Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Samsung Galaxy Fold – inovasi yang mengubah sejarah industri telefon pintar

Samsung Galaxy Fold Malaysia

Pengenalan

Seperti memberi nafas baru didalam sektor pasaran telefon pintar, Samsung telah membawa masa depan ke tahun 2019 dengan memperkenalkan Samsung Galaxy Fold sebagai telefon pintar dengan skrin ‘foldable’ global pertama didunia.

Untuk meralisasikan impian ini, Samsung telah berdepan pelbagai halangan sehingga menyebabkan telefon pintar ini berdepan masalah reka bentuk yang telah menyebabkan penjualan telefon pintar foldable ini ditunda sehingga lewat tahun ini.

Untuk menjadi antara pemilik telefon pintar Samsung yang unik ini, premium yang perlu dibayar oleh pengguna Malaysia adalah RM 8,388 dan rata-rata penjualan awal Samsung Galaxy Fold menyaksikan kesemua unit telah habis ditempah didalam masa kurang dari 24 jam.

Walaupun sedikit lewat, Samsung Galaxy Fold telah tiba ke meja reviu kami dan ini membolehkan kami memberikan sedikit sebanyak ulasan Samsung Galaxy Fold.

Reka Bentuk

Samsung Galaxy Fold adalah telefon pintar yang unik dari saat anda melihat telefon pintar ini, ianya hadir reka bentuk panel yang boleh dilipat dengan satu skrin diluar manakala satu skrin boleh lipat dibahagian dalam.

Selain daripada itu, Samsung Galaxy Fold dilengkapi dengan enam kamera iaitu satu kamera selfie dihadapan, tiga dibelakang dan dua lagi kamera selfie didalam apabila lipatan skrin dibuka.

Engsel pada Samsung Galaxy Fold telah diperkukuhkan semula manakala lapisan yang melindungi panel skrin Fluid AMOLED kini telah menutup sepenuhnya skrin boleh lipat ini sehingga kedalam rangka.

Bagi memastikan ketahanan bukaan lipatan skrin ini, Samsung telah menyertakan maknet pada bahagian atas dan bawah rangka Samsung Galaxy Fold ini.

Selain itu, bagi melindungi peranti daripada sebarang calar, Samsung turut menyertakan satu case yang diperbuat daripada kevlar yang boleh dilekapkan pada peranti atau hanya dipasang tanpa membuka pita pelekap tersebut.

sensor capjari Samsung Galaxy Fold adalah pada bahagian sisi yang mana ianya mampu digunakan untuk mengaktifkan peranti dengan segera dan terdapat juga sokongan pengecaman wajah melalui kamera selfie hadapan.

Skrin Paparan

Samsung Galaxy Fold memiliki dua skrin paparan yang mana satu skrin dibahagian luar dan satu dibahagian dalam dan kedua-dua adalah panel AMOLED.

Walaubagaimanapun tumpuan sudah pastinya terarah kepada skrin boleh lipat Dynamic AMOLED berukuran 7.3-inci (menyokong HDR10+) berbanding skrin dihadapan yang lebih kecil iaitu hanya 4.6-inci

Skrin hadapan ini turut mendapat perlindungan gelas keselamatan generasi terbaru daripada Corning iaitu Gorilla Glass 6.

Skrin paparan boleh lipat Dynamic AMOLED ini mempunyai resolusi 2,152 x 1,536 piksel yang membawakan resolusi 362ppi dan ianya turut mendapat pensijilan TÜV Rheinland yang mana ianya hadir dengan kadar penghasilan lampu biru yang mesra pengguna.

Skrin paparan hadapan yang memiliki ukuran 4.6-inci pula mempunyai resolusi 1,689 x 720 piksel yang membawakan kepadatan pikse yang lebih tinggi.

Pada pendapat kami dan pendapat kebanyakkan pengguna awal adalah, skrin ini terlalu kecil untuk dipraktikan didalam penggunaan harian namun anda boleh melakukan tugas mudah seperti membuat panggilan, membaca mesej dan sebagainya.

Walaubagaimanapun fungsi app continuity membolehkan anda terus beralih dari skrin kecil ke skrin besar dengan hanya membuka lipatan skrin, segala paparan pada skrin kecil akan beralih ke skrin besar tanpa sebarang masalah.

Selain itu, app continuity juga menyokong peralihan dari skrin besar kepada skrin kecil namun aplikasi yang menyokong fungsi ini adalah terhad.

Pemproses

Samsung Galaxy Fold boleh dikatakan sebagai satu peranti yang ‘futureproof’ dimana ianya hadir dengan pemproses terbaik dipasaran iaitu Snapdragon 855. (berdasarkan ketika pengumuman telefon pintar ini pada awal tahun 2019)

Ianya turut disertakan dengan 12GB RAM dengan memori dalaman 512GB yang dilihat mencukupi lebih-lebih lagi kerana Samsung Galaxy Fold tidak mempunyai slot microSD.

Storan dalaman yang digunakan pada Samsung Galaxy Fold adalah jenis UFS 3.0 yang menjadikanya sebagai telefon pintar pertama Samsung untuk hadir dengan storan dalaman yang lebih pantas.

Sedikit mengecewakan kita di Malaysia adalah, Samsung Galaxy Fold bagi pasaran kita tidak mempunyai sokongan rangkaian 5G yang pasti memberikan pengguna satu keyakinan bagi pengunaan jangka panjang telefon pintar bernilai melebihi RM 8,000 ini.

GPU yang disertakan adalah Adreno 640 yang memberikan anda kebolehan untuk memainkan apa sahaja permainan video bergrafik tinggi yang kini berada dipasaran atau yang akan dilancarkan didalam satu atau dua tahun ke hadapan.

Segala aktiviti dan pemprosesan pada Galaxy Fold adalah sangat lancar tanpa sebarang masalah ‘lag’ namun harapan adalah prestasi ini dapat dikekalkan untuk tempoh yang panjang.


Kamera

Apabila berkata sahaja mengenai Samsung Galaxy Fold, fokus utama adalah pada penawaran skrin boleh lipat yang mengubah wajah industri telefon pintar namun kita juga tidak harus melupakan bahawa Galaxy Fold disertakan dengan 6 unit kamera.

Ianya tampil dengan teknologi tri-kamera dibelakang, dwi-kamera selfi di bahagian dalaman dan sebutir kamera selfie dibahagian hadapan.

Bercakap mengenai sensor tri-kamera Samsung Galaxy Fold, ianya adalah tetapan kamera yang sama seperti pada Galaxy S10+ iaitu satu sensor utama 12MP + sensor telefoto 12MP dan sensor kanta lebar 16MP.

Dibahagian dalaman, dua kamera selfie yang disertakan adalah unit kamera UHD 10MP dan sensor ‘depth’ RGB 8MP. Dibahagian luar pula, satu unit kamera selfie UHD 10MP (yang sama seperti pada sensor didalam).

Hasil gambar yang diperoleh dari telefon pintar unik ini adalah sangat terang dan tanpa sebarang kekaburan dan hasil ini juga boleh dilihat apabila menggunakan sensor telefoto.

Gambar wideangle yang diambil melalui sensor 16MP juga antara yang terbaik dan ianya menawarkan satu sudut fotografi yang berbeza kepada pengguna Samsung Galaxy Fold.

Mod malam pada Galaxy Fold disokong melalui sensor kamera utama dan sensor wideangle namun hasil gambar yang diambil melalui sensor utama adalah sedikit lebih baik.

Bagi kamera selfie, gambar selfie yang diambil adalah lebih kurang sama kecuali pada mod potret dimana kamera didalam mempunyai sensor kedalaman yang memberikan maklumat latar belakang.

Kamera selfie ini juga menyokong mod Live Focus dan terdapat kesan ‘beautify’.

Bateri

Sebagai telefon pintar boleh lipat, Samsung harus memikirkan bagaimana untuk menempatkan bateri tanpa menganggu mekanisma bukaan dan tutupan Galaxy Fold ini.

Disebabkan itu, Samsung telah hadir dengan solusi untuk menggunakan dua bateri iaitu satu yang berkapasiti 2,245mAh dan satu lagi 2,135mAh menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti bateri yang ditawarkan adalah 4,380mAh.

Kedua-dua bateri ini akan diguna pakai secara samarata dan akan dicaj samarata tanpa sebarang perbezaan didalam prestasi mahupun jangka hayat.

Ianya hadir dengan sokongan pengecasan pantas 15W selain sokongan pengecasan pantas tanpa wayar juga pada kadar 15W. Wireless PowerShare juga disertakan yang membolehkan anda mengecas peranti yang hadir dengan sokongan pengecasan tanpa wayar Qi.

Penutup

Samsung Galaxy Fold adalah bukti bahawa inovasi didalam industri telefon pintar adalah sesuatu yang tidak mustahil dan terdapat pengguna yang sanggup memiliki telefon pintar seperti ini walaupun pada harga penjualan yang jauh lebih mahal.

Selepas menyaksikan kejayaan yang dicapai oleh Samsung Galaxy Fold, Samsung dijangka akan lebih agresif didalam mengeluarkan produk yang hampir sama seperti Galaxy Fold didalam kuantiti yang lebih banyak dan pada harga yang lebih berpatutan.

Samsung Galaxy Fold kini ditawarkan di Malaysia dengan harga penjualan RM 8,388.

 

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.