Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Asus ROG Phone 5 Malaysia – Peranti Gaming Mantap Yang Menyerlahkan Sepenuhnya Potensi Snapdragon 888 Pada Harga Dari RM 2,999

Pengenalan 

Republic of Gamers, sebuah nama yang sangat gah di arena peranti gaming kini kembali lagi dengan satu lagi telefon pintar gaming yang meneruskan lagi tradisi pelancaran generasi baharu Asus ROG Phone setiap tahun.

Walaubagaimanapun tahun ini telah menyaksikan Asus melangkah dari Asus ROG Phone 3 ke Asus ROG Phone 5 dan ianya bukanlah rahsia kenapa Asus membuat keputusan ini (angka 4 dianggap tidak bertuah).

Selain itu, pelancaran Asus ROG Phone tahun ini juga lebih awal yang bermaksud kita tidak akan menerima cipset versi plus Snapdragon 888 namun siapa tahu, mungkin Asus akan memperkenalkan satu lagi ROG Phone 5 lewat tahun ini.

Sebagai sebuah jenama yang DNA utama adalah produk gaming, hanya yang terbaik akan diharapkan oleh pengguna Asus ROG Phone 5.

Sebelum kita mengulas lebih mendalam tentang Asus ROG Phone 5, telefon pintar gaming Asus ini juga hadir didalam versi Pro dan versi Ultimate.

Berikut adalah harga penjualan Asus ROG Phone 5 di Malaysia :

Asus ROG Phone 5

ROG Phone 5  8GB RAM / 128GB RM 2,999

ROG Phone 5  16GB RAM / 256GB RM 3,799

ROG Phone 5 Pro 16GB RAM /256GB  RM 4,499

ROG Phone 5 Ultimate Edition 18GB RAM /512GB RM 4,999

Asus ROG Phone 5 – Berikut adalah harga bagi Aksesori dan semua varian ROG Phone 5 di Malaysia

Selain itu, buat kali pertama didalam sejarah telefon pintar Asus ROG Phone, kipas AeroActive kini tidak lagi tersedia untuk semua varian ROG Phone 5 dan anda hanya akan menerimanya apabila membeli ROG Phone 5 Pro dan ROG Phone 5 Ultimate Edition.

Buka Kotak

Pengalaman buka kotak telefon pintar Asus ROG Phone adalah sesuatu yang unik sejak dari generasi pertama Asus ROG Phone.

Walaubagaimanapun hilang sudah kotak prism segitiga yang unik dan ROG Phone 5 kini tampil dengan reka bentuk yang lebih konvesional dan lebih menjimatkan kos.

Walaubagaimanapun penjimatan kos oleh Asus ini tidak melibatkan adapter pengecasan dan anda menerima satu unit pengecasan Asus HyperCharge 65W bersama-sama kabel USB -C ke USB-C yang ditenun memastikan ianya tahan lasak.

Selain itu, Kotak Asus ROG Phone 5 tampil dengan bentuk segiempat yang pada pendapat kami masih memberikan satu kemasan premium dan apabila anda membuka sahaja kotak, pasti anda akan perasan lakaran komik di kotak yang merupakan ‘intro’ AR salah satu watak bagi Asus ROG Phone 5.

Selain itu, didalam kotak ini juga terdapat satu aerocase yang mana warnanya adalah berdasarkan warna ROG Phone 5 anda dan bercakap mengenai warna, ROG Phone 5 hadir didalam dua pilihan warna iaitu Phantom Black dan Storm White.

Akhir sekali, anda juga tidak menerima sebarang getah penutup gantian untuk slot USB-C dan magnetik pada bahagian sisi seperti pada generasi sebelum ini.

Berikut adalah video buka kotak Asus ROG Phone 5 :


Reka Bentuk

Telefon pintar gaming Asus ROG ini mempunyai satu indentiti yang tersendiri yang memastikan telefon pintar sentiasa menonjol.

Walaubagaimanapun, Asus telah membuat keputusan untuk memberikan ROG Phone 5 satu kemasan yang lebih ‘normal’ berasaskan gelas namun lampu RGB logo ROG dan reka bentuk modul kamera masih kekal seperti generasi sebelum ini.

Selain daripada itu, ROG Phone 5 juga telah kehilangan potongan gril-gril ventilasi untuk mengeluarkan haba dari peranti dengan lebih efektif.

Panel belakang yang dilapisi gelas keselamatan Gorilla 3 (hanya panel hadapan hadir dengan lapisan Gorilla Glass Victus) ini mempunyai kemasan corak geometrik yang dikenali sebagai Dotted Matrix Design pada bahagian bawah manakala ditempat logo ROG ditempatkan, terdapat corak geometrik yang menyerupai titik lampu RGB.

Selain itu, tulisan angka ‘5’ yang melambangkan generasi keempat (eh?)  telefon pintar ini selain tahun tertubuhnya jenama ROG iaitu pada 2006.

Walaubagaimanapun kemasan panel belakang yang berkilau menjadikan ROG Phone 5 sebuah telefon pintar yang sangat suka kepada capjari namun untuk itu Asus juga menyertakan Aero Case didalam kotak yang tampil dengan kemasan yang matte dan bergerigi untuk lebih cengkaman.

Beralih kepada bahagian hadapan, Asus ROG Phone 5 tampil dengan skrin paparan yang lebih besar berbanding generasi lalu iaitu ROG Phone 3, namun profil keseluruhan telefon pintar ini tidak begitu berbeza.

Walaubagaimanapun, aksesori Asus ROG Phone 3 kini tidak lagi boleh digunakan pada generasi ROG Phone 5 kerana ukuran dimensi 172.8 x 77.2 x 10.29mm menjadikan Asus ROG Phone 5 ni lebih tinggi dan tebal berbanding ROG Phone 3 manakala berat adalah 248 gram.

Slot sisi untuk aksesori ROG dan pengecasan USB-C pada mod landskap

Dalam pada itu, bezel pada sisi skrin ROG Phone 5 kini lebih nipis iaitu 25% lebih nipis berbanding ROG Phone 3 dan ini membolehkan skrin paparan yang digunakan pada iterasi ini adalah lebih besar iaitu 6.78-inci berbanding 6.59-inci pada telefon pintar ROG 2020.

Sebelum menutup bahagian reka bentuk, kami ingin menyebut sedikit mengenai susunan kompenan dalaman Asus ROG Phone 5 yang unik.

Asus telah meletakkan papan utama dan cip pemprosesan ROG Phone 5 pada bahagian tengah iaitu diantara dua sel bateri berkapasiti 3,000mAh.

Ini dilihat akan membantu ROG Phone 5 mengeluarkan haba yang dihasilkan dari peranti dengan lebih efektif dan ianya juga adalah selari dengan lokasi kipas AeroActive 5 dipasang yang mana pada generasi kali ini mempunyai dua butang fizikal.


Bercakap mengenai butang, pada bahagian sisi ROG Phone 5 terdapat dua butang AirTrigger yang sentisitif kepada sentuhan dan boleh di pra-tetap pada permainan video tertentu sebagai butang trigger atau apa sahaja butang yang anda mahu.


Selain itu, pada bahagian sisi juga terdapat slot SIM yang hadir didalam kemasan berwarna merah dan ianya menyokong dua kad nano-SIM.

Pada bahagian bawah, terdapat satu lagi slot USB-C, gril audio dan bicu audio 3.5mm yang kembali membuat penampilan selepas tidak ditawarkan pada ROG Phone 3.

Skrin Paparan

Asus ROG Phone 5 tampil dengan skrin paparan OLED 144Hz yang kini sedikit besar berbanding pada ROG Phone 3 namun masih mengekalkan resolusi FHD+ (2248 x 1080p).

Panel skrin berukuran 6.76-inci adalah jenis E4 keluaran Samsung dan ianya menawarkan pengguna satu paparan yang lebih terang walaupun dibawah cahaya mahatari yang terik.

Asus ROG Phone 5 juga menawarkan kadar latensi sentuhan pada skrin paling rendah dipasaran iaitu hanya 24.3ms manakala latensi slide pula adalah 18ms.

Selain itu, tetapan skrin Asus ROG Phone 5 memberikan anda pilihan untuk menetapkan kadar segar semula maksima yang anda rasa sesuai.

Anda boleh memilih kadar 60Hz, 120Hz, 144Hz atau memilih untuk menggunakan kadar segar semula yang dipilih secara auto oleh sistem peranti bergantung kepada kandungan.

Walaubagaimanapun, setakat ini kadar segar semula yang dimiliki oleh kebanyakkan telefon pintar flagship utama dunia masih belum dapat digunakan pada potensi penuh.

Koleksi permainan video yang menyokong kadar segar semula yang tinggi mungkin tidak terlalu banyak namun Asus cuba membekalkan anda permainan video ini dibahagian Armoury Crate.

Selain itu, kadar kecerahan skrin yang ditawarkan oleh Asus ROG Phone 5 dikatakan 23% lebih baik daripada Asus ROG Phone 3.

Akhir sekali, ROG Phone 5 juga memiliki HDR10+ dan Widevine L1 yang bermaksud anda boleh menikmati kandungan pada kualiti terbaik diplatform penstriman seperti Netflix dan Amazon Prime Video.

Pemproses

Kekuatan Asus didalam memaksimakan potensi sesebuah cipset telah terbukti sejak pelancaran generasi pertama Asus ROG Phone namun generasi keempat tahun ini sedikit berbeza.

Asus kini tidak lagi mempunyai akses kepada cipset flagship versi ‘Plus’ yang biasa ditawarkan kepada telefon pintar gaming dengan kadar CPU dan GPU yang lebih tinggi berbanding versi biasa.

Seperti kebanyakkan telefon pintar flagship Android dipasaran, Asus ROG Phone 5 menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon 888 dengan optimasi sistem dan perisian dalaman yang mampu meletakkanya sebagai telefon pintar terbaik dipasaran sepanjang tahun ini.

Armoury Crate sekali lagi menjadi tunjang utama kepada Asus ROG Phone 5 dan anda diberikan pilihan untuk memastikan setiap inci pretasi cipset flagship Snapdragon 888 ini dapat dikeluarkan untuk keperluan anda.

Walaubagaimanapun perbezaan paling ketara antara Asus ROG Phone 5 dan telefon pintar SD 888 lain dipasaran adalah bagaimana pengurusan haba yang dikeluarkan oleh cipset ini.

Tindakan bijak Asus untuk mengalihkan papan utama dan cipset ke bahagain tengah peranti membolehkan prestasi pemproses Snapdragon 888 dikekalkan untuk tempoh yang lama dan ianya juga dibantu dengan kipas AeroActive Cooler 5 yang kini berputar betul-betul di atas bahagian komponen pemprosesan utama ROG Phone 5.

ROG Phone 5 + AeroCase + AeroActive Cooler 5

Selain itu, GPU Adreno 660 yang digunakan pada Asus ROG Phone 5 menawarkan hampir 35% peningkatan prestasi berbanding Snapdragon 865 dan Qualcomm Snapdragon Elite Gaming kini juga disertakan dengan teknologi Variable Rate Shading (VRS).

Untuk pengetahuan anda, unit reviu kami adalah Asus ROG Phone 5 yang memiliki 16GB RAM jenis LPDDR5 dengan storan dalaman 256GB jenis UFS 3.1

Selain itu, prestasi keseluruhan Asus ROG Phone yang lebih baik berbanding telefon pintar yang memiliki cipset Snapdragon 888 juga dikatakan kerana keputusan Asus untuk kekal menggunakan skrin paparan dengan resolusi FHD+ dan bukanya QHD+.

Dalam pada itu, Asus ROG Phone 5 juga hadir dengan teknologi HyperFusion yang mana terdapat tiga antena Wi-Fi pada telefon pintar gaming Asus ini yang menghalang isyarat Wi-Fi terhadang dengan jari anda.

Ini memastikan anda mendapat sambungan Wi-Fi yang sentiasa kuat tanpa perlu duduk pada lokasi yang mempunyai isyarat Wi-Fi yang baik.

Akhir sekali, pengeluaran haba pada Asus ROG Phone 5 masih ada ketika anda bermain permainan video atau tugas-tugas berat namun ianya tidak begitu ketara sehingga menjadikan Asus ROG Phone 5 ini tidak selesa untuk dipegang.

Dengan cipset kini dibahagian tengah, tangan anda juga kita tidak terlalu hampir kepada sumber haba Asus ROG Phone 5.

Walaubagaimanapun jika anda merasakan tahap haba yang dikeluarkan oleh ROG Phone 5 tidak begitu selesa, pasangkan sahaja AeroActive Cooler 5 yang disertakan dengan pembelian ROG Phone 5 Pro dan ROG Phone 5 Ultimate Edition ( pembelian secara berasingan juga boleh dilakukan iaitu pada harga RM 149).

Armoury Crate Asus ROG Phone 5

ROG Phone 5 juga dilengkapi dengan ROG UI yang berasaskan Android 11 dan ianya masih memgekalkan DNA sebuah telefon pintar gaming yang tidak lain dan tidak bukan merupakan satu keunikan kepada telefon pintar Asus ini.

Antara ciri yang kami suka adalah Game Genie dimana ianya menawarkan akses mudah kepada fungsi-fungsi penting ketika didalam gaming.

Selain itu, Game Genie juga membekalkan anda dengan pelbagai informasi penting seperti kadar bingkai, suhu peranti, operasi cipset dan banyak lagi.


Kamera

Pengalaman kamera yang luar biasa pada telefon pintar Gaming bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan namun Asus sentiasa memberikan kita sebab untuk fikir bahawa kenyataan ini adalah tidak benar.

Asus ROG Phone 5 sekali lagi menampilkan satu pakej kamera yang cukup ‘memadai’ bagi kegunaan fotografi harian.

Asus telah memutuskan untuk kekal menggunakan sensor kamera yang sama seperti pada ROG Phone 3 iaitu satu sensor 64MP Sony IMX686, satu sensor ultrawide 13MP dan sensor makro 5MP serta kamera selfie 24MP.

Walaupun sensor kamera yang digunakan adalah sama seperti pada ROG Phone 3, pengunaan cipset Snapdragon 888 juga membolehkan gambar yang diambil kini diproses oleh Spectra 580 ISP.

Ini membolehkan Asus ROG Phone 5 menawarkan satu prestasi fotografi yang lebih baik berbanding Asus ROG Phone 3 walaupun kedua-duanya masih menggunakan modul kamera yang sama.


Bateri

Asus ROG Phone 5 memiliki bateri yang kini diklasifikasikan sebagai kapasiti minima pada telefon pintar ROG iaitu 6,000mAh.

Ianya adalah kapasiti bateri yang sama seperti pada Asus ROG Phone 3 namun pada generasi kali ini, Asus telah menggunakan dua sel bateri berkapasiti 3,000mAh berbanding satu sel bateri 6,000mAh pada generasi sebelum ini.

Selain itu, pengunaan dua sel bateri juga membolehkan Asus meningkatkan kadar pengecasan ROG Phone 5 ke tahap 65W tanpa terlalu banyak pembebasan haba dan mengekalkan tahap kualiti bateri yang tahan lama.

Asus telah menggunakan teknologi pengecasan MMT iaitu Middle Middle Tab yang bermaksud pengecasan bateri bermula dari bahagian separa dalam berbanding dari luar dan ini dikatakan mengurangkan galangan dan suhu ketika pengecasan.

Selain itu, Teknologi pengecasan pantas ASUS HyperCharge yang kini pada kadar 65W mampu mencapai tahap pengecasan 70% dalam 30 minit manakala pengecasan penuh boleh diselesaikan didalam masa kurang dari 60 minit (Asus mendakwa pengecasan penuh boleh selesai dalam masa 52 minit).

Selain itu, Asus juga dilihat memberikan perhatian khas kepada jangka hayat bateri dengan pelbagai tetapan yang akan meningkatkan kitaran bateri telefon pintar gaming terbaru Asus ini.

Pembesar Suara (Speaker)

Asus ROG Phone 5 boleh dikatakan sebagai telefon pintar dengan sistem audio yang mampu meletakkanya sebagai antara pendahulu pasaran didalam kategori ini.

Kerjasama Asus dengan pakar akoustik Sweden iaitu Dirac telah membolehkan Asus ROG Phone 5 menawarkan kualiti audio yang paling baik didalam sejarah telefon pintar Asus ROG Phone.

Selain itu, kerjasama dengan Dirac juga membolehkan ROG Phone 5 hadir dengan satu hub audio yang dikenali sebagai AudioWizard yang berfungsi memberikan anda pelbagai tetapan bunyi yang lebih menyeluruh.

Sebagai rekod, Asus ROG Phone 5 juga telah diiktiraf sebagai telefon pintar dengan sistem audio terbaik dipasaran oleh DxOMark dan telah memperoleh 79 mata didalam ujian audio yang dilakukan syarikat itu.

Penutup

Pelancaran Asus ROG Phone 5 yang lebih awal telah memberikan pasaran telefon pintar gaming yang sangat kompetitif kerana didalam bulan yang sama, Black Shark juga telah memperkenalkan telefon pintar gaming mereka iaitu Black Shark 4 Pro dan Black Shark 4.

Pada harga penjualan yang bermula dari RM 2,999, Asus ROG Phone 5 kini buka hanya akan diminati oleh peminat gaming mudah alih, malah pengguna biasa yang mahu sebuah peranti berkuasa tinggi juga akan tertarik dengan telefon pintar terbaru Asus ini.

Buktinya, pra-tempahan Asus ROG Phone 5 di Malaysia mendapat sambutan yang sangat luar biasa dimana kesemua unit telah habis terjual didalam masa sehari sahaja.

Asus ROG Phone 5 dijangka akan mula sampai ke tangan pembeli di Malaysia bulan hadapan dan pasti ramai yang tidak sabar untuk mencuba sendiri sebuah telefon pintar gaming yang paling berkuasa dipasaran ini.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.