• Home »
  • Oppo »
  • Oppo Find X akan dilancarkan di Malaysia pada 17 Julai ini

Oppo Find X akan dilancarkan di Malaysia pada 17 Julai ini

Oppo Find X yang dilancarkan secara rasmi bulan lalu kini telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia pada 17 Julai ini.

Oppo Malaysia telah mengesahkan tarikh pelancaran ini selepas sebelum ini hanya memberikan pengesahan bahawa telefon pintar futuristik ini akan memasuki pasaran tempatan.

Telefon pintar flagship futuristik Oppo ini hadir dengan kamera tersembunyi yang merupakan satu ciri unik pada telefon pintar Find X ini.

Bercakap mengenai spesifikasi, Oppo Find X hadir dengan skrin paparan OLED berukuran 6.4-inci dengan resolusi 1080+ yang melengkung pada sisi dan tanpa sebarang ‘notch’. Skrin ini mempunyai nisbah skrin-kepada-badan yang amat tinggi iaitu 93.8%.

Oppo Find X hadir dengan kamera utama dwi-kamera 16MP + 20MP manakala kamera hadapan adalah unit 25MP yang turut hadir dengan sensor 3D Scanner yang berfungsi sebagai pengecaman wajah dan teknologi pencantikkan beautify.

Oppo Find X turut hadir dengan pemproses Snapdragon 845, 8GB RAM, memori simpanan dalaman 256GB selain bateri berkapasiti 3,730mAh dengan pengecasan pantas Oppo VOOC ( tiada pengecasan tanpa wayar).

Oppo Find X juga menjadi telefon pintar pertama Oppo untuk hadir dengan slot USB-C yang mana turut menyebabkan penyingkiran slot audio 3.5mm dan tiada juga sensor capjari.

Oppo Find X dijangka hadir didalam dua pilihan warna iaitu gradiasi biru dan ungu.

Harga penjualan dijangka akan diumumkan pada hari pelancaran kelak.

Selain Oppo Find X, penawaran Oppo Find X Automobili Lamborghini di pasaran Malaysia tidak disahkan.

 

 

Comments

comments

Share