Mobile Fokus

Malaysia Tech News Portal

Ulasan General Mobile GM 5 Plus – Telefon Pintar Android One pertama di Malaysia

Pendahuluan

Android One adalah intiatif Google yang mahu lebih banyak pengguna mendapat akses kepada pengalaman Android OS yang tulen dan kebiasaanya telefon pintar didalam program ini adalah lebih murah berbanding telefon pintar Android yang lain.

Salah satu daripada syarikat yang telah terpilih untuk berkerjasama dengan Google untuk melancarkan telefon pintar Android One adalah General Mobile.

General Mobile adalah mungkin merupakan satu nama yang baru bagi anda di pasaran Malaysia namun syarikat pengeluar telefon pintar dari Turki ini kini sudah mula mengembangkan portfolio produk mereka ke pasaran Antarabangsa termasuk ke pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, General Mobile atau GM telah membawa masuk telefon pintar GM 5 Plus yang kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga penjualan yang amat berpatutan iaitu hanya RM 899.

Reka Bentuk

GM 5 Plus adalah telefon pintar yang mempunyai rekaaan yang sangat ringkas namun masih mampu menawarkan perasaan premium ditangan pengguna.

Permukaan hadapan GM 5 Plus ini boleh dikatakan didominasi oleh skrin paparan yang meliputi hampir 79% permukaan hadapan dan ianya dilapisi oleh gelas keselamatan 2.5D Corning Gorilla Glass 4.

Permukaan hadapan juga tidak mempunyai sebarang butang fizikal dan segala navigasi adalah melalui butang maya pada skrin.

Beralih kepada bahagian belakang yang memang telah menambat hati kami, GM 5 Plus memiliki reka bentuk panel belakang dengan tekstur seperti pada bola golf dan pengunaan corak  ini memastikan anda mempunyai cengkaman yang baik ketika menggunakan GM 5 Plus ini.

Reka bentuk kamera GM 5 Plus juga sangat elegan dan ianya dikelilingi satu gelang aluminium selain potongan bagi flash LED juga amat kemas.

Pada bahagian bawah kamera , terdapat logo General Mobile yang sedikit besar dan logo Android One pada bahagian bawah panel belakang melengkapi penampilan belakang GM 5 Plus ini.

Prestasi Dalaman

GM 5 Plus ini hadir dengan skrin paparan IPS LCD beresolusi 1080p yang mempunyai jumlah produksi warna yang mencukupi dan dengan panel berwarna putih, tontonan skrin menjadi lebih selesa dan jelas.

Skrin paparan ini mempunyai kepadatan piksel 401ppi yang merupakan pulangan baik bagi telefon pintar pada jangka harga ini  dan tidak lupa juga perlindungan gelas daripada Corning.

GM 5 Plus hadir dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 617 (MSM8952) yang dipadankan dengan 3GB RAM dan 32GB memori simpanan dalaman.

Memandangkan telefon pintar ini hadir dengan sistem operasi Android yang tulen, segala aplikasi yang dibuka adalah amat responsif dan penawaran fungsi multi-window membolehkan dua aplikasi dibuka serentak ( hadir dengan Android 7.1.1 Nougat).

Selain itu, pembesar suara yang dimiliki oleh GM 5 Plus juga memberikan output suara yang jelas dan teliti namun pada pandangan kami kualiti bunyi yang dihasilkan mungkin boleh diperbaiki lagi.

Selain itu, jumlah memori simpanan yang ditawarkan bersama GM 5 Plus ini adalah kurang mencukupi iaitu hanya 32GB dan pengunaan slot SIM kedua sebagai slot microSD adalah satu kemestian bagi pengguna GM 5 Plus.

Kamera

General Mobile GM 5 Plus hadir dengan kamera 13MP pada bahagian hadapan dan belakang dan lebih menarik adalah kedua-dua kamera juga mempunyai flash LED.

Pada bahagian belakang yang merupakan kamera utama, General Mobile telah melengkapkan GM 5 Plus dengan sensor  kamera IMX258 daripada Sony.

Secara jujurnya kami boleh memperkatakan bahawa kualiti gambar yang dihasilkan pada kamera ini adalah kena dengan harganya. kualiti gambar yang diambil pada keadaan cahaya yang sempurna adalah memenuhi jangkaan.

Kualiti kamera selfie GM 5 Plus juga amat baik dan penawaran flash LED sudah pastinya akan menjadi satu ciri tambahan yang menarik pembeli khususnya kerana pengguna di Malaysia boleh dikategorikan sebagai yang paling obses untuk mengambil gambar selfie.

Kedua-dua kamera ini juga hadir dengan sokongan HDR dan rakaman video 1080p pada kamera hadapan dan juga belakang.

Perisian

GM 5 Plus hadir dengan sistem operasi Android 7.1.1 Nougat dan memandangkan ianya adalah telefon pintar dibawah program Android One, kami pasti telefon pintar ini akan menerima kemaskini Android Oreo tidak lama lagi.

UI yang ditawarkan adalah terus daripada Google tanpa sebarang aplikasi pihak ketiga dan dengan Android 7.1.1 Nougat, ciri paling menarik adalah kebolehgunaan ciri ‘multi-window’.

Bateri

GM 5 Plus hadir dengan bateri berkapasiti 3,100mAh dan prestasi bateri ini adalah memuaskan.

GM 5 Plus ini hadir dengan pengecasan pantas GM Turbo Charger yang merupakan teknologi Quick Charge 3.0 daripada Qualcomm. Pengecasan pantas ini membolehkan anda mengecas GM 5 Plus ke tahap 60% didalam masa 30 minit dengan pengecasan penuh dijangka mengambil masa sehingga 2 jam.

Pengecasan GM 5 Plus ini juga mengikut trend pasaran dengan penawaran teknologi USB-C dan bukanya USB 2.0.

Kesimpulan

General Mobile GM 5 Plus yang kini ditawarkan di pasaran Malaysia adalah telefon pintar yang menawarkan pengalaman Android tulen pada harga yang jauh lebih murah berbanding peranti Android yang lain ( Nexus 6P adalah peranti lain yang menawarkan sistem operasi Android yang asli).

Walaubagaimanapun, kami berpendapat General Mobile akan menghadapi masalah untuk menyakinkan pengguna di Malaysia untuk membeli GM 5 Plus ini kerana jenama ini yang masih baru di pasaran tempatan.
GM 5 Plus kini ditawarkan di Malaysia melalui wakil pengedar sah mereka iaitu KWS Distribution pada harga penjualan RM 899.

Comments

comments