• Home »
  • Review »
  • ULASAN : Xiaomi A1 – Pengalaman Premium Android Pada Harga Berpatutan

ULASAN : Xiaomi A1 – Pengalaman Premium Android Pada Harga Berpatutan

Pendahuluan

Program Android One telah dimulakan pada tahun 2014 dengan sasaran untuk menawarkan pengguna di negara-negara baru membangun akses kepada peranti Android pada harga yang berpatutan.

Jika pada permulaan program Android One lebih memfokuskan kepada peranti kelas bawahan dan pertengahan, Android One kini sudah mula memasuki fasa seterusnya dengan penawaran peranti kelas ‘flagship’ pada harga yang berpatutan.

Xiaomi adalah syarikat yang terkenal dengan penawaran produk dengan harga yang hampir kepada kos pengeluaran dan syarikat ini telah menyertai inisiatif Android One melalui telefon pintar yang dikenali sebagai Xiaomi A1.

Reka bentuk

Xiaomi A1 hadir dengan reka bentuk yang sama seperi Mi 5X yang eksklusif untuk pasaran China.

Xiaomi A1 memiliki reka bentuk aluminum unibodi sepenunya yang memberikan penampilan premium. Xiaomi A1 juga hadir dengan reka bentuk jalur antena yang kurang ketara dan perbezaanya dengan warna rangka adalah sangat halus.

Panel belakang Mi A1 juga menempatkan sensor dwi-kamera, flash led dwi-tona dan sensor capjari yang kesemuanya ditempatkan secara kemas.

Selain itu, terdapat juga logo MI dan logo Android One yang juga merupakan nama penuh telefon pintar ini ( Mi A1 merujuk kepada Xiaomi Android One).

Pada bahagian hadapan, Mi A1 memiliki reka bentuk berasaskan kaca sepenunya yang mana skrin paparan 5.5-inci ini dilindungi dengan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass.

Prestasi dalaman

Pengunaan pemproses kelas pertengahan Qualcomm Snapdragon 625 yang amat efisen dan pada masa yang sama masih mampu menawarkan jangka hayat bateri yang baik.

Sepanjang kami menggunakan Xiaomi A1 sebagai peranti harian kami, telefon pintar ini dilihat sentiasa berjaya melakukan tugas yang diberikan tidak kira ianya melibatkan permainan video, tontonan video dan fotografi.

Pemproses Qualcomm Snapdragon kelas pertengahan menjadi pilihan Xiaomi kerana penawaran prestasi yang optimum dan pada masa yang sama dengan kefisenan bateri yang baik.

Bersama-sama pemproses ini, Xiaomi menyertakan GPU Adreno 506, 4GB RAM dan 64GB memori simpanan dalaman.

Tanpa sebarang campur tangan Xiaomi dari segi perisian dan aplikasi pihak ketiga, sasaran untuk menggunakan Xiaomi A1 ini tanpa sebarang ‘lag’ dilihat mudah dicapai.

Pemproses 14nm (SD 625) yang digunakan ini juga tidak mudah panas walaupun dicabar dengan pelbagai tugas yang biasa dipersembahkan kepada peranti pintar.

Kamera

Selain memfokuskan kepada penawaran pengalaman Android yang tulen pada harga mampu milik, tiket Xiaomi didalam kejayaan Xiaomi A1 ini turut bergantung kepada teknologi kameranya.

Xiaomi A1 hadir dengan kamera yang diambil dari telefon pintar ‘flagship’ Xiaomi iaitu Mi 6 dan Mi 5x.

Dua unit kamera 12MP dilengkapkan pada Xiaomi A1 yang mana satu sensor kamera biasa dan satu sensor telefoto yang digunakan untuk pengzooman dan pengambilan gambar potrait.

Xiaomi mendakwa tetapan sensor kamera biasa + telefoto adalah 40% lebih mahal berbanding sensor dwi-kamera yang lain namun syarikat ini masih mampu menawarkanya pada harga yang baik.

Kamera belakang Xiaomi ini dilihat mampu mengambil gambar yang baik pada keadaan cahaya yang sempurna dan pengunaan sensor telefoto untuk gambar potrait juga amat berkesan.

Pengzooman pada Xiaomi A1 adalah 2x dan ianya amat berguna ketika pengambilan gambar diwaktu cahaya baik namun prestasi zoom lensa ini jatuh teruk ketika keadaan cahaya tidak baik.

Gambar potrait yang diambil Xiaomi A1 juga amat baik dan kamera ini mampu mengasingkan fokus utama dan latar belakang dengan penuh teliti namun seperti biasa cahaya baik akan memberikan hasil gambar potrait yang baik.

Gambar Potrait yang diambil juga amat pantas namun kami juga pernah menghadapi isu dimana kadang-kadang terdapat keadaan dimana kamera ini tidak dapat membezakan untuk memfokuskan kepada objek yang mana.

kamera utama Xiaomi A1 juga tidak mempunyai OIS seperti pada Mi 5x atau Mi 6 namun ketiadaan OIS ini hanya akan dirasai ketika pengambilan video yang memerlukan pengstabilan selain pengambilan gambar pada cahaya rendah.

Xiaomi A1 juga mempunyai kamera selfie 5MP yang mampu mengambil gambar selfie baik dan terdapat juga mod beautify yang dipisahkan kepada dua kategori iaitu pro dan smart.

Kamera belakang Xiaomi A1 juga boleh mengambil video pada resolusi 4K, video time lapse dan video gerak perlahan.

Perisian

Xiaomi A1 adalah telefon pintar dibawah program Android One yang mana kelebihan telefon pintar ini bawah program ini adalah penerimaan kemaskini sistem operasi Android terawal berbanding peranti lain.

Xiaomi A1 hadir dengan sistem operasi Android 7.1.1 Nougat tanpa sebarang ‘campur tangan Xiaomi’ kecuali aplikasi kamera yang menggunakan aplikasi kamera Xiaomi.

Selain daripada itu, kesemua ciri-ciri dan kelebihan Android Nougat boleh dinikmati oleh pengguna tanpa sebarang masalah dan pengurangan prestasi.

Xiaomi juga telah memberikan pengesahan kepada kami bahawa Android Oreo akan tiba kepada peranti ini namun kelewatan yang dihadapi adalah kerana peranti dengan pemproses Qualcomm siri 800 akan menerima Android Oreo terlebih dahulu.

Bercakap mengenai masa depan pula, Xiaomi juga memberikan jaminan bahawa Xiaomi A1 akan menjadi antara telefon pintar pertama untuk menerima kemaskini Android P.

Bateri

Xiaomi A1 hadir dengan bateri berkapasiti 3,080mAh yang mampu menawarkan kadar jangka hayat bateri yang baik khususnya dengan pengunaan pemproses Snapdragon 625.

Kadar pengecasan bateri melalui USB-C juga boleh dikatakan pantas dengan kadar pengecasan sekitar 30% didalam masa 30 minit.

Pengunaan agresif Xiaomi A1 mungkin memberikan anda jangka hayat bateri sekitar setengah hari dengan pengunaan normal mungkin boleh membantu anda melalui aktiviti harian anda tanpa sebarang pengecasan tambahan diperlukan.

Penutup

Secara keseluruhanya, Xiaomi A1 mampu menawarkan pengguna pengalaman Android yang tulen tanpa memerlukan anda mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk memiliki peranti seperti Pixel 2 dan Pixel 2 XL.

Kamera Xiaomi A1 juga mempunyai kebolehan yang baik untuk anda gunakan bagi pengambilan gambar harian selain mod potrait yang sudah pastiny adalah ciri tambahan peranti ini.

Xiaomi A1 kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM 1,099 dan boleh membelinya di kedai atas talian Xiaomi di Lazada Malaysia

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil menggunakan Xiaomi A1 ( saiz dikurangkan sebanyak 50% secara purata)

Comments

comments

Share