Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

ULASAN : Honor 10 – telefon pintar kelas flagship pada harga RM 1,599

Pendahuluan

Honor 10 adalah telefon pintar kelas flagship yang baru dilancarkan ke pasaran antarabangsa selepas membuat penampilan rasmi di pasaran China sebelum ini.

Dengan nama Honor 10, ianya sudah pastinya dikelirukan dengan Honor View 10 namun perbezaan kedua-dua boleh ini juga tidak begitu ketara.

Honor 10 yang dilancarkan ke pasaran antarabangsa ini telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia pada 22 Mei ini yang menjadikan Malaysia antara negara terawal untuk menerima model ini.

Walaupun hanya akan memasuki pasaran Malaysia kelak, kami telah menerima unit reviu Honor 10 untuk kami uji dan memberikan pendapat kami mengenai telefon pintar terbaru Honor ini.

Reka Bentuk

Jenama Honor boleh dikatakan sudah terkenal didalam menawarkan telefon pintar dengan reka bentuk yang premium dan Honor 10 juga tidak mengecewakan kami.

Walaupun dilihat mengikut jejak Huawei P20, Honor 10 hadir didalam reka bentuk yang lebih menyeluruh dan terdapat juga teknologi yang lebih baru dan tidak ditawarkan pada peranti utama Huawei tersebut.

Honor 10 hadir dengan reka bentuk berasaskan keluli dibahagian sisi dan gelas dibahagian hadapan dan belakang.

Bercakap mengenai panel hadapan, ianya dipenuhi sepenuhnya dengan skrin FullView yang turut memiliki takukan atau notch yang sudah menjadi reka bentuk wajib pada mana-mana telefon pintar sejak pelancaran Apple iPhone X.

Selain itu, Honor 10 juga menjadi telefon pintar pertama Honor untuk hadir dengan teknologi sensor capjari terbina didalam skrin yang dikenali sebagai ‘Ultrasonic sensor’

Ini memberikan Honor 10 profil panel gelas hadapan yang uniform tanpa sebarang butang fizikal yang mungkin ‘mencacatkan’ reka bentuk telefon pintar ini.

Saiz takukan pada Honor 10 ini adalah kecil dimana ianya menempatkan pembesar suara, kamera selfie dan sensor pengesan jarak ‘proximity sensor’.

Walaubagaimanapun, tidak semua mempunyai citarasa yang sama dan untuk itu, Honor telah menawarkan fungsi untuk anda ‘menyorokkan’ takukan ini dengan menggunakan latar belakang bewarna hitam pada bahagian notch tersebut.

Skrin paparan Honor 10 adalah skrin paparan IPS berukuran 5.84-inci, ianya mempunyai resolusi 2280 x 1080 dengan kepadatan piksel 432ppi.

Pada pendapat kami, skrin paparan Honor 10 mempunyai tahap penglihatan yang baik dan jelas namun ianya tidak la setanding panel skrin P20 mahupun P20 Pro.

Prestasi Dalaman

Kirin 970 sekali lagi diberi kepercayaan untuk dikuasakan pada Honor 10 dan kesan AI pada telefon pintar ini dilihat sedikit ketinggalan berbanding pada Siri Huawei P20.

Ini sesuatu yang harus kami terima kerana walaupun dibawah jenama yang lain, telefon pintar kelas flagship Huawei sudah pastinya akan menerima lebih banyak ciri bagi perbezaan harga yang anda bayar.

Selain itu, Honor 10 tidak mempunyai masalah untuk melalui tugas harian yang diberikan kerana Kirin 970 adalah antara pemproses terbaik dipasaran.

Honor 10 ini hadir dengan 4GB RAM, 128GB memori simpanan dalaman dan unit pemprosesan grafik Mali-G72 MP12.

Honor 10 juga menyokong teknologi pengecaman wajah yang pantas dan kami kagum dengan kebijaksaan Huawei untuk menawarkan sokongan pengecaman wajah yang mampu berfungsi pada keadaan gelap tanpa memerlukan apa-apa sensor tambahan seperti pada iPhone X.

Pengecaman wajah pada waktu malam ini dilakukan dengan satu penyelesaian yang amat mudah iaitu dengan meningkatkan kecerahan skrin yang membantu menerangi wajah pengguna.

Kamera

Jika anda merasakan Honor 10 mempunyai kebolehan kamera yang sama seperti Huawei P20, anda silap kerana telefon pintar ini tidak setanding dengan kamera yang dimiliki P20 apatah lagi P20 Pro.

ULASAN : Huawei P20 – Teknologi fotografi profesional kini boleh digunapakai oleh semua

Sudah pastinya salah satu sebab adalah ketiadan kepakaran Leica pada Honor 10 namun kami mempunyai harapan bahawa ianya mampu setidak tidaknya memberikan kami sedikit kepuasan.

Honor 10 ini memiliki unit kamera 16MP sensor RGB dengan aperture f/1.8 manakala sensor monokrom adalah unit 24MP.

Gambar yang diambil menggunakan kamera Honor 10 adalah baik dan terdapat mod kamera AI yang sangat berguna untuk memberikan anda tetapan gambar terbaik mengikut keadaan penggambaran.

Salah satu kekurangan adalah ketiadaan sokongan AI Image stabilization, ianya adalah ciri yang sangat bagus dimana anda boleh mengambil gambar mod malam tanpa memerlukan tripod kerana dengan bantuan AI gegaran tangan dapat diatasi tanpa memberi kesan pada gambar.

Dengan pengunaan cip pemprosesan Kirin 970, AI adalah sebahagian dari kamera Honor 10 dan ianya menawarkan tetapan terbaik bagi 500+ kategori didalam 22 jenis adengan.

Kamera selfie Honor adalah 24MP juga dengan sokongan AI dan kebolehan merakam video 1080p manakala kamera belakang mampu mengambil video pada kadar 4K dan dengan pengstabilan Honor EIS.

Honor 10 juga hadir dengan mod pengambilan video gerak perlahan pada kadar 120fps pada resolusi 1080p, mod video tiada sokongan super slow motion pada kadar 960fps yang ditawarkan pada P20 tidak ditawarkan pada model ini.

Kamera Selfie Honor 10 ini mempunyai resolusi yang sama seperti pada P20 dan P20 Pro dan hasil gambar selfie yang diambil adalah baik dan terdapat banyak mod yang menarik seperti bokeh, 3D lighting dan beautify.

Prestasi bateri

Honor 10 ini hadir dengan bateri berkapasiti 3,400mAh yang turut hadir dengan sokongan pengecasan pantas Honor SuperCharge yang mampu mencapai kapasiti 58% pengecasan didalam masa 30 minit sahaja.

Plak pengecasan Honor SuperCharge melalui USB-C ini mempunyai output pengeluaran 5V/4.5A.

Ianya adalah teknologi yang sama seperti pada Huawei P20 dan Huawei P20 Pro dan pujiam harus diberikan kepada Huawei kerana masih menawarkan teknologi ini pada Honor 10.

Penutup

Honor 10 adalah telefon pintar yang mempunyai kesempurnaan dari semua segi tidak kira secara luaran mahupun dalaman.

Dengan teknologi AI yang kini menjadi antara teknologi penting pada telefon pintar, Honor 10 tidak ketinggalan didalam menawarkan teknologi ini dan lebih penting pada harga yang berpatutan.

Honor 10 mempunyai harga penjualan RM 1,699 dan ianya ditawarkan didalam 4 warna iaitu biru gradasi, hijau gradasi, kelabu dan hitam.

Miliki Honor 10 pada harga RM 1,599 sahaja

Secara peribadi, kami hanya akan menyenarai pendek dua warna pilihan bagi Honor 10 iaitu biru gradasi dan hijau gradasi.

Anda boleh beli HONOR 10 di SINI

Gambar-gambar yang diambil melalui Honor 10

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.