Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Pemproses Snapdragon 8 Gen1 kini rasmi


Qualcomm secara rasminya telah melancarkan cip pemprosesan flagship generasi baharu syarikat ini yang dikenali sebagai Snapdragon 8 Gen1.

Snapdragon 8 Gen1 merupakan cipset pertama 4nm daripada Qualcomm yang berasaskan reka bentuk ARMv9. Ianya mempunyai teras utama Cortex-X2 pada kelajuan 3.0GHz, tiga teras berprestasi tinggi Cortex-A710 pada kelajuan 2.5GHz dan 4 teras Cortex-A510 yang efisien tinggi pada kelajuan 1.8GHz.


Secara keseluruhan, Snapdragon 8 Gen1 adalah 20% lebih pantas berbanding Snapdragon 888 manakala penggunaan tenaga adalah 30% lebih rendah.

Bercakap mengenai GPU, Adreno generasi baharu yang digunakan pada cipset ini menjanjikan 30% peningkatan prestasi dan 25% penjimatan tenaga. Adreno Frame Motion Engine membolehkan GPU menawarkan dua kali ganda kadar bingkai dengan penggunaan tenaga yang sama atau mengekalkan kadar bingkai yang sama namun dengan penggunaan tenaga yang lebih rendah.


Selain itu, Snapdragon 8 Gen1 juga mempunyai modem X65 5G yang menyokong rangkaian sub-6 dan mmWave. Cip ini juga menyokong Wi-Fi 6 dan Wi-Fi 6E.

Dalam pada itu, Qualcomm juga telah meningkatkan ciri keselamatan dengan memperkenalkan Trust Management Engine yang diletakkan dibawah ciri hypervisor yang diperkenalkan pada generasi sebelum ini.

Telefon pintar flagship Android pertama dengan pemproses Snapdragon 8 Gen1 ini dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.