 36 bulan digunakan namun dengan MIUI 13, ianya menawarkan 60% kecekapan defragmentasi lebih baik daripada MIUI 12. Ini bermaksud, penurunan prestasi storan dalam 36 bulan adalah sekitar 5% sahaja.

Sedikit mengecewakan kami adalah kewujudan iklan pada antaramuka MIUI 13 iaitu pada aplikasi Cleaner. Kami mungkin boleh terima iklan pada peranti murahan Xiaomi namun adalah tidak patut syarikat ini menyertakan iklan pada peranti flagship seperti Xiaomi 12.

Secara keseluruhan, Xiaomi 12 memberikan pengguna prestasi peranti yang konsisten dan stabil tanpa sebarang masalah dan ianya dijangka akan kekal menawarkan prestasi terbaik untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Xiaomi juga telah menjanjikan bahawa Xiaomi 12 Series akan menerima 3 tahun kemaskini sistem operasi Android yang pasti memberikan bakal pembeli insentif tambahan untuk mendapatkan telefon pintar flagship ini.


Kamera

Xiaomi 12 mungkin sebuah telefon pintar flagship dan untuk menepati syarat ini, ianya juga hadir dengan teknokogi kamera setaraf flagship namun ketiadaan sensor telefoto sedikit merencatkan reputasi telefon pintar ini.

Xiaomi 12 memiliki sensor utama Sony IMX766 50MP yang memiliki 1,0µm dengan saiz sensor 1/1.56″. Sensor ini juga mempunyai lensa 6P dan turut menawarkan optik pengstabilan imej yang lebih dikenali dengan panggilan OIS. Sensor ini juga memiliki aperture f/1.9.

Sensor kedua yang dimiliki Xiaomi 12 adalah sensor ultrawide 13MP OmniVision OV13B10 yang menawarkan 132⁰ FOV dengan aperture f/2.4.

Sensor ketiga dan yang terakhir ditawarkan pada Xiaomi 12 adalah sensor makro 5MP yang dipadankan bersama lensa telefoto 2x. Fotografi makro pada telefon pintar ini boleh diambil pada resolusi yang lebih besar berbanding kebanyakkan model telefon pintar dipasaran yang hanya menawarkan sensor makro pada resolusi 2MP.

Selain itu, Xiaomi 12 juga memiliki kamera selfie 32MP untuk pakej fotografi selfie yang memuaskan kepada pengguna.

Secara keseluruhan, Xiaomi 12 mampu memberikan anda kualiti fotografi yang baik dengan sensor utama 50MP Sony dan sensor ultrawide telefon pintar ini juga mampu memberikan hasil gambar hampir setaraf dengan sensor utama.

Hasil daripada fotografi makro juga sesuatu yang baik memandangkan Xiaomi adalah antara syarikat yang menggunakan sensor makro 5MP dengan kualiti gambar yang lebih baik.

Bateri

Masalah telefon pintar flagship kompak adalah kapasiti bateri yang kecil namun Xiaomi harus dipuji kerana mampu memuatkan bateri berkapasiti 4,500mAh pada telefon pintar kompak dengan skrin bersaiz 6.28-inci ini.

Ianya adalah satu pencapaian luar biasa namun dengan ciri Snapdragon 8 Gen 1 yang sangat dahagakan tenaga, bateri ini pasti menghadapi masalah untuk melalui aktiviti harian pengguna dengan satu pengecasan penuh.

Untuk mengatasi kekurangan ini, Xiaomi 12 juga dilengkapi pengecasan pantas 67W yang mampu memberikan pengecasan penuh didalam masa 39 minit sahaja. Selain itu, Xiaomi 12 juga dilengkapi pengecasan tanpa wayar 50W yang mampu mencapai pengecasan penuh didalam masa 53 minit sahaja.

Selain itu, Xiaomi juga menyertakan sokongan pengecasan reverse wireless charging pada kadar 10W yang boleh digunakan untuk anda mengecas peranti wearable seperti jam pintar atau TWS.

Penutup

Xiaomi 12 merupakan sebuah peranti flagship kompak yang dikeluarkan selepas sekian lama iaitu kali terakhir pada Xiaomi Mi 8 yang mana ketika itu ianya masih belum jatuh pada kategori flagship kompak.

Walaupun tampil dengan reka bentuk kompak, Xiaomi tidak mengorbankan sebarang spesifikasi atau ciri untuk mencapai reka bentuk kompak ini.

Pelancaran Xiaomi 12 sebagai peranti flagship kompak meletakkanya bersaing bersama telefon pintar seperti Apple iPhone 13 Mini (harga dari RM 3,399) dan Samsung Galaxy S22 (harga dari RM 3,499).

 

 

 

 

 

 

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.